Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang –  Sastera kanak-kanak dan remaja dalam relung global merupakan bidang yang sangat penting kerana peranannya untuk membentuk pemikiran, sahsiah, emosi dan nilai kemanusiaan generasi muda.

Demikian menurut Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai ketika berucap bersempena dengan Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja ke-15 yang mengangkat tema “Memperkasa Sastera Kanak-kanak dan Remaja dalam Era Global”.

Menurut beliau, penganjuran seminar tersebut membuktikan bahawa bidang sastera kanak-kanak dan remaja terus mendapat perhatian dan pengiktirafan sebagai satu cabang ilmu yang penting dalam pembangunan modal insan negara.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

“Melalui karya kreatif yang berkualiti, kanak-kanak dan remaja dapat mengembangkan imaginasi, meningkatkan kemahiran berbahasa serta memahami nilai-nilai murni yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat,” tambahnya ketika menyampaikan ucapan perasmiannya di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Ujar beliau, selain menjadi medan perkongsian ilmu dan pembentangan dapatan kajian, seminar tersebut turut berfungsi sebagai platform untuk menghimpunkan idea dan pandangan yang dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi, organisasi dan individu yang terlibat dalam bidang sastera kanak-kanak dan remaja.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Dekan FBMK UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Hazlina Abdul Halim merakamkan penghargaan kepada pihak DBP yang terus memberikan sokongan terhadap penganjuran seminar tersebut sejak 15 tahun lalu dan berharap agar kerjasama strategik antara UPM dan DBP dapat diteruskan demi kelestarian seminar pada masa hadapan.

Dekan FBMK UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Hazlina Abdul Halim semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Menurut beliau, dalam era digital yang semakin mencabar, sastera menjadi medium pendidikan yang signifikan untuk melahirkan insan yang berilmu, berbudaya dan berakhlak mulia.

Mengulas tentang perkembangan sastera kanak-kanak dan remaja pada peringkat antarabangsa, beliau menjelaskan bahawa kejayaan siri animasi Upin & Ipin menembusi pasaran negara jiran menunjukkan potensi besar karya tempatan.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sastera kanak-kanak dan remaja berupaya menjadi medium yang menghubungkan masyarakat serantau serta mengukuhkan penghayatan terhadap budaya Nusantara,” ujar beliau.

Persembahan daripada pelajar Universitas Negeri Padang, Indonesia turut menyerikan majlis ini.

Seminar anjuran DBP dengan kerjasama FBMK, UPM itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian, termasuk persembahan pelajar, forum ilmiah bertajuk “Karya Kanak-kanak Era Digital: Kreativiti Penulis atau Kecerdasan Buatan?”, pertandingan dan pameran poster serta pembentangan kertas kerja.

Para peserta dan pembentang bergambar kenangan bersama-sama dengan tetamu kenamaan dalam Majlis Perasmian Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja ke-15.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, FBMK UPM, YBrs. Dr. Fazilah Husin; Pengerusi Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja, YBhg. Profesor Madya Datin Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi; Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, pembentang, karyawan DBP, para pensyarah UPM dan Universitas Negeri Padang, Indonesia serta pelajar.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi