Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Nur Aqilah Huda Abdul Jamal
Sintok – Kelab Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (KERSANI) telah menganjurkan Forum Bedah Buku Sigan menerusi program Jejak Kata di Lembaran Jiwa yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Webex.
Program yang menampilkan penulis novel Sigan, iaitu Zulaihah Karim bertujuan untuk memperkenalkan karya sastera tempatan serta memberi pendedahan kepada peserta tentang proses penghasilan karya kreatif.
Dalam sesi perkongsian tersebut, Zulaihah menjelaskan bahawa novel Sigan menggabungkan watak sejarah dan watak imaginasi bagi menghasilkan jalan cerita yang menarik. Menurut beliau, karya yang berkonsepkan pengembaraan dan masa perjalanan (time travel) ditulis untuk membuktikan bahawa imaginasi dan kreativiti masih boleh diterapkan dalam penulisan tanpa melampaui batas.
Beliau turut menjelaskan bahawa latar Korea dipilih sebagai lokasi utama novel kerana negara tersebut menunjukkan perkembangan yang pesat dan mampu menjadi simbol perubahan ke arah yang lebih baik.
Melalui novel itu, beliau ingin menyampaikan mesej bahawa setiap individu mempunyai peluang untuk berubah dan memperbaiki diri, sekali gus membuktikan bahawa tiada sesuatu perkara yang mustahil sekiranya disertai dengan usaha yang berterusan.
Mengulas cabaran sepanjang menghasilkan novel Sigan, beliau mengakui bahawa antara cabaran terbesar ialah mengekalkan minat dan disiplin untuk terus menulis, terutama ketika berdepan kekangan masa dan komitmen kerja. Selain itu, beliau juga perlu memastikan idea yang diketengahkan dapat diterima pembaca dan tidak sekadar memenuhi kepuasan diri sebagai penulis.
Dalam sesi soal jawab, Zulaihah menasihati penulis baharu agar tidak terlalu memikirkan kritikan yang mungkin diterima terhadap karya mereka. Sebaliknya, beliau menyarankan agar setiap kritikan dijadikan sebagai ruang penambahbaikan untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti pada masa akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa seseorang penulis kreatif perlu sentiasa mengasah daya imaginasi dan mencari inspirasi daripada pengalaman seharian. Menurutnya, idea penulisan boleh diperoleh daripada pelbagai aktiviti termasuklah perjalanan, pemerhatian terhadap persekitaran dan pengalaman hidup yang dilalui.
Menjawab pertanyaan peserta mengenai pengaruh penulisan terhadap cara berfikir seseorang, beliau menjelaskan bahawa proses penyelidikan yang dilakukan semasa menghasilkan novel telah membuka perspektif baharu terhadap pelbagai aspek budaya dan sejarah.
Sebagai contoh, kajian mengenai seni persilatan yang dimuatkan dalam novel tersebut telah memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang warisan Melayu yang sering dianggap kurang relevan oleh sesetengah pihak.
Novel Sigan turut menampilkan unsur warisan Melayu seperti silat, keris dan tulisan Jawi menerusi watak utama, Tengku Hasan yang berusia dalam lingkungan 20-an. Karya tersebut disasarkan kepada golongan remaja dengan harapan dapat memupuk minat mereka terhadap sejarah, budaya dan identiti bangsa melalui medium sastera kreatif.
Seorang peserta, Iwani, menyifatkan forum tersebut sebagai platform yang bermanfaat kerana memberikan pendedahan tentang proses kreatif penghasilan karya. Beliau turut menyatakan bahawa perkongsian yang diberikan membuka pemahaman baharu tentang kepentingan kajian, disiplin dan kreativiti bagi menghasilkan karya yang berkualiti.