Oleh Firdaus Mul
30 April 2024, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Koleksi Cerita Klasik Pengembaraan Raja Suran yang ditulis oleh Salina Ibrahim terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun ini merupakan sebuah buku yang memuatkan sembilan buah cerita yang diolah semula daripada buku Sulalatus Salatin.

Menurut Salina Ibrahim, penghasilan buku itu tercetus atas faktor minat dan rasa cinta yang mendalam terhadap karya-karya klasik.

Walaupun sebelum ini beliau lebih tertumpu kepada penghasilan penulisan cerpen, namun itu tidak menjadi penghalang untuk beliau menghasilkan buku koleksi cerita klasik.

Kisah yang saya tulis ini merupakan sembilan cerita terawal, yang saya fikir cerita-cerita itu boleh berdiri sendiri. Ditulis dengan olahan saya sendiri, frasa saya sendiri khas untuk santapan kanak-kanak.

Sementara itu, beliau turut menegaskan walaupun terdapat unsur tidak logik dalam penghasilan karya klasik, namun hal tersebut tidak menjadi penghalang besar untuk menghasilkan karya.

Bagi beliau hal yang lebih utama merupakan pengarang yang ingin menyampaikan cerita dan menghadirkan pemikiran pengarang dahulukala, terutamanya kepada golongan kanak-kanak.

“Cerita ini berdasarkan sumber yang sudah ada. Sebagai pembaca dewasa, kembali kepada sejarah Melayu, saya tertarik dengan kreativiti penulisnya walaupun tidak dinyatakan penulisnya,” tambah beliau lagi.

Selain itu, beliau turut berkongsi perihal keistimewaan yang terdapat pada buku berkenaan untuk dimiliki oleh pembaca di luar sana.

Menurut beliau sejauh mana pun seseorang itu melangkah dan sebanyak mana pun seseorang pengkarya itu menulis, namun yang lebih penting untuk mengenali karya-karya lama peninggalan pengarang lalu.

Beliau juga menegaskan betapa pentingnya kisah-kisah karya agung Melayu untuk dijadikan bahan santapan minda golongan kanak-kanak.

Ketimbang teruja dengan kisah-kisah dari barat, mengapa tidak kembali kepada kisah-kisah daripada alam Melayu sendiri.

Dari segi perolehan cerita dan idea sewaktu menghasilkan buku tersebut beliau tidak menghadapi masalah, namun menjadi cabaran buat beliau apabila hendak menyampaikan kisah-kisah yang terkandung dalam buku berkenaan dengan cara tersendiri.

Pada akhir temu bual beliau sempat menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan buku Pengembaraan Raja Suran. Beliau juga berharap agar karya yang beliau hasilkan dapat memberi manfaat dan menyeru agar pembaca, khususnya kanak-kanak dapat memiliki senaskhah buku berkenaan untuk dijadikan bahan bacaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.