3 Mei 2024, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Acara Resensi Buku yang berlangsung di ruang legar Perpustakaan MITI, Menara MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) pada 30 April 2024 telah menampilkan Azian Mohamed Isa sebagai tetamu jemputan untuk berbicara tentang bukunya yang berjudul Tip Suri Menulis.

Sebagai seorang suri rumah dan penulis sepenuh masa, Azian berkongsi tentang kelebihan menulis, sekalipun penulisan itu untuk tatapan diri sendiri.

“Kita menulis kerana ada persoalan yang mengasak fikiran dan mengganggu sukma dan jiwa. Dengan menulis, perlahan-lahan kekusutan fikiran itu akan terlerai. Beban emosi yang menekan, sedikit demi sedikit akan terungkai. Fikiran bertambah jelas dan hati juga semakin lapang dan tenang. Dengan menulis, kita sebenarnya sedang menyelami, ruang-ruang dalam diri yang kita sukar fahami,” katanya di hadapan warga penjawat awam MITI yang hadir menyaksikan acara tersebut.

Tambahnya lagi, amalan menulis diari sebagai contoh, bukan sahaja dapat menghimpun peristiwa suka dan duka yang dialami sepanjang kehidupan, malah dapat merakam perasaan dan zaman.

Azian memetik pengalaman Tan Sri Dato’ Lim Phaik Gan atau P.G. Lim yang mengalami kesukaran untuk menyiapkan penulisan bukunya, sebuah buku autobiografi berjudul Kaleidoscope kerana tidak mencatat dan menyimpan diari. Beliau menyesal tidak mendengar nasihat rakannya yang berbunyi, “Keep a diary. For one day, the diary will keep you.”

Beliau juga turut berkongsi panduan kepada warga MITI bagaimana menghasilkan sebuah ulasan buku yang baik. Katanya, sebuah ulasan buku yang baik bukan sekadar memberikan maklumat, fakta dan kandungan tentang buku tersebut, malah dapat menyatakan perasaan pengulas seperti teruja, sedih atau kecewa.

Program Resensi Buku ini merupakan acara bulanan yang dianjurkan oleh pihak Perpustakaan MITI sebagai cara untuk menyemarakkan amalan budaya membaca, khususnya dalam kalangan warga MITI.

Menerusi kemudahan siaran langsung Facebook Live dan media sosial, acara Resensi Buku ini semakin mendapat perhatian khalayak melalui sambutan Program Jom Baca bersama 10 Minit Peringkat MITI 2024. Program Jom Baca bersama 10 minit merupakan acara tahunan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Bahria Mohd Tamil, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebagai tanda sokongan MITI kepada sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April 2024 setiap tahun.

Untuk menonoton acara Resensi Buku, boleh tekan pautan di bawah:

https://www.facebook.com/share/v/kqh2qyhpCa6jnad2/?mibextid=WC7FNe

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.