Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangEditor majalah Dewan Tamadun Islam, Syaza Wardina menyambung siri Baca-baca Ramadan kami dengan mengemukakan lima buku pilihannya yang sesuai untuk dibaca ketika menahan lapar, dahaga dan nafsu. Selamat “bermoreh” dengan hidangan buku ini.
Buku ini memaparkan asas yang perlu diketahui oleh umat Islam agar ayat al-Quran tidak ditafsir dan ditadabur mengikut akal semata-mata.
Untuk menemui dan menjalani bulan Ramadan kita perlua membuat persiapan dari segi fizikal dan mental. Buku ini membawakan 40 hadis tentang Ramadan dan amalan yang boleh dilakukan pada bulan ini. Sebagai contoh, persediaan Rasulullah SAW sebelum kedatangan Ramadan, kelebihan menjamu orang berbuka puasa, mendidik anak-anak agar turut berpuasa, kesungguhan tarawih Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda, mencari lailatulqadar, serta doa yang boleh diamalkan sepanjang bulan Ramadan.
Buku ini juga memaparkan tip untuk beristiqamah dengan amalan tertentu, seperti mengekalkan amalan membaca al-Quran dan puasa tiga hari setiap bulan. Buku ini sesuai dijadikan pedoman buat Muslim sebelum, semasa dan selepas berlalunya Ramadan.
Ramadan lazimnya diimarahkan dengan amalan solat sunat dan aktiviti bacaan atau tadarus al-Quran. Dalam kita menyibukkan diri dengan membaca al-Quran, antara perkara yang perlu dititikberatkan termasuklah ilmu tajwid, iaitu ilmu (hukum) yang berkaitan dengan lafaz atau sebutan yang betul dan tepat dalam bacaan al-Quran. Tidak sempurna bacaan al-Quran seseorang sekiranya al-Quran tidak dibaca berlandaskan hukum tajwid yang betul.
Oleh itu, buku ini merupakan panduan asas ilmu tajwid yang didatangkan dalam bentuk nota dan carta yang lengkap, juga menggunakan bahasa yang moden dan mudah difahami. Buku ini sesuai untuk semua peringkat usia untuk mereka mendalami ilmu tajwid agar dapat mengetahui cara membaca bacaan al-Quran dengan betul seperti yang dituntut dalam agama Islam.
Ramadan turut dikenali sebagai bulan al-Quran. Dalam hal ini, membaca al-Quran semata-mata tidak cukup, bahkan umat Islam dituntut untuk menghayati dan menyelami kandungan al-Quran. Memahami dan menghayati al-Quran yang melibatkan penelitian kandungannya untuk memperoleh hikmah dan hukum-hakam daripadanya disebut sebagai tadabur.
Buku ini memaparkan asas yang perlu diketahui oleh umat Islam agar ayat al-Quran tidak ditafsir dan ditadabur mengikut akal semata-mata. Buku ini juga sebagai panduan untuk umat Islam menghayati isi kandungan 114 surah dalam al-Quran secara komprehensif.
Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Di sebalik perintah Allah SWT untuk berpuasa dan menghidupkan Ramadan dengan amalan kebaikan, juga di sebalik larangan-Nya bagi perbuatan tertentu pada bulan ini, terselit 1001 hikmah khususnya dalam pembentukan diri dan jiwa hamba-Nya yang bertakwa.
Buku ini sebagai bahan bacaan yang baik untuk seseorang Muslim melakukan refleksi kendiri terhadap pemahaman dan amalan mereka pada bulan Ramadan; memahami bahawa puasa merupakan latihan untuk berkata “tidak” – tidak melakukan maksiat dan tegas dengan prinsip diri berlandaskan keyakinan terhadap Allah SWT.
Imam al-Ghazali ialah ahli ilmu, filsuf serta terkenal sebagai seorang pemikir Islam terkemuka yang sangat dipengaruhi oleh tasawuf. Dalam buku ini, beliau membahaskan aspek dalaman amalan berpuasa sebagai satu daripada jalan untuk seseorang mencapai penyempurnaan jiwa (tazkiyah al-nafs).
Buku ini menjelaskan tentang amalan puasa dari aspek tasawuf serta keistimewaan puasa dalam usaha melatih jiwa, diri dan nafsu manusia sebagai jalan mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah.