23 Mac 2024, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nur Natasha Hanafiah, merupakan mahasiswi jurusan Persuratan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Gadis pencinta novel ini merupakan satu daripada penulis muda yang sentiasa membawa pembaca untuk bersama-sama menajamkan minda dan memperkuatkan rohani melalui penulisan artikelnya yang konsisten. Bagi siri ruangan khas kami sempena bulan Ramadan ini, Nur Natasha Hanafiah akan berkongsi lima buah novel pilihannya yang mendukung kriteria karya sastera Islam sebagai simpanan bacaan anda nanti!

Pastinya novel ini akan meruntun jiwa setiap insan yang membacanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

  • Dunia Bukan Kita Punya oleh Suratman Markasan

Novel nukilan penulis kelahiran Kota Singa ini mengetengahkan peri pentingnya kesederhanaan dalam menjalani kehidupan untuk menggapai kebahagiaan di dunia dan akhirat kelak. Pengisahan novel ini menampilkan watak Haji Shukran yang begitu kuat mengamalkan ajaran agama Islam.

Walau bagaimanapun, sifatnya yang terlalu keras dalam memahami dan melaksanakan tuntutan agama jelas telah menyusahkan ahli keluarganya. Hal tersebut telah menyebabkan dirinya mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba yang ditaklifkan oleh Allah SWT, khususnya sebagai seorang suami dan seorang ayah. Selama 16 tahun isteri dan anak lelakinya terpaksa memikul tanggungjawab menyara dan membesarkan keluarga.

Novel ini seolah-olah memberikan peringatan buat mereka yang melampau dalam urusan agama kerana kejahilan diri sendiri sehingga lalai dalam melunaskan tanggungjawab di dunia. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini, setiap insan haruslah bertungkus-lumus menambahkan amal ibadat namun tidak harus melupakan amanah yang ditaklifkan ke atas diri agar tanggungjawab di dunia dan akhirat dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

 

  • Masuk ke Dalam Cahaya oleh Abdullah Hussain

Novel ini mengangkat tema keislaman dalam pencarian identiti diri yang dikelilingi oleh suasana kehidupan keluarga yang jauh daripada cahaya Islam serta hanyut dalam tipu daya dunia yang mengasyikkan. Menceritakan tentang Zaman, pemuda yang dijentik hatinya untuk berlalu pergi daripada norma kehidupannya yang penuh dengan kekeliruan yang tidak bernoktah. Tindakannya tersebut akhirnya menemukan dirinya di sebuah kampung. Penduduk kampung tersebut benar-benar berpegang teguh dengan syariat Islam, daripada sekecil-kecil aspek sosial hinggalah sebesar-besar hal ehwal pentadbiran. Persis sebuah kerajaan yang berlandaskan ajaran agama Islam.

Kampung itu membawa cahaya ke dalam hati Zaman. Rasa kedamaian, ketenangan dan cinta yang telus mendorong dirinya untuk mempelajari nilai dan hukum hakam dalam agama Islam. Namun, kewujudan kampung itu telah mengganggu-gugat kedudukan dan tugas musuh-musuh Allah untuk menyesatkan umat manusia. Lantas, pelbagai kaedah licik yang dilakukan untuk mengajak umat manusia melakukan perkara yang ditegah oleh-Nya.

Novel ini wajar dibaca oleh setiap lapisan masyarakat, khususnya buat mereka yang beragama Islam, agar sentiasa bermuhasabah dan meyakini bahawa Allah SWT itu sentiasa berada dekat dengan para hamba-Nya, serta jalan kembali kepada-Nya itu sentiasa ada. Berpalinglah kepada-Nya sebelum anda kembali kepada-Nya.

 

  • Ayahanda oleh Azizi Haji Abdullah

Novel Ayahanda yang diangkat ke layar perak oleh Zeel Production sebagai sebuah drama bersiri pada tahun 2021 jelas telah menambat hati para penonton yang rata-ratanya telah memberikan komen positif atas kejayaan adaptasi tersebut. Drama yang semakin mendapat tempat dalam kalangan para penonton ini turut memberi impak kepada populariti novel Ayahanda. Rata-rata penonton mencari dan menelaah novel ini usai sahaja habis menonton drama bersiri itu, sehinggakan novel ini laris di pasaran.

Keistimewaan novel ini ialah kebenaran kisah yang dinukilkan oleh Azizi Haji Abdullah itu sendiri dalam menyoroti kehidupan ayahandanya dari kaca matanya sendiri. Tema kekeluargaan dan kasih sayang yang diketengahkan dalam novel ini memperlihatkan watak Haji Abdullah yang hidup dalam kesunyian dan terabai setelah kematian gemulah isteri tersayang, Noriah. Realiti ini tidak kurang bezanya turut berlaku dalam institusi kekeluargaan masa kini. Anak-anak berhijrah keluar dari kampung, kemudian membina kehidupan di tempat lain, semestinya menyebabkan ibu bapa dibebani kerinduan yang teramat kepada anak-anak mereka.

Pastinya novel ini akan meruntun jiwa setiap insan yang membacanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Lantas, mengetuk kembali nostalgia kegembiraan tatkala berhimpun bersama-sama dengan ahli keluarga dan menjalani ibadat berpuasa bersama-sama dengan insan tersayang.

 

  • Doa untuk Aku oleh Bahruddin Bekri

Novel ini menceritakan tentang Usaha Adly dalam melaksanakan misi mencari golongan yang doanya makbul setelah kematian ibu tercinta. Adly yakin bahawa doa ibunya ialah senjata yang ampuh dan merupakan asbab dirinya diterima masuk ke universiti. Walau bagaimanapun, setelah kematian ibunya, dia merasakan hidupnya hilang sirna dan hampir sahaja hendak berputus asa.

Setelah mengetahui bahawa bukan doa ibu sahaja tergolong dalam golongan doa yang dimakbulkan, maka Adly nekad untuk memulakan misi pencarian sekurang-kurangnya 40 doa daripada setiap golongan agar dia lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan semester bagi menggantikan doa ibunya yang sudah meninggal dunia. Meskipun dirinya masih cetek ilmu agama dek kerana latar belakang kehidupan keluarganya yang hidup dalam lingkungan masyarakat yang berlainan agama serta jauh daripada menerima sebarang bentuk akses pendidikan berteraskan Islam, namun tidak pernah sesekali meluputkan keazaman Adly untuk terus menjalankan misi tersebut.

Melalui watak Adly ini, kita dapat mengambil ibrah bahawa haruslah sentiasa merebut peluang memperoleh pahala melalui doa-doa yang kita mohon kepada hadrat Allah SWT, selain turut memperkuatkan lagi hubungan dan kebergantungan kita kepada-Nya.

 

  • Negeri 5 Menara oleh A. Fuadi

Bagi insan yang berada di perantauan sewaktu bulan Ramadan ini, baik dalam fasa menyambung pengajian ataupun sedang giat bekerja, semestinya novel ini boleh dijadikan sebagai satu daripada pilihan bahan bacaan inspirasi.

Novel karangan penulis dari negara serumpun ini mengangkat tema pendidikan dan keagamaan, dengan menampilkan watak utama, iaitu Alif yang dipertemukan dengan lima orang pemuda dari pelbagai kawasan.

Man Jadda Wajada”, suatu ungkapan oleh Ustaz Salman yang menyapa hati Alif, bahawa sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya. Di bawah Sahibul Menara, enam orang sahabat ini memasang impian dan cita-cita, berjanji hendak pergi merantau. Alif hendak pergi ke Amerika, Atang hendak pergi ke Mesir, Baso hendak pergi ke Mekkah, Raja hendak pergi ke England dan Dulmajid pula hendak merantau ke seluruh tanah Indonesia.

Siapa dapat menyangka bahawa keinginan mereka itu akan tercapai juga tanpa adanya sebarang keraguan, setelah Alif dan para sahabatnya itu berjaya menamatkan pengajian di Pondok Madani. Berkat dengan kepintaran dan keperibadian mereka, Alif bersama lima sahabatnya ini menjadi versi terbaik diri mereka.

Novel ini secara jelas hendak mendidik kita bahawa tiada yang mustahil dalam menggapai matlamat hidup sekiranya ada usaha yang konsisten dengan mengikut saluran yang benar, sebagaimana bulan Ramadan ini menjadi bulan tarbiah dalam mendidik umat agar sentiasa bersabar, menahan lapar dan dahaga serta menghadapi pelbagai bentuk ujian yang timbul agar dapat merangsang pembentukan spiritual diri ke arah yang lebih positif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.