22 Mac 2024, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Naim al-Kalantani, penulis buku Talbis Tuah dan bakal menerbitkan buku terbaharunya, Tanah Serendah dan Cerpen-cerpen Lain menyambung siri ruangan khas kami sempena bulan Ramadan ini. Cari, baca dan tekuni buku-buku pilihannya sebelum menjamah sebiji kurma.

Bagaimanakah untuk mengenali Nabi Muhammad SAW? Satu daripada caranya adalah mengetahui tentang perwatakan dan susuk peribadinya. Sebuah kitab yang dikarang oleh Imam at-Tirmidzi ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dalam beberapa versi.

Kebiasaannya, dalam bulan Ramadan, kita akan mengurangkan aktiviti fizikal kerana menyimpan tenaga untuk berpuasa seharian. Membaca merupakan satu daripada aktiviti yang boleh dilakukan bagi menggantikan aktiviti fizikal dalam sepanjang bulan Ramadan.

Tidak dinafikan bahawa al-Quran merupakan bahan bacaan terbaik dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Dengan membacanya, kita akan memperoleh ketenangan dan pahala yang berlipat kali ganda. Tetapi ada juga bahan bacaan lain yang saya boleh sarankan untuk kalian baca ketika rehat, menunggu berbuka puasa ataupun di masa lapang dalam bulan yang penuh berkat ini.

 

  • Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal oleh Martin Lings

Banyak kali buku ini tular di media sosial terutama sekali dalam TikTok. Bagi anda yang masih ragu-ragu untuk mendapatkannya, sekarang mungkin masa terbaik untuk anda menelaah buku ini. Martin Lings merupakan ahli bahasa Inggeris yang banyak dipengaruhi oleh William Shakespeare.

Dengan pengaruh itu, beliau menulis buku ini dalam bahasa Inggeris yang tertinggi untuk individu yang paling mulia di atas muka bumi ini. Tetapi jangan risau, buku tersebut sudah diterjemahkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan kini menjadi buku “laku keras” mereka sepanjang penubuhan IBDE. Buku ini diterjemahkan dengan cukup baik dan berhati-hati oleh graduan Universiti al-Azhar dan Jordan, iaitu Al-Mustaqeem M. Radhi dan Farhan Affandi. Buku ini juga merupakan buku terbaik tentang Nabi Muhammad SAW yang pernah ditulis dalam bahasa Inggeris.

 

  • As-Syamail Al-Muhammadiyah: Keanggunanmu Ya Rasulullah oleh Imam at-Tirmidzi

Bagaimanakah untuk mengenali Nabi Muhammad SAW? Satu daripada caranya adalah mengetahui tentang perwatakan dan susuk peribadinya. Sebuah kitab yang dikarang oleh Imam at-Tirmidzi ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dalam beberapa versi.

Buku ini merupakan kumpulan hadis yang disusun oleh Imam at-Tirmidzi pada abad kesembilan untuk pembaca mengenali sifat peribadi baginda Rasulullah SAW. Dalam kumpulan hadis ini, kita boleh mengenali Nabi Muhammad SAW melalui hadis-hadis berkaitan dengan penampilan, harga benda, kehidupan, gerak laku dan figura baginda.

 

  • Lebih Senyap Dari Bisikan oleh Andina Dwifatma

Novel ini merupakan novel terkini daripada penulis jiran kita, iaitu Andina Dwifatma. Novel ini mengisahkan seorang ibu bernama Amara yang gigih menjalani hidup daripada keinginannya mendapatkan seorang anak sehingga memperoleh anak bernama Yuki.

Inilah buku yang mengubah pandangan saya. Pertama, saya akan berasa amat kasihan kepada bakal isteri saya nanti jika kami memiliki seorang anak. Kedua, saya tidak dapat bayangkan betapa susahnya ibu saya menjaga saya sehingga menjadi seorang “manusia”. Buku ini benar-benar menjadikan saya insaf dan lebih menghargai wanita, perempuan dan ibu.

 

  • Juara oleh S. Othman Kelantan

Asalnya novel Juara merupakan dari sebuah cerpen S. Othman Kelantan bertajuk “Pahlawan Lembu” yang disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa (Mei,1969). Setahun kemudiannya, beliau mengembangkan cerpen tersebut menjadi sebuah novel yang bertajuk Juara.

Novel ini mengisahkan tentang orang tua, Mamat, yang berasal dari Kelantan berpindah ke Bangnara, Selatan Thailand kerana kekecewaannya kalah dalam pilihan raya di Kelantan. Novel nipis ini lengkap dengan sifat epik, tragedi, maruah, dendam, perbalahan berdarah, dan tradisi Pantai Timur-Selatan Thailand. Naratif yang digunakan oleh beliau dalam novel ini dengan gaya epik dan mengujakan betul-betul menarik perhatian pembaca.

 

  • Mencapai Keluhuran Budi oleh Za’ba

Buku yang tidak sampai 100 halaman ini menjadi buku terpenting Za’ba selain buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Buku ini menjawab beberapa persoalan asas dalam beragama. Bagaimanakah kita tahu ajaran agama—khususnya agama Islam—yang kita anuti sekarang ini merupakan ajaran yang paling benar? Za’ba menjawabnya di dalam buku ini dengan ringkas, padat dan mengesankan.

Persoalan-persoalan dalam beragama seperti “persoalan moral (kebaikan) yang dilakukan dalam beragama itu ialah paling benar” juga disentuh dengan sangat meyakinkan. Persoalan lain yang terdapat dalam buku ini ialah mengapa seseorang individu itu perlu menganuti agama. Buku ini sesuai dibaca untuk mendapatkan lebih keyakinan dalam kita mengamalkan cara hidup beragama Islam yang benar.

Demikianlah lima buah buku yang saya boleh cadangkan. Dalam bulan Ramadan ini, bahan-bahan bacaan yang baik boleh menjadi makanan rohani kita dan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.