27 Mac 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Karyawan Kedai Fixi di Sunway Putra Mall, Pepol Rahadian kembali dengan karya terbaharunya, iaitu Catatan Toko Fixi yang mengetengahkan memori-memori mencuit hati untuk tatapan pembaca.

Menurut Pepol, penulisan itu tercetus apabila beliau mengetahui bahawa belum ada lagi buku tempatan yang menceritakan tentang pengalaman bekerja di kedai buku.

“Mungkin saya terlepas pandang jika telah ada buku tempatan seperti ini yang telah diterbitkan. Di kala dunia buku sedang seronok meraikan buku-buku seperti Days at the Morisaki Bookshop dan Welcome to the Hyunam-Dong Bookshop, apa salahnya jika tulis dari sudut kedai buku tempatan pula walaupun buku saya ini tidaklah sama seperti dua buku yang saya sebutkan tadi,” katanya ketika ditemui Tunas Cipta di Kedai Fixi pada Selasa.

Pepol atau nama sebenarnya Saiful Zamir menyatakan idea untuk menulis buku sebegitu selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 berakhir.

Ia juga menandakan genap lapan tahun saya bertugas di Kedai Fixi. Memandangkan ia satu tempoh yang lama, saya rasa ada baiknya saya tulis pengalaman ini. Catatan-catatan dalam buku tersebut dicatatkan pada awal Julai 2023 dan tamat pada penghujung November 2023.

Di samping menceritakan kisah-kisah pembaca yang singgah ke Kedai Fixi, buku itu juga turut memuatkan beberapa fakta tentang syarikat Buku Fixi itu sendiri.

“Bukan semua pembaca Fixi tahu buku-buku Fixi ini sejak tahun penubuhannya pada tahun 2011. Ada yang baru tahu Fixi wujud sejak tahun 2023 contohnya. Selain itu, buku ini juga boleh mempromosikan Kedai Fixi itu sendiri. Ramai sebenarnya yang belum tahu bahawa syarikat Buku Fixi ada kedai buku mereka sendiri!” jelasnya.

Bercakap mengenai pelan masa depannya dalam bidang penulisan, Pepol mempunyai perancangan untuk buat buku kedua Catatan Toko Fixi.

“Di samping letak kejadian-kejadian yang baru berlaku, saya juga berharap untuk letak beberapa perkara yang tidak sempat saya masukkan ke dalam buku pertama dan juga kalau boleh, saya nak buat beberapa perincian terhadap tabiat pembaca yang berkunjung ke Kedai Fixi,” kata Pepol yang hobinya mengumpul figura anime tersebut.

Buku Catatan Toko Fixi juga dicetak secara swaterbit oleh Pepol sendiri dan boleh dibeli di Kedai Fixi atau pengedar buku terpilih.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.