Oleh Ruhaini Matdarin
21 Mac 2024, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Siri Baca-baca Ramadan diteruskan lagi dengan kali ini menampilkan pilihan buku-buku yang sesuai dibaca dalam bulan Ramadan oleh kolumnis majalah Tunas Cipta (TC), iaitu Ruhaini Matdarin. Teruskan pengembaraan kerohanian anda dengan buku-buku yang bermakna. 

 

Bahasanya puitis, mesejnya halus dan nilai empati yang diperolehi pembaca setelah menamatkan bacaan.

 

  • Midaq Alley oleh Naguib Mahfouz

Novel Lorong Midaq mengangkat pelbagai kisah kehidupan manusia di Kaherah, Mesir. Manusia-manusia yang terdapat dalam novel ini berbagai ragam. Keperluan untuk kelangsungan hidup, keinginan manusiawi, perlawanan batin, tuntutan dunia serta pertimbangan baik dan buruk sebagai seorang Muslim, semuanya diadun dengan baik oleh Naguib Mahfouz. Kadangkala aneh sekali gus membuat pembaca ketawa dan melamun. Ini sebuah novel rakaman zaman yang sangat hidup.

 

  • The Family Tree oleh Sairish Hussain

Novel ini menceritakan tentang kisah sebuah keluarga dari Asia Selatan di Britain. Keluarga minoriti Muslim yang berhadapan dengan cabaran hidup dalam komuniti masyarakat Barat. Isu yang dikemukakan oleh pengarangnya merupakan isu sejagat tetapi apabila melibatkan tradisi dan budaya, ia menjadi sebegitu menarik kerana pergelutan sebenar adalah tentang sudut pandang serta adaptasi secara dalaman terhadap persekitaran.

 

  • Kumpulan Cerpen Usia oleh Malim Ghozali PK

Pelbagai isu sosial, moral, agama  dan budaya yang diadun dengan ketajaman pengamatan, serta kekayaan pengalaman pengarangnya. Pembaca akan dibawa masuk ke daerah nostalgia (tanpa berkeluh-kesah).  Pembaca diajak berfikir dan berasa tidak dipaksa-paksa apabila menekuni teks. Salah satu nikmat yang pembaca akan temui sesudah membaca buku cerpen ini ialah pembaca akan mengetahui tentang flora dan fauna, alam, dan hakikat menjadi manusia itu sendiri.

 

  • Dan Coklat Mengalir Dari Ruang Buncah oleh Mawar Safei

Hampir semua cerpen dalam buku ini berupaya “menunjuk” pembaca tentang kesabaran tanpa pengarangnya berusaha keras menjelaskan manfaat bersabar. Bahasa yang puitis, mesej yang halus dan nilai empati yang akan diperolehi pembaca setelah menamatkan bacaan, akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan dalam tempoh masa yang sekejap.

 

  • Sarjana Bangsa oleh Hasanuddin Md Isa

Novel ini sarat dengan pemupukan rasa cinta terhadap ilmu dunia Melayu serta kebudayaan etnik lain. Menegakkan syiar dan keindahan Islam ialah inti utama novel ini. Buku ini sesuai untuk pembaca yang menghargai intelektualiti. Banyak sesi debat, percanggahan pendapat tentang budaya, pencarian titik temu dan pencerahan yang pembaca akan nikmati dengan fikiran yang lebih matang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.