Oleh Wan Nor Azriq
22 Mac 2024, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumnis majalah Tunas Cipta (TC), Wan Nor Azriq baharu sahaja menyudahkan terjemahan karya Virginia Woolf, iaitu novel To the Lighthouse. Buku terjemahan tersebut yang diberi judul Kepada Rumah Api akan diterbitkan oleh penerbit IBDE. Ikuti wawancara ringkas kami berkenaan kerja-kerja terjemahannya itu.

 

  • Mengapa Virginia Woolf?

Selalunya apabila nama Virginia Woolf disebut, orang akan membayangkan susuk feminis yang menulis A Room of One’s Own. Tapi itu hanya bahagian kecil daripada persona dan biografi kepengarangan beliau. Virginia Woolf harus dilihat, terlebih dahulu, sebagai salah seorang pengarang terpenting abad kedua puluh yang mengubah cara kita membaca dan melihat hubungan di antara cereka, memori, dan waktu.

 

  • Mengapa memilih To the Lighthouse?

Selain merupakan karya terpenting Virginia Woolf selepas Mrs. Dalloway, To the Lighthouse adalah pulau di tengah lautan bergelora, dan lentera yang melambai dan memimpin kita kembali ke masa lalu. Sebagai karya seni, ia adalah titik pertemuan di antara kekuatan naratif prosa dengan keindahan lirik puisi.

 

  • Apakah yang penulis/peminat sastera boleh dapat/belajar daripada kekuatan penulisan Virginia Woolf, dan terutamanya dari karya To the Lighthouse?

Buat peminat sastera Malaysia, novel Virginia Woolf akan sangat dekat dengan pembaca yang sudah biasa dengan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan Azmah Nordin. Kita dibawa melihat secara intim, hubungan kekeluargaan dan identiti wanita dari sudut psikologi. Bagaimanakah seorang isteri dan ibu memandang ruang dalam sebuah rumah? Bagaimanakah seorang suami dan bapa memandang permainan kekuasaan di antara dirinya dengan isteri dan anak-anak? Bagaimanakah kita memandang masa lalu dan tempat yang sudah hilang dimakan waktu? Ini adalah antara persoalan penting yang diterokai dalam novel Woolf.

 

  • Hal-hal atau perkara yang sukar apabila menterjemahkan karya ini?

Mencari laras bahasa yang menangkap gaya, nada, dan suasana zaman ketika Woolf mengarang novelnya. Merungkai ayat-ayat kompleks dan menjalinkannya semula dalam bahasa Melayu yang mudah difahami tanpa mengorbankan gaya bahasa Woolf.

 

  • Kelebihan To The Lighthouse berbanding karya-karya Virginia Woolf yang lain?

Novel ini yang paling dekat dengan kehidupan peribadi beliau. Malah ia ditulis untuk meraikan memori masa kecil bersama keluarganya ketika mereka bercuti ke rumah musim panas di St. Ives, Cornwall.

 

  • Kamus apa yang digunakan untuk menyelesaikan terjemahan ini? Dan rujukan-rujukan lain?

Kamus Dewan, Kamus DBP Online, dan ChatGPT4 apabila membuat penyelidikan tentang latar belakang novel ini.

 

  • Anda pernah menterjemahkan karya sastera yang lain, iaitu novel Dave Eggers, Hologram untuk Raja. Ada perbezaan proses terjemahan antara kedua-duanya?

Perbezaan paling ketara ialah kualiti bahasa dan pembangunan naratif. Kekuatan Eggers ialah humor dan kritikan sosialnya. Namun bahasa Eggers sangat mudah, seperti kebanyakan karya prosa dari penulis Amerika Syarikat. Tapi bahasa prosa Virginia Woolf menghampiri alunan dan keindahan puisi lirik. Naratifnya juga bergerak perlahan kerana kita mendengar monolog yang berturut-turut dan tidak berkesudahan daripada setiap wataknya.

 

  • Pilihan karya-karya terjemahan sastera dunia yang anda rasa best dan seolah-olah membacanya dari bahasa asal karya itu sendiri?

Faust, karya Goethe yang diterjemahkan oleh Latiff Mohidin, dan Swan’s Way karya Marcel Proust yang diterjemahkan oleh Lydia Davis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.