2 April 2024, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tarmizi Hasrah, pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM), juga merupakan seorang pencinta buku, berkongsi kepada kami lima buku pilihannya yang enak dan sedap dibaca sepanjang bulan Ramadan ini. Ramadan makin sampai ke penghujung, tetapi kembara kerohanian ilmu tidak akan bernoktah. Telusuri lorong rohani dengan buku-buku ini. 

 

Manusia berfikir dengan bahasa, dan tanpanya manusia bungkam.

 

Setiap orang mempunyai buku yang berpengaruh terhadap dirinya, termasuklah saya. Maka, di bawah ini, saya tampilkan lima buku yang meninggalkan kesan intelektual yang tidak sedikit terhadap diri saya dan selayaknya menjadi bahan bacaan anda dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

 

  • God is Beautiful: The Aesthetic Experience of the Quran oleh Navid Kermani

Saya membeli buku ini secara sedar setelah membaca sorotan ringkas oleh Goenawan Mohamad. Ternyata pembeliannya suatu keberuntungan.

“Semua agama mempunyai sisi keindahan,” begitu Kermani memulakan pradurja buku ini dan kita boleh bersetuju dengannya. Maka, dengan asbab keindahan, agama berdaya menarik manusia untuk takluk ke dalam nuraninya lewat pengalaman inderawi. Agama Islam tidak terkecuali kerana keajaibannya terpantul pada keindahan dan kesempurnaan bahasa al-Quran. Dan al-Quran perlu dibaca, yakni dibaca dengan suara. Atau, dibaca dengan alunan suara menurut aturan yang ditetapkan dalam sains al-Quran.

Di sinilah letaklah keistimewaan karya Kermani ini. Hasrat beliau adalah menjelmakan hakikat beragama menerusi keindahan al-Quran. Memang sisi ini kurang diberi tumpuan kerana kita lebih tertarik dengan sisi falsafah, teologi dan hukum.

Akan tetapi, kalau kita mencermati Islam sebagai ad-deen atau sebagai suatu keseluruhan yang terangkum dalam ketauhidan, justeru menjelmakan tamadun yang menautkan duniawi dan ukhrawi dan sisi keindahan yang tercermin dalam al-Quran tidak seharusnya disisihkan.

Sebab, pengalaman sejarah menunjukkan keindahan bacaan al-Quran berdaya memimpin manusia menajamkan akal dan jiwa kepada kesedaran bertuhan.

Saya menyukai buku ini bukan sebab kandungannya yang asasi kerana menyentuh teras falsafah keindahan, tetapi kerana sedap dibaca. “Sedap” bermaksud saya ialah gaya kepengarangan Kermani yang melekat dengan hanya sekali baca walaupun yang saya baca adalah versi terjemahan Inggeris.

Betapa sedap, kita tidak akan puas dengannya selagi tidak diulang.

 

  • Errata: An Examined Life oleh George Steiner

Ada satu catatan yang saya nukilkan dalam Facebook langsung menyentuh jantung Errata:

Saya rasa, tak ada yang lebih menyangkut daripada buku ini. Sejak mula beli, terus saja melekat. Bahasanya. Kejujurannya. Kedalamannya menyimak hidup sendiri. Dan kita pun mengidam-ngidam untuk turut sama mengalaminya. Errata, pesannya satu: carilah bahagia dibalik yang banal.

Tiga hal terungkap dalam catatan tersebut. Pertama, bahasa. Saya tidak tahu kaedah kepengarangan Steiner dalam Errata. Akan tetapi, yang saya tahu, kalimat pertama sahaja sudah membuatkan kita berkeinginan membacanya sampai habis.

Kedua, kejujuran. Errata ialah biografi intelektual Steiner. Maka, yang dikisahkan adalah sekecil-kecil sampailah sebesar-besar perkara yang menyuluh perkembangan akal dan kesedaran keilmuan beliau.

Ketiga, kedalamannya menyimak kehidupan. Ya, amat langka penulis berbicara perihal bau yang timbul sesudah bumi disirami hujan dan bau itu punya nuansa sejarah. Akan tetapi, tidak bagi Steiner. Ini kerana Errata juga ialah perenungan tentang hujan yang melorong kita menyusuri alur yang melampaui ruang dan masa.

Namun, Errata tentunya mempunyai inti yang lebih teras daripada tiga hal di atas. Nah, dalam Errata kita ditemukan dengan ironi yang memaksa kita untuk berfikir akan hal-hal yang asasi tentang manusia dan kemanusiaan.

Ironi sejarah adalah salah satunya, dan ini ternukil dalam pertanyaan bagaimanakah jenayah kemanusiaan yang paling dahsyat pada abad ke-20 boleh terjadi di pusat ketamadunan dunia?

Tidak ada jawapan tuntas dalam Errata, tetapi Steiner menegaskan, pencariannya adalah tugas hidup.

 

  • After Herder oleh Micheal N. Forster

Sejak awal lagi saya sememangnya merasakan Herder adalah ilmuwan yang istimewa. Keyakinan ini terpasak dalam kesedaran saya walaupun pada ketika saya masih belum membaca sebarang karya beliau. Sebab yang mewujudkan keyakinan ini ialah sewaktu menelaah karya historiografi linguistik, nama Herder acapkali muncul sebagai mewakili bahasawan abad ke-18, dengan gagasan pemikirannya yang masih dikesan jejaknya hingga kini.

Karya Forster ini secara khusus mengukuhkan lagi keyakinan saya itu.

Forster, dalam karya ini, menampilkan Herder sebagai susuk ilmuwan tulen, dengan gagasan pemikirannya mencetuskan justeru melahirkan banyak bidang keilmuan kontemporari. Akan tetapi, saya secara khusus lebih tertarik dengan natijah pemikiran Herder yang berlegar dalam falsafah tentuisme linguistik (linguistic tentuism) dan kerelatifan linguistik (linguistic realativity) yang dibahaskan oleh Forster dengan cemerlang.

Sebabnya, pemikiran Herder tentang perkara inilah yang banyak mempengaruhi diri saya dalam melakukan penelitian bahasa Melayu.

Hal lain yang menarik dalam karya Forster ini ialah kupasan menyeluruh tentang istilah Herderian, iaitu warisan pemikiran yang ditambatkan pada nama Herder terutama melibatkan idea “manusia berfikir dengan bahasa, dan tanpanya manusia bungkam.”

Idea ini sebenarnya sangat berkuasa, dan merintis denai kepada aliran falsafah bahasa moden yang merantaikan susuk seperti Humboldt-Heidegger-Sapir-Izutsu-Wittgenstein-Whorf. Melihat kepada deretan nama besar ini, kita pasti sedar bahawa Herderian ialah sebuah warisan keilmuan yang utuh.

Jadi, pada hemat saya, karya Forster ini sewajarnya ditelaah dengan teliti terutama pada waktu kita sedang menghidupkan semula wacana pengislaman ilmu bawaan al-Attas dan pemeribumian ilmu cetusan Shaharir.

 

  •  Pembinaan Semula Teori Kepengurusan dan Kepimpinan Rumpun Melayu oleh Shaharir Mohamad Zain

Karya Prof. Shaharir ini sememangnya mempunyai tempat yang istimewa buat diri saya. Karya ini menjadi saksi kepada perjalanan saya untuk mendekati dan menekuni sisi unik pemikiran pengarangnya.

Saya tahu dan mula membaca karya ini dalam tahun 2009 atau 2010 dengan edisi pertama yang terbit pada tahun 2008. Sejurus mendapat maklumat daripada Dr. Alinor tentang edisi kedua, saya langsung sahaja mendapatkannya di pasaran.

Secara peribadi, saya menganggap karya ini mengandungi rangkuman pemikiran Prof. Shaharir yang paling menyeluruh. Kenapa? Ada tiga sebab.

Pertama ialah pegangan falsafah. Yang saya maksudkan ialah perumusan falsafah pemeribumian ilmu yang jelas. Asasnya ialah pertanyaan “adakah ilmu Melayu?” yang dijawab menerusi takrifan ilmu Melayu yang sangat rinci dengan bahasa menjadi pangkalnya.

Dalam ungkapan yang lebih ringkas, kalau kita hendak mengerti dan hendak menggali ilmu Melayu, berpalinglah kepada segala khazanah pengkaryaan yang ditinta dan dilisankan dalam bahasa Melayu.

Kedua ialah metodologi yang dipaparkan dalam buku ini sangat bitara, yakni metodologi yang menuruti alur perbandingan etimologi dan semantik. Maksudnya, membandingkan dan mendialogkan istilah keilmuan yang berkaitan dalam bahasa sumber dengan istilah dalam bahasa Melayu bagi menyerlahkan perbezaan semantik.

Ini kerana Prof. Shaharir percaya perbezaan semantiklah yang memungkinkan pembinaan ilmu baru.

Ketiga, saya mengganggap buku ini mewakili pemikiran Prof. Shaharir yang menyeluruh tertumpu pada kejayaan beliau menyerlahkan pembinaan ilmu baru yang dimaksudkan itu.

Maka, dengan tiga sebab yang diberikan, kita semua pun boleh berpedoman kepada karya ini untuk melakukan “kritik ilmu” bagi membolehkan inovasi ilmu.

 

  • Wibawa Bahasa: Kepiawaian dan Kepelbagaian oleh James T. Collins

Sebagai peneliti dan peminat bahasa, saya menganggap karya Prof. Collins ini adalah antara buku terbaik tentang linguistik dan bahasa Melayu yang pernah dikarang di negara kita. Saya menyatakannya demikian atas dua sebab: peribadi dan juga akademik.

Untuk sebab peribadi, buku ini sememangnya mempunyai nostalgia yang tersendiri buat diri saya. Sepanjang menuntut di universiti khususnya di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana, saya tercari-cari karya yang menampilkan ketulenan dari segi perspektif dan pendekatan dalam menangani permasalahan sejarah dan gejala penyebaran dialek Melayu.

Pencarian saya ternoktah setelah saya menelaah Wibawa Bahasa secara dekat.

Untuk sebab akademik pula, Wibawa Bahasa sememangnya mengandungi wawasan yang tulen tentang banyak perkara melibatkan bahasa Melayu secara keseluruhannya dan juga dialek Melayu. Antara yang terpenting yang boleh dinukilkan di sini ialah menilai grafisejarah bahasa Melayu dengan kritis tanpa terpengaruh dengan pendekatan penzamanan yang lazim dalam pengajian Melayu.

Wibawa Bahasa juga turut menampilkan perspektif baru bagi penelitian dialek Melayu yang ternyata lebih berbetulan dengan kenyataan penyebaran dialek. Ia digelar perspektif topografi. Perspektif inilah yang sering diterapkan dalam banyak penelitian saya tentang dialek Melayu di Semenanjung khususnya melibatkan kawasan hulu sungai.

Satu lagi perkara yang menarik tentang Wibawa Bahasa ialah gaya kepengarangan Prof. Collins yang bersahaja tanpa terikat dengan konvensi akademik yang kering dan membosankan.

Maka, dalam buku ini, kita akan kerap bertemu dengan kiasan sejarah malah hingga sampai ke balairung seri istana Melaka pada zaman Sultan Mahsur Shah sebagai suatu kaedah menukilkan naratif agar lebih menyeluruh dan terangkum dengan isu yang ingin dibincangkan.

Gaya kepengarangan sebegini sememangnya unik bagi Prof. Collins, dan menjadi salah satu sebab utama semua karangan beliau tersusun kemas dalam perpustakaan saya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.