21 Mac 2024, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Ngaji Ramadan anjuran Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) menyemarakkan perbincangan buku secara kritis melalui siaran langsung di media sosial dalam bulan Ramadan ini.

Buku-buku yang dipilih untuk kupasan merangkumi buku fiksyen dan bukan fiksyen serta dibahaskan dalam bahasa Melayu.

Menurut kru UTAM, Hazman Baharom dan Nur Adilla,

UTAM mahu mengisi kekosongan wacana dan menjadikannya lebih rencam dan kritis. Sebelum Ramadan, kami fikir nak buat ulasan buku ilmiah di UTAM. Jadi, buatlah sesi khas terus sempena Ramadan. Kami mahu mengetengahkan perbincangan kritis berkaitan isu-isu yang memberikan impak atau mempengaruhi masyarakat, contohnya politik kepartian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ekonomi, isu Palestin, gender, dan lain-lain.

Dua orang anak muda yang sedang meneruskan pengajian di Universiti Waseda, Jepun itu turut berkata pada permulaan program tersebut, kebanyakan pembentang merupakan kalangan kru UTAM sendiri.

“Kami sedang usahakan untuk sesi dijalankan hampir setiap hari sepanjang Ramadan. Anggaran jumlah episod setakat ini ialah 20 episod yang sudah terisi dengan pembentang yang berminat,” jelas mereka lagi.

Hazman dan Nur Adilla juga berpesan bahawa selain melakukan ibadah, bulan Ramadan ini juga merupakan bulan di mana orang lebih banyak mengambil masa untuk menginsafi diri dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.

“Harapnya program ini boleh menjadi pencetus kepada usaha berfikir yang membawa kepada perubahan yang lebih baik selepas ini,” tambahnya.

UTAM mengalu-alukan para pembaca Tunas Cipta yang berminat mengulas buku untuk turut serta mengulasnya melalui pelantar media sosial masing-masing dalam bahasa Melayu.

Setakat ini, program Ngaji Ramadan telah membentangkan buku Protest Inc.: The Corporatization of Activism (Peter Dauvergne & Genevieve LeBaron), The Malaysian Islamic Party PAS 1951–2013 (Farish A. Noor), Nalar Kritis Muslimah (Nur Rofiah), Islam dan Masharakat (Syed Hussein Alatas), On Palestine (Noam Chomsky & Ilan Pappe) dan beberapa lagi buku lain yang dibentangkan oleh individu daripada pelbagai latar seperti penyelidik, penulis, dan penterjemah yang berkecimpung dalam topik yang dibentangkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.