Oleh Roslan Jomel
19 Mac 2024, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena bulan Ramadan ini, sidang editorial Tunas Cipta (TC) bertanyakan kepada beberapa orang penulis tentang buku-buku pilihan mereka untuk dibaca dalam bulan suci ini. Penulis pertama dalam siri bacaan Ramadan ini ialah Roslan Jomel. Nikmati dahulu “hidangan”nya sebelum anda menikmati hidangan juadah berbuka nanti.

Pada masa lalu, orang belajar untuk memperbaiki diri mereka sendiri. Ketika ini, mereka belajar untuk menjadikan orang lain berasa kagum.” – Confucius.

Saya tidak berniat untuk berceramah tentang kebaikan dan magisnya bulan Ramadan, kerana bidang itu bukan keahlian, tetapi sebagai pencinta buku dan pelbagai bahan bacaan bermanfaat, membaca sangat membantu dalam mengembangkan akal dan meluaskan horizon seseorang, terutamanya buat golongan penulis.

Sebagai pengarang, berdasarkan pengalaman peribadi, membaca (ataupun menulis) pada bulan Ramadan memang agak istimewa dan sudah tentu juga mencabar daya ketahanan fizikal sepanjang menekuni pekerjaan itu.

Saya diminta untuk memilih lima buah buku cadangan untuk dikongsikan kepada pembaca. Apa-apa pun jenis bahan bacaan (berkualiti, maksudnya) yang dipilih sepanjang menjalani ibadah berpuasa, terpulanglah mengikut selera dan kecenderungan minat masing-masing.

Adapun lima buah buku yang saya lampirkan di sini, sudah pun dibaca beberapa tahun lalu (sungguh berbaloi) dan sedikit sebanyak isi kandungannya memberi maklumat tambahan yang berguna kepada sesiapa pun yang membacanya untuk mendalami pada peringkat asas tentang sesuatu subjek yang dibincangkan di seluruh dunia.

Buku pertama yang dipilih ialah, Wajah Peradaban Barat, Dari Hegemoni Kristen ke Dominasi Sekular Liberal yang ditulis oleh Adian Husaini. Pengarang buku ini adalah salah seorang cendekiawan Islam kontemporari dari Indonesia yang mula saya kenali sejak membaca beberapa buah buku karangan Profesor Dr. Wan Nor Mohd Daud (turut menulis kata pengantar untuk buku yang disebut).

Buku ini, sebagaimana dikatakan oleh penerbitnya, ialah sebuah kajian oksidentalisme dari warga bukan Barat tentang susur galur ketamadunan Barat. Dan ia berbeza pula dengan kajian yang dilakukan daripada perspektif orientalisme (boleh baca buku tulisan Edward Said untuk mengenali secara lebih mendalam tentang topik berkaitan dengan oksidentalisme), dari sarjana-sarjana Barat tentang masyarakat Timur.

Buku tulisan Adian Husaini itu memang bacaan yang berat dan ada beberapa topik sensitif dan menurut hemat saya, mungkin tidak sesuai untuk disentuh di sini. Hal ini kerana isi kandungannya membicarakan isu-isu teras bagaimana peradaban Barat yang pada suatu ketika dahulu dilanda zaman kegelapan sehingga munculnya kesedaran para intelektual (ahli falsafah, pemikir awam dan juga golongan penulis) untuk bingkas melawan doktrin keras pihak gereja dan kemudiannya mencetuskan revolusi kebudayaan, evolusi ilmu dan rasionaliti dalam pemikiran sehingga terbentuklah mentaliti Eropah pada masa kini. Sungguh menggerunkan tema yang termuat dalam buku tulisan Adian Husaini itu.

Pilihan buku kedua saya ditujukan khas kepada golongan penulis, tidak kisah sama ada baharu menulis atau sudah lama menulis tetapi masih ingin belajar (jangan berasa diri sudah hebat dan besar serta tidak mahu mempelajari hal-hal baharu). Betapa mustahaknya daya kepekaan dan bagaimana unsur-unsur mujarad itu memberi nilai tambah kepada kredibiliti kerja penulisan seseorang. Buku yang hendak dicadangkan itu ialah, Proses Kreatif, Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang, tulisan Rahimah A. Hamid.

Jangan risau, buku ini tidaklah begitu berat tetapi bukan juga bacaan main-main, kerana pengarang buku tersebut merangsang daya imaginasi anda dengan memberi tumpuan kepada potensi kepekaan seseorang penulis agar dimanfaatkan ke dalam penulisan kreatif. Bakat dalam kerja menulis suatu hal, tetapi jika tidak peka (berjiwa halus), ia akan menjadi hambatan urusan kesenian yang lain lagi pula. Namun, menurut kata pengarang buku itu sendiri, sensitiviti hanya berupaya menyumbangkan bahan pertama (first insight) untuk pengarang memulakan proses penciptaan karya kreatifnya.

Untuk membolehkan bahan itu digarap dalam bentuk yang lebih indah dan menarik daripada keadaan asalnya, kreativiti amat diperlukan. Kreativiti pengarang akan bertindak mengubah bahan yang telah mengugah psikologi-estetiknya itu untuk menjadi suatu yang baharu, ia berpotensi boleh memukau dan memuaskan naluri seni khalayak pembaca.

Pilihan ketiga, aduh temanya kembali berat dan apa salahnya untuk mencuba bacaan sebegini supaya kita, sebagai pengarang muslim, arif untuk membezakan takrifan kebebasan (dan sempadannya) yang sesuai dengan syariat Islam, manakala  kebebasan yang mana pula mengikut nafsu dan akal masyarakat Barat (bukan muslim, maksudnya).

Buku ketiga yang dicadangkan ialah Kebebasan dan Pembebasan, Perbahasan Dalam Konteks Maqasid Shari’ah, tulisan Sheikh Dr. Ahmad al-Raisuni. Jangan risau, buku ini hanya setebal 108 muka surat sahaja, walaupun subjek yang dianalisis bukan main serius dan meruncingkan pada zaman kini.

Sekali lagi, sebagai pengarang muslim, biar apa pun tema dan pendekatan yang hendak diaplikasikan dalam penulisan, ilmu yang berasaskan daripada syariat Islam memang wajar untuk diketahui supaya kebebasan kreatif yang sering menjadi alasan dalam berkarya tidak menggelincirkan akidah seseorang.

Memetik kata-kata daripada penulis buku itu, sesungguhnya tujuan utama misi kenabian Nabi Muhammad SAW adalah untuk membebaskan akal dan pemikiran umat dan mengangkat apa-apa yang memusnahkan kedua-duanya daripada pembodohan, pembelengguan, perantaian dan sangka-sangkaan. Adakah dalam Islam itu sesuatu yang bertentangan dengan fitrah manusia? Sungguh silap jika mengatakan demikian. Malahan, kebebasan datang sejak awal penciptaan manusia lagi. Hanya masyarakat Barat yang bersikap jahil dan skeptikal sahaja melabelkan kononnya penganut Islam itu kolot, terikat akal dan menghuni dalam tempurung kelapa.

Pilihan seterusnya, buku Hamka, bertajuk Menjawab Persoalan Akidah Dalam Masyarakat. Sangat mustahak buat seseorang, pada masa yang sangat kacau-bilau kini, untuk mengetahui perkara-perkara yang melibatkan akidah daripada ahlinya yang berautoriti dan diyakini amanat serta jujur dalam menyampaikan ajarannya, sesuai dengan apa yang diperintahkan dalam kitab Al-Quran dan hadis sahih dari Nabi Muhammad SAW.

Anda masih mengingati telefilem Al Mahdi (lakonan M Rajoli) yang pernah disiarkan di TV3 dahulu? Sudah terlalu banyak insiden dan kemunculan individu-individu yang diragui keilmuan dan latar belakang kepercayaannya muncul dalam media sosial dan begitu agresif menyesatkan para audiens dengan maklumat-maklumat yang bukan sahaja tidak sahih, malah semakin mengelirukan tentang agama.

Maka, untuk mengelakkan diri daripada dijadikan mangsa penipuan/pembodohan astaziah jadi-jadian itu, pilihlah bahan bacaan yang meluruskan kefahaman dan ikuti ceramah agama daripada ilmuwan Islam yang ikhlas dan teguh dengan prinsip kebenaran, sebagaimana yang terdapat dalam buku karangan Hamka, tokoh Islam terbilang di Nusantara ini.

Dalam buku ini, Hamka telah menjelaskan (disampaikan dengan bahasa yang mudah) setiap kemusykilan masyarakat berhubung persoalan wahyu, kepentingan akal, menjadikan ayat Al-Quran sebagai azimat, tauhid, sifat-sifat Allah, gerakan kebatinan yang menyimpang daripada syariat Islam, bahkan termasuk ideologi komunis.

Buku kelima yang ingin saya cadangkan ialah Islam Dan Sekularisme, tulisan cendekiawan tersohor yang mendunia, iaitu Syed Muhammad Naquib al-Attas. Segeralah dapatkan buku ini. Buku yang menjadi koleksi berharga saya itu diterbitkan oleh Institut Pemikiran Islam dan Pembangunan Insan, Bandung, Indonesia.

Buku itu dibeli pada tahun 2012, ketika berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, walaupun saya sendiri sudah lama mengenali ketokohan cendekiawan Islam itu melalui bacaan esei-esei dalam pelbagai media massa (paling saya ingat ialah dalam majalah Dewan Masyarakat).

Inilah buku paling wajib dibaca oleh sesiapa pun (paling penting para penulis generasi baharu), juga sebab kandungannya sangat penting untuk memantapkan jiwa dan akal fikiran dalam menghadapi serangan dan usaha pembaratan (westernization) sekarang. Kedalaman analisis, kekuatan hujah dan kecemerlangan penyampaian pada bahagian perbandingan kebudayaan Barat dan agama Islam sungguh menyerlah dalam buku itu.

Saya percaya para pembaca di luar sana tentu memiliki koleksi buku yang lebih mencabar dan tidak kalah dari sudut kualitinya dengan lima buku pilihan yang dicadangkan untuk dibaca sepanjang menjalani ibadah puasa.

Bulan Ramadan hanya sebulan, tetapi ilmu tiada tarikh tempoh tamatnya. Apa-apa sahaja aktiviti pemikiran (membaca dan menulis) untuk mencari kebenaran tentu lebih memberi keterujaan, malahan dengan rasa lapar dan dahaga yang dilalui, menambahkan lagi daya fokus seseorang untuk memahami/menyerap pengetahuan dengan lebih maksimum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.