14 Mac 2024, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Penggunaan bahasa dalam penulisan buku sastera kanak-kanak melalui sudut pandang dan interaksi kanak-kanak merupakan langkah progresif dalam membentuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang menyeronokkan bersama-sama mereka.

Hal ini merupakan satu daripada pengisian penting dalam Bengkel Penulisan Buku Sastera Kanak-kanak: Siri 1 yang berlangsung bersempena dengan Program Riang Ria Cuti Sekolah bertempat di Perpustakaan Kanak-kanak, Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Kangar, Perlis.

Puan Khalimatul Idreena Akashah menerima sijil penghargaan daripada Encik Rahim Husin, Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Bengkel Penulisan Buku ini turut menampilkan YBrs. Profesor Dr. Bustam Kamri selaku Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak Malaysia dan Puan Khalimatul Idreena Akashah selaku tenaga pengajar bengkel.

“Penggunaan ilustrasi foto dalam penulisan buku sastera kanak-kanak sangat penting seperti inspirasi foto beruang coklat yang dihasilkan oleh Eric Carle, penulis terkenal Amerika Syarikat dan pakar ilustrasi buku kanak-kanak yang telah menghasilkan ilustrasi buku kanak-kanak terkenal berjudul Brown Bear, Brown Bear, What Do You See (1967),” jelasnya dalam bengkel penulisan itu.

YBrs. Profesor Dr. Bustam Kamri menunjukkan pemilihan foto binatang yang ideal dalam penulisan buku kanak-kanak.

Hasil penggunaan ilustrasi foto beruang coklat dalam buku tersebut turut memudahkan kanak-kanak mengenali kehidupan beruang selain mengembangkan kognitif dan sosioemosi mereka secara pesat.

Dalam bengkel yang sama, hasil penulisan manuskrip kandungan buku sastera kanak-kanak hasil peserta akan dibentangkan dan dibincangkan dalam Bengkel Penulisan Buku Sastera Kanak-kanak: Siri 2.

Penganjuran Bengkel pada kali ini merupakan hasil kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPS), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dan Children’s Industry Lifelong Learning and Development Hub (CHILD).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.