19 April 2024, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengkritik muda dan penulis bebas, Naim al-Kalantani menerbitkan karya keduanya selepas naskhah drama pentasnya, Talbis Tuah. Kini dengan kumpulan ceritera, Tanah Serendah dan Cerpen-cerpen lain yang membawa elemen politik, sosial dan budaya.

Menurut graduan Sarjana Muda Penulisan Kreatif dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini, kumpulan cerpen tersebut merupakan hasil daripada Projek Tahun Akhir (PeTA) yang telah melalui beberapa fasa.

“Ia bermula daripada pembentangan cadangan projek, proses penulisan, rombakan dan suntingan, sumbang saran oleh penyelia iaitu Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Kemudian pembentangan akhir dilakukan di hadapan panel penilai iaitu Dr. Azman Ismail, pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA selaku panel penilai dalaman dan Dr. Hanafi Ibrahim daripada DBP selaku panel penilai luar,” katanya ketika diwawancara di Rumah PENA minggu lalu.

Menyedari perih jerih dan penat lelah dalam menghasilkan kumpulan cerpen ini, Naim berpendapat bahawa karyanya perlu menjadi bahan bacaan umum dan tidak di sia-siakan begitu sahaja.

“Setiap tahun saya merasakan satu kerugian apabila pelajar telah melalui penat lelah untuk menyiapkan karyanya, namun ia disimpan di dalam stor fakulti atau perpustakaan yang mengakibatkan bahan tersebut tidak dapat disebarluaskan. Daripada kebimbangan itulah saya memikirkan bahawa adalah lebih baik saya terbitkan karya saya sendiri,” jelasnya.

Naim al-Kalantani yang lebih cenderung menulis esei dan kritikan di The Malaysian Insight menyedari bahawa cerpen bukanlah kekuatannya yang sebenar walaupun telah menamatkan tiga tahun pengajian dalam bidang penulisan kreatif. Oleh itu, melalui pelantar Dana Buku, beliau berjaya menerbitkan kumpulan cerpen pertama yang akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tidak lama lagi.

“Menghantar kepada penerbit bukanlah jalan yang mudah dan saya tahu kekuatan saya bukan pada cerpen. Jadi saya meneliti peluang yang ada, maka bertemulah dengan pelantar Dana Buku yang mengumpulkan dana awam untuk menerbitkan buku secara mandiri,” ujarnya.

Naim juga beranggapan bahawa cabaran yang dihadapi sepanjang proses penerbitan kumpulan cerpen ini merupakan permulaan perjalanannya sebagai penulis dan bakal menerima kritikan dan komentar daripada khalayak dengan hati yang terbuka.

Untuk perancangan masa akan datang, beliau mempunyai hasrat untuk menerbitkan kumpulan eseinya yang pernah diterbitkan di merata tempat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.