Oleh RABYA SHAMZ
30 April 2024, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Penyair dan penulis, Raja Ahmad Aminullah atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Engku atau Pak Raja telah membawakan 3000 naskhah buku peribadi miliknya ke Pesta Buku Pak Engku, pada Sabtu lalu.

Pesta buku yang berlangsung pada 27 dan 28 April lalu bertempat di Jalan Othman, PJ Old Town telah mendapat sambutan daripada para pengunjung dengan hasil jualan separuh daripada jumlah yang dibawa.

“Buku koleksi yang dibawa ini hanya sejumlah kecil daripada yang ada di rumah. Banyak buku yang ada ini saya kumpul dari merata tempat, masa zaman muda merantau ke negeri orang,” kata Pak Engku dalam satu perkongsian di Pelita Dhihin.

Jelasnya lagi, buku yang dikumpulkan itu sudah melebihi 50 tahun dalam tangannya dan dibeli ketika di usia muda seawal 17 tahun.

Penulis buku Genta Telah Berbunyi itu turut menyatakan bahawa beliau gembira boleh berkongsi minat dengan pembeli bukunya dan turut berkongsi pandangan tentang isu semasa bersama-sama mereka.

“Buku-buku ini kebanyakannya dibeli dalam harga US Dollar, jadi sebenarnya mereka (pembeli) sangat beruntung dapat membeli dengan harga RM10, RM15 dan RM25,” katanya lagi ketika ditemui.

Pesta Buku tersebut anjuran Pelita Dhihin dengan kerjasama The Bibliophiles ini telah mengumpulkan banyak buku daripada pelbagai genre, antaranya termasuklah, seni, falsafah, sastera, budaya, politik, agama dan sejarah.

Menurut wakil Pelita Dhihin, Khir Azib, lebih kurang 60 peratus buku terjual sepanjang dua hari tersebut.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.