22 April 2024, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hasrat kedutaan Sweden dalam memperkenalkan kesusasteraan mereka di pasaran Malaysia, diterima baik oleh pihak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melalui program Jom Baca Bersama 10 Minit pada 23 April, lalu dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan BernamaTV.

Bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun, Pengurus Maklumat Perpustakaan Digital BERNAMA, Hasnita Ibrahim berkata, hasil karya tersebut telah diterjemahkan dan diterbitkan ke dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Mandarin.

Pihak kami berhajat untuk menganjurkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit secara besar-besaran agar masyarakat berpeluang membaca dan menghayati beberapa hasil karya kesusasteraan Sweden melalui program anjuran kami. Antara hasil karya yang boleh didapati dalam program tersebut termasuklah, Pokok Pain, Kawah dan Semua Orang Berlalu Pergi.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengadakan Forum Jom Bincang yang dijangka bakal dihadiri Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom dan bekas pengacara popular era 1980-an, Ferri Anugerah Makmur sebagai panel dalam forum tersebut bagi berkongsi kejayaan hasil daripada tabiat membaca mereka.

BERNAMA merupakan agensi kedua selepas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang pernah bekerjasama dengan kedutaan tersebut bagi menampilkan koleksi kesusasteraan negara berkenaan dalam program serupa terutama untuk kanak-kanak.

“Pihak kami berharap program seperti ini akan membuka minda orang ramai untuk lebih banyak membaca kerana membaca bermanfaat dari segi kesihatan mental yang membuat kita menjadi lebih yakin dalam kehidupan dan interaksi sosial, selain mengurangkan stres dan tanpa sedar membuatkan kita lebih dihormati,” jelas beliau.

Program Jom Baca Bersama 10 Minit anjuran BERNAMA pada 23 April ini dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.