Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Manuskrip Syair Dagang merupakan satu daripada karya manuskrip Melayu yang berbentuk puisi terawal di alam Melayu dan dikategorikan dalam kelompok syair keagamaan.
Manuskrip ini dikaitkan dengan kehebatan seorang sarjana, penyair, cendekiawan, sasterawan dan juga seorang ulama dan intelektual dari Aceh, Indonesia, iaitu Hamzah Fansuri.
Pensyarah di Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA MELAYU), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd Muhaimi Abdul Rahman berkata, manuskrip Syair Dagang sangat penting untuk dihayati bagi semua lapisan masyarakat khususnya buat golongan pemuda dan pemudi.
Hal ini kerana karya tersebut mengandungi banyak nasihat, pengajaran, teladan, hukum-hakam dalam Islam, adat jual beli, adat berkawan, adat menjadi nakhoda, adat mencari jodoh, perkara-perkara mahmudah dan sebagainya. Berikut merupakan antara rangkap syair tersebut:
Dengar olehmu muda bangsawan,
Ibu bapamu jangan dilawan,
Di dalam dunia itulah tuan,
Di dalam akhirat menjadi kawan.
Jikalau semua ia me(ng)khesarkan,
Dunia akhirat yang diikutkan,
Jangan sekali engkau menitahkan,
Dosanya besar engkau dapatkan.
Memberi makan bini dan anak,
Harta yang haram terlalu enak,
Ingatlah tuan saudara dan anak,
Di dalam akhirat neraka jinak.
Jika tersebut tiap-tiap jemari,
Baru tertutup hati sanubari,
Di dalam akhirat beroleh bahagi,
Allah mengasihani syurga diri.
Tambah beliau lagi, antara kandungan yang penting dalam syair ini adalah tentang penceritaan pengembaraan seorang lelaki sufi yang diriwayatkan sebagai Dagang yang hidup dalam kemiskinan. Dagang telah membuat keputusan untuk keluar mengembara demi mengubah kehidupannya.
Hamzah Fansuri memandang dunia hanya sebagai tempat persinggahan yang sementara, sebaliknya akhiratlah tempat yang kekal abadi dan mengetengahkan pelbagai cara untuk mendekatkan diri dengan Tuhan, antaranya termasuklah seperti sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT, sentiasa menyebut kalimah Lailahaillah, berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah, menjaga akhlak dan perilaku, serta berpegang teguh dengan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Tegasnya lagi, karya syair ini menggambarkan bahawa Hamzah Fansuri berjaya mengadun serta mengolah ilmu tasawuf dan seni ilmu bahasa dengan harmoni serta berjaya mengislamisasikan aspek pemikiran, budaya, bahasa dan persuratan Melayu.
Oleh itu, beliau selayaknya dikenali sebagai seorang tokoh pelopor perkembangan kesusasteraan Melayu dan pujangga Islam.