Oleh Aliff Awan
10 Mac 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aliff Awan melihat buku tentang muzik sebagai sesuatu yang menarik!

Izzat Amir mengambil langkah yang berisiko.

T  ajuk ini ialah persoalan yang garang, tapi ini merupakan titik mula dan punca, wartawan dan penulis muzik, Ku Syafiq, konsisten menulis setiap minggu untuk segmennya dalam akhbar Utusan Malaysia, Rondivu.

Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB 2024) baru saja berlabuh dan Pasar Seni baharu saja reda daripada orang ramai. Dalam kalut penuh pengunjung, pada hari ketiga acara, Rabak-Lit sempat melancarkan tiga buah buku baru dan menariknya, ketiga-tiga buku ini ada semangat muzik. Kalau tidak sikit, mesti banyak!

Judul-judulnya ialah:

  • Malam Dingin Jahanam oleh Mohd Jayzuan
  • Per Diem Volume II: The Cerebral Currency oleh Takahara Suiko
  • Gonzo Tanpa Fiasco: Muzik Tidak Harus Tewas oleh Ku Syafiq

Jayzuan, penyanyi dan pengamal seni, menghimpunkan cerita-cerita kontot dan sajak-sajaknya dalam buku nipis berwarna hijau. Sementara Per Diem hadir dalam jilid kedua, menampilkan puisi-puisi Inggeris tulisan penulis lagu-penyanyi, Takahara Suiko.

Pelancaran tiga buah buku terbitan Rabak Lit bersama-sama tiga orang penulis.

Pelancaran buku yang dipandu oleh Afiq Rostam dan soalan-soalannya yang berbangkit, menguntumkan senyum di bibir pendengar. Cuma, secara peribadi, saya cukuplah gemar ketika Afiq menyoal Ku Syafiq tentang permulaan kenapa dia menulis tentang lagu?

Jawabnya mudah, “Saya peminat muzik tempatan, dan tiada litupan yang menyeluruh untuk muzik-muzik mereka. Jadi, sebagai pendengar, apa yang saya boleh buat untuk naikkan muzik tempatan?”

Menggunakan ruang sebagai seorang wartawan sehabis baik, melalui Rondivu yang keluar sekali setiap minggu, Ku Syafiq berjaya menulis 100 artikel mengenai muzik tempatan pada Julai 2022. Sehingga kini, angka tulisannya makin bertambah dan artis tempatan yang diberikan peluang olehnya untuk bersinar di akhbar, makin bertambah.

Ikhlas dan kesungguhan untuk memberikan ruang setara kepada pemain muzik yang tak dapat menembusi pasaran umum telah menjadikan Ku Syafiq sebagai orang penting dalam industri muzik tanah air. Terutamanya, di kalangan pemuzik yang perlu berpentas di acara-acara kecil, yang tidaak dapat keluar televisyen.

Di mata sesetengah orang, mungkin merupakan sebuah usaha yang sia-sia. Tapi, ia juga merupakan sebuah rakaman bagaimana muzik tempatan kita hidup terutama sehingga dua hingga tahun kebelakangan ini. Sekurang-kurangnya, ia boleh dirujuk satu hari nanti. Katakanlah ada kumpulan yang memilih untuk tidak lagi membuat muzik, melalui Rondivu ini, pembaca yang datang dapat terokai siapa Zim Ahmadi, Zhafirin Zulkifl, Senja dan Terrer.

Izzat Amir mengambil langkah yang berisiko. Ketika buku tempatan asyik dibanjiri dengan pembaca yang lebih gemar membaca karya fiksyen seperti novel dan puisi, selaku penerbit, dia memilih untuk menerbitkan buku kompilasi artikel. Yang tidak ada sikit pun reka-rekaan, sebaliknya rasa paling dalam seorang peminat muzik terhadap muzik yang didengarinya.

Gonzo Tanpa Fiasco: Muzik Tidak Harus Tewas kini dijual di pasaran. Buku berwarna merah ini menghimpunkan 38 artikel termasuk temu bual bersama Ramayan, Margasatwa, Monoloque, Motherwit dan AG Coco.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.