19 Februari 2024, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Azhar Abdullah, artis komik yang mencipta komik Pendekar Melayu Terakhir berkongsi kepada pembaca Tunas Cipta (TC) komik-komik tempatan dan luar negara yang diminatinya.

Bagi saya komik merupakan gabungan seni penceritaan dan seni lukisan. Banyak komik yang saya baca dan minat mempunyai genre dan gaya lukisan serta penceritaannya yang tersendiri.

Selain mencipta komik, saya juga merupakan pembaca dan peminat tegar komik dan novel grafik. Daripada hobi membaca komik, terus membawa kepada hobi melukis dan seterusnya sebagai kerjaya. Kalau diikutkan saya mula membaca komik sejak di bangku sekolah semasa darjah tiga lagi; daripada komik pertama yang dibeli oleh pak cik saya dalam perjalanan pulang ke Taiping menaiki kereta api sehinggalah membacanya di perpustakaan, seterusnya membelinya di kedai buku dan majalah.

Bagi saya komik merupakan gabungan seni penceritaan dan seni lukisan. Banyak komik yang saya baca dan minat mempunyai genre dan gaya lukisan serta penceritaannya yang tersendiri. Menarik daripada komik ialah penceritaan, genre, konsep komik itu, gaya lukisan, watak atau hero serta siapa penulis atau pelukis komik itu.

Pada zaman sekolah, selalunya kita (saya, terutamanya) memilih komik yang mempunyai watak popular dan menarik seperti Batman dan Spider-man. Apabila meningkat dewasa, saya lebih cenderung kepada melihat gaya lukisan dan nama-nama pelukis atau penulis yang saya suka.

Sejak di bangku sekolah lagi ada banyak komik yang saya baca dan minat. Setiap tahun dari tahun 1980-an hingga 2000-an (sehingga kini), saya menemui silih berganti pelbagai jenis komik dan pelukis komik yang membuatkan saya sendiri ingin melukis seperti mereka.

Antara komik tempatan yang diminati ialah karya-karya daripada arwah Zoy (Mohd. Zohri Sukimi) yang karyanya lebih kepada aksi persilatan yang terbit dalam surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian sejak lewat tahun 1980-an. Antara karyanya adalah seperti Tok Guru, Bengkung Pelangi dan Takluk Jagat selain karya dalam majalah seperti Fantasi dan Apo?. Bukan setakat gaya lukisannya yang dapat melakarkan rupa Melayu pada setiap watak malah penulisan dan dialognya penuh bunga lengkap nahu tatabahasa Melayu.

Kampung Boy oleh Dato’ Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, memang tidak asing lagi dalam dunia penerbitan komik Malaysia. Menariknya, komik ini membawa kisah kehidupan seharian dan uniknya, budaya Melayu itu sendiri yang menjadi resipi utama (dekat dengan hati pembaca) yang seterusnya berjaya menembus pasaran antarabangsa.

Lorekan berus yang bersahaja daripada Lat memang memukau dan dengan sentuhan kartun minimalis ini berjaya menjadi suatu tanda dagang (trade mark) atau saya huraikan merupakan suatu gaya lukisan kartun Malaysia yang boleh dikatakan ‘inilah gaya lukisan kartun Melayu’.

Seterusnya ialah Abe, komik yang ditulis oleh Ujang dan dilukis oleh Arwah Aie (Shaari Sulong). Suatu penulisan penuh emosi dan perwatakan yang mendalam serta dialog yang bersahaja dan yang menyentuh perasaan ditambah dengan gaya lukisan Aie yang tersendiri. Mainan ruang letak watak dan latar belakang yang memukau dan indah walaupun persembahan lukisan dalam komik ini lebih kepada ‘stylized’ dan gaya kartun berbanding karya semi realistiknya dalam komik Aku hidup dalam Blues.

Koleksi Komik Lubuk yang ditulis oleh Ujang dan dilukis oleh Ahmad Kamil Sabri (menggunakan nama pena ‘Hulubalang Lubuk’ untuk lukisannya dalam komik ini). Lukisan dari Ahmad Kamil Sabri yang menampakkan gaya lukisan Melayu pada setiap watak dan juga latar belakang lukisan yang disertakan mainan dakwat gelap atau lebih kepada mainan bayang hitam sesuai dengan konsep cerita misteri ini. Selain itu, Ujang juga menerokai penceritaan alam misteri dari kisah-kisah yang dilaluinya dan didengarnya melalui hobi memancingnya.

Kartini, karya arwah Tembakau (Azhar Ahmad), (ya, suatu ketika dahulu ada seorang dua peminat/kenalan ingat sayalah kartunis Tembakau kerana nama Azhar itu). Kisah ini dekat di hati saya dan juga pembaca yang bersekolah asrama dan pernah melalui ‘cinta monyet’. Selain dialog dan dramatik penceritaannya, permainan sudut kamera dan ‘panelling’ (kotak komik), Tembakau juga membawa seni penceritaan bergambar (sequential art) ini dengan penuh dramatik, emosi, kasar dan bertenaga sehingga terasa impak realisme dalam karya beliau.

Kita beralih kepada komik luar Malaysia. Aduh, banyak yang saya suka sehingga berasakan tidak cukup untuk dinyatakan dan dibincangkan di sini. Baiklah, saya kongsikan lima komik luar negara terbaik pilihan saya.

Pertama ialah komik Batman Year One, ditulis oleh Frank Miller dan lukisan oleh David Mazzucchelli. Selain lukisan bertenaga (dan tersendiri) dengan mainan cahaya dan susunan panel dari David, cerita dari Miller ini menerokai tahun pertama Bruce Wayne sebagai Batman dan juga tugasan pertama Detektif James Gordon di bandar Gotham yang penuh jenayah ini.

Kedua ialah komik Sin City oleh Frank Miller. Saya sangat teruja dan kagum dengan mainan cahaya, kontra hitam putih dan elemen ‘noir’ yang dibawa dalam lukisan Frank Miller. Ketika itu, gaya lukisan yang dibawa oleh Miller sangat baharu, radikal dan revolusi sesuai dengan konsep noir jenayah ini. Penceritaannya juga agak berani yang lebih mendekati bacaan matang dewasa penuh keganasan.

Ketiga ialah komik Bone oleh Jeff Smith. Berlatarbelakangkan pengalamannya dalam bidang animasi, Smith membawa penceritaan dan pergerakan cerita dan watak yang agak bersahaja. ‘Pacing’ (perjalanan masa cerita antara panel ke panel) sangat asas dan mudah dibaca seperti pergerakan bingkai ke bingkai yang dipegunkan dari animasi. Cerita fantasi ini bermula dari pengembaraan tiga saudara makhluk Bone ini yang dibuang negeri ke sebuah kampung. Bermacam-macam sketsa berlaku yang membawa satu perang besar yang tidak dijangka antara manusia dengan makhluk tikus.

Keempat ialah komik Hellboy karya Mike Mignola. Satu lagi keterujaan saya terhadap komik ini ialah gaya lukisan yang minimalis, ‘stylized’ (gaya lukisan di lebih-lebihkan) yang sederhana diadunkan dengan permainan bayang yang legap hitam. Juga idea baru daripada Mignola mengisahkan seekor makhluk berbadan merah ala beruk dan bertanduk yang diselamatkan sewaktu insiden Perang Dunia Kedua di Eropah. Makhluk yang diberi nama Hellboy dibawa ke Amerika dan dibesarkan di bawah bimbingan Prof. Trevor Brutenholm. Hellboy seterusnya menjadi ejen paranormal melawan makhluk gelap paranormal lain yang penuh misteri.

Kelima ialah Domu karya Katsuhiro Otomo. Otomo yang sinonim dengan komik dan anime Akira (ya, itu juga merupakan pilihan komik terbaik saya, tetapi saya lebih memilih Domu kerana penceritaannya agak langsung, tidak sekompleks dan teliti berskala besar berbanding Akira). Berlatarbelakangkan kawasan perumahan pangsapuri di Tokyo, pembunuhan misteri dan seterusnya pertarungan dua insan yang sangat istimewa. Juga lukisan yang sangat terperinci, kemas dan tersendiri dari Otomo.

_________________________________

Muhamad Azhar Abdullah, mula berkarya dengan Syarikat Penerbitan Sendiri bersama enam rakan lain. Menerusi Majalah Antologi komik bertajuk Urban Comics, Azhar menghasilkan komik, iaitu Paskal Garuda, Kisah Budak Asrama dan Urban Babes bersama Fythullah Hamzah. Seterusnya, Azhar juga berkarya dengan komik Liga Pendekar pada tahun 2008 setelah memenangi Geran Inisiatif MDEC  IPCC (Intelectual Property Creative Challenge) bagi kategori Digital Komik pada tahun 2006. Seterusnya beliau menukil karya Pendekar Melayu Terakhir (2010), Invasi (2015) dan Liga Pendekar Raya: Koleksi Komik terbaik Azhar Abdullah (2021). Komik terbaharunya berkisarkan drama kehidupan anak- anak polis bakal diterbitkan sendiri dalam sebulan dua ini. Selain berkarya, beliau juga merupakan antara tenaga pengajar bagi bidang Animasi, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Puncak Perdana. Untuk mengikuti perkembangan karya beliau boleh lawati laman facebook, Instagram dan TikTok beliau: Azharmaa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.