Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKedah – Program Resensi Buku yang telah melibatkan sebanyak 30 orang pelajar dan tenaga pengajar dari Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun telah berlangsung dengan jayanya hasil bimbingan daripada Tuan Haji Zulkefle Dollah, penulis karya kreatif, esei dan kritikan sastera daripada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).
Dalam program tersebut, beliau turut menekankan bahawa teknik penulisan resensi buku sangat mudah jika peserta tahu cara menggunakan teknik yang betul dalam penulisan mereka.
Jelasnya lagi,
Penulisan resensi buku dilakukan bertujuan untuk membantu pembaca mendapatkan buku yang menarik dan bermanfaat dalam pasaran. Pencarian buku berkualiti sebagai bahan bacaan akan menghasilkan pembaca yang cakna terhadap isu semasa global.
Antara teknik yang dinyatakan oleh Tuan Haji Zulkefle Dollah termasuklah, penulis harus mengupas perkara yang menarik melalui bacaan mereka dan menggunakan bahasa yang mudah serta tidak terlalu panjang. Dengan cara ini, sudah pasti resensi tersebut akan memberikan manfaat kepada pembaca.
Malah beliau juga turut menyatakan bahawa penulis resensi yang baik boleh menghantar penulisan tersebut kepada akhbar dan majalah tempatan yang ada menyediakan ruangan resensi buku.
Akhir sekali, Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Membaca Kolej Matrikulasi Kedah, Puan Shahrulaini Rahimin selaku penganjur program Resensi Buku mengharapkan agar acara seperti ini boleh diteruskan dari semasa ke semasa dan Pihak Kolej Matrikulasi amat mengalu-alukan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk terus menganjurkan program penulisan seperti ini dalam skala yang lebih besar pada masa hadapan.