22 Januari 2024, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Keunggulan cerpen dan puisi mampu mencabar pemikiran melalui pesanan, sindiran dan gambaran hakiki masyarakat yang disampaikan secara bijaksana.

Hal ini dinyatakan oleh Sasterawan Negara (SN), Dato’ Rahman Shaari ketika menyampaikan sesi bimbingannya dalam Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2024 (secara dalam talian) yang bermula pada 19 Januari hingga 16 Februari 2024 dan bakal dilakukan secara bersemuka pada 17 Februari 2024 bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Kota Baharu, Kelantan (pada setiap hari Jumaat dan Sabtu).

Tambah beliau lagi, karya yang dihasilkan harus memuatkan idea yang bernas melalui makna tersembunyi di sebalik kisah, imej, pemilihan kata dan pembinaan baris puisi yang boleh mendorong pembaca untuk berfikir. Keunggulan karya yang berkualiti akan terserlah melalui seni dan kematangan dalam penggunaan bahasa yang dipilih penulis.

Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2024 (secara dalam talian) yang bermula pada 19 Januari lalu.

Majlis perasmian bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2024 yang disempurnakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Puan Ariza Che Ismail ini turut menampilkan barisan penceramah dan pembimbing hebat antaranya termasuklah, tokoh Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari dan S.M. Zakir, Nimoiz T.Y, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, M. Arif, Dr. Abdullah Yusoff, Dr. Maskiah Masrom, dan Muhammad Fadli al-Akiti sebagai pembimbing bagi penulisan kritikan sastera, cerpen, puisi dan rencana.

Turut serta memberikan bimbingan secara intensif kepada para peserta pada minggu terakhir bengkel ialah Nimoiz T.Y, Rosli K. Matari, Dr. Muhammad Fadzil Yusoff, Zainal Abidin Muhamad, Hj. Ezani Hj. Daud, Tuan Siti Mastazameatun, Puan Siti Nurzafran Zainal Abidin (Juara Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan), Puan Wee Soo Lian, En. Nik Mohd Hafiz Abdullah dan En. Muhammad Firdaus.

Penghantaran karya yang segar dan berimpak dalam majalah terbitan DBP dan platform digital seperti Wadah DBP turut mendapat galakan daripada pembimbing sebagai satu daripada inisiatif bagi merancakkan pentas penulisan kreatif dan deskriptif tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.