27 Disember 2023, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Satu Festival Penilaian Tahun Akhir (PeTA) 2023 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal berlangsung pada 27 hingga 30 Disember 2023 ini membawakan tema “Meninjau Asia”.

Pementasan empat naskhah drama pentas karya warga Asia pada kali ini membawa kelainan untuk dipersembahkan sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat graduasi bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater ASWARA.

Dekan Fakulti Teater ASWARA, Fasyali Fadzli Saipul Bahri berkata PeTA 2023 menyusuri karya-karya dari Asia dan diangkat setelah melihat kesesuaian dan temanya yang universal.

“Tahun ini, kita ada tema. Semua skrip yang terpilih untuk PeTA kali ini ialah skrip daripada Asia. Tujuannya, kita nak besarkan korpus skrip pementasan di ASWARA supaya tidak hanya condong dan cenderung skrip dari Barat sahaja.” katanya ketika ditemui Tunas Cipta.

Fasyali yang juga penggiat aktif teater berkata matlamatnya adalah untuk meluaskan repertoir skrip persembahan di ASWARA agar tidak terhad kepada skrip dari Barat sahaja.

Fasyali berkongsi hal yang menjadi tarikan dalam produksi para pelajar ialah semasa proses penyelidikan skrip, pelajar akan cuba mendalami sejarah dan menjalankan kajian kontekstual di negara lain.

Inilah nilai tambah yang mereka akan kuasai apabila skrip ini dipilih. Ada juga pelajar yang menghubungi sendiri penulis daripada Thailand dan menemuramah penulis; bertanyakan hal-hal seputar naskhah.
Mereka lakukan ini atas inisiatif mereka sendiri demi memastikan karya-karya yang dipentaskan dapat menjaga integriti naskhah dan niat penulis.

Tambahnya lagi,

Tambahan pula, tema “Meninjau Asia” bertujuan untuk meneliti bukan sahaja drama kanun dari Asia tetapi juga mendalami maksud identiti Asia dalam bidang persembahan. Ini termasuk pemerhatian yang mendalam tentang nuansa dan identiti budaya yang membentuk persembahan dan menyumbang kepada landskap yang kaya dengan ekspresi teater Asia.

Festival kali ini mengangkat empat buah produksi PeTA yang terdiri daripada 16 orang pelajar yang akan dinilai dalam pelbagai bidang. Empat orang pelajar akan dinilai dalam bidang pengarahan, empat orang pelajar bidang sinografi, manakala lapan orang pelajar dinilai menerusi bidang lakonan.

Persembahan kali ini akan menghidangkan teater A Nowhere Place karya Pradit Prasartthong (Thailand), Bulan Emas di Jendela Kakek karya Hj Adjim Arijadi (Indonesia), Malam Terakhir karya Yukio Mishima (Jepun), dan Kisah Cinta & Lain-lain karya Arifin C. Noer (Indonesia).

Pementasan akan berlangsung pada 27 hingga 30 Disember 2023 di Blackbox ASWARA dengan bayaran masuk sebanyak RM10.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.