7 Disember 2023, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Mamatok (duduk di tengah) dan Aleng Tohara (kiri) bergambar bersama-sama dengan para editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, DBP.

Shah Alam – Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF) terus dimeriahkan dengan program Ramah Karya Bersama-sama Mamatok dan Aleng Tohara yang dianjurkan oleh Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Buku bergambar kanak-kanak, Nenek Seri Bukit Cahaya.

Sesi ramah karya tersebut menampilkan dua tonggak penting di sebalik penghasilan buku bergambar kanak-kanak yang berjudul Nenek Seri Bukit Cahaya, iaitu Mamatok dan Aleng Tohara.

Dalam sesi ramah karya yang dikelolakan oleh Encik Muhammad Haziq Zakaria sebagai moderator, penulis buku Nenek Seri Bukit Cahaya, Mamatok atau nama sebenarnya Puan Hasniah Hussain berasa perlunya kanak-kanak menghargai flora dan fauna serta perkara di sekeliling mereka. Terangnya,

Ilham menulis buku ini bertujuan untuk memberikan teladan kepada kanak-kanak. Saya mahu mereka melihat persekitaran di sekeliling dan belajar menghargai alam sekitar. Nasihat sebegini juga yang saya berikan kepada cucu-cucu saya. Realitinya, perkara yang dilakukan oleh mereka sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada saya untuk menulis buku ini.

Menyingkap kembali penglibatan awal beliau dalam dunia penulisan, Mamatok pernah terlibat dalam penulisan skrip drama sebelum giat menulis buku untuk kanak-kanak dengan DBP.

Saya minat membaca buku DBP dan menyimpan hasrat untuk menulis dengan DBP. Akhirnya hasrat itu termakbul. Hingga kini, saya sudah menghasilkan 15 buah buku kanak-kanak. Antaranya termasuklah Sang Gagak dengan Seri MerakMat, Mit, MutSayangku Apai, serta Balung dan Jati.

Mamatok juga merupakan pencerita yang aktif. Beliau sering diundang untuk bercerita di tadika, sekolah, perpustakaan, kedai buku dan rumah anak yatim selain pernah mengambil bahagian dalam acara bercerita peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Kongres Bercerita Kebangsaan (2004); Festival Bercerita ASEAN di Bentara Budaya Jakarta (2008) dan mengendalikan acara Bercerita Mama Tok di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (2010, 2011 dan 2012).

Mengulas kisah penghasilan ilustrasi buku Nenek Seri Bukit Cahaya pula, Encik Abdul Jalil Toha@Tohara atau nama penanya Aleng Tohara, pelukis ilustrasi buku tersebut, berkongsi pada awalnya beliau menghadapi kesukaran untuk menentukan konsep dan warna ilustrasi yang ingin dipersembahkan melalui jalan cerita buku itu. Walau bagaimanapun, kesukaran itu dapat diatasi apabila beliau sendiri cuba menyelami dan membuat interpretasi yang sesuai dengan naratif yang digarap dalam buku tersebut.

Menariknya, Aleng Tohara yang pernah bertugas sebagai guru seni visual di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam telah melibatkan murid pendidikan khasnya dalam proses menilai ilustrasinya. Dari situlah beliau dapat mengetahui tahap penerimaan dan kefahaman pembaca terhadap ilustrasi yang dihasilkan olehnya. Terangnya,

Ada antara murid pendidikan khas boleh membaca. Saya meminta mereka membaca dan memberikan pendapat. Melalui kritikan mereka juga, saya membuat penambahbaikan ilustrasi saya. Seni ini dapat membantu murid mendapat ilmu.

Aleng Tohara telah banyak menghasilkan karya seni berbentuk abstrak dan pernah mengadakan Pameran Seni Solo Aleng Tohara-Fitri Suatu Infiniti!. Pada Jun 2023 yang lalu, menyaksikan pembukaan koleksi unik karya seni abstrak dan puisi Aleng di Galeri Seni Inner Joy (Inner Joy Art Gallery) .

Program yang diadakan di Pentas Piano Lounge, Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ini turut dihadiri oleh Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, iaitu Puan Noriyani Yusoff dan isteri Allahyarham Mohd Yusof Ismail (Yusof Gajah), Puan Zakiah Mohd Isa.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.