6 Disember 2023, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun telah ada beberapa naskhah terjemahan Hikayat 1001 Malam di pasaran, tidak menjadi masalah bagi Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) untuk menterjemahkan buku itu ke dalam bahasa Melayu dari teks terjemahan Arthur John Arberry.

Abdullah Hussaini bersama terjemahan buku 1001 Malam yang ditukar tajuknya menjadi Perempuan Seribu Satu Malam.

Ketika bercakap kepada Tunas Cipta, penterjemah, Abdullah Hussaini berkata bahawa  proses terjemahan tersebut tidak menyukarkan kerana menurutnya, sebagai seorang penulis dan biasa membaca karya sastera, dia tidak mempunyai masalah besar ketika menterjemahkannya. Jelasnya,

Arthur John Arberry menggunakan bahasa yang jelas dan mudah. Seperti yang disebutnya dalam kata pengantar, bahasa Arab asal buku ini pun tidak sukar dan berbelit-belit, jadi Arberry menuliskannya kembali dengan bahasa Inggeris yang mudah difahami.

Walaupun begitu, penyair muda tersebut berkata bahawa beliau mengambil maklum bagi memastikan bahasa sasarannya cukup menarik dan lunak.

Abdullah yang juga penterjemah beberapa buku lain seperti Satira Orang Bakhil (al-Jahiz, IBDE, 2021) itu berkata bahawa, buku ini bukan sahaja akan diminati oleh orang muda, tetapi juga kanak-kanak digalakkan untuk membaca dan menikmati kisah-kisah yang dimuatkan dalam buku ini.

Mustaqeem M Radhi, Ketua Pengarang IBDE sepanjang di Pesta Buku Antarabangsa Selangor.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pemilihan naskhah, Tunas Cipta sempat menemubual ketua pengarah IBDE, Mustaqeem M Radhi untuk mendapat penjelasan lanjut mengenainya.

Mustaqeem berkata bahawa, IBDE memilih penulis-penulis yang terkenal dan memilih untuk menterjemahkan karya-karya penterjemah-penterjemah yang terkenal di dunia.

Sebabnya sederhana sahaja. Kita memang nak edisi yang diterjemahkan oleh A. J. Arberry. Itu faktor penting kenapa teks beliaulah yang kami pilih. Memang kami maklum bahawa terjemahan ini bukan terjemahan langsung daripada bahasa Parsi. Teks yang kami pilih merupakan terjemahan Arberry ke dalam bahasa Inggeris. 1001 Malam memang ada terjemahan lain yang ada seperti Richard Burton, Edward William Lane John Payne dan lain-lain, tapi kita sengaja memilih Arberry.

Mengulas lanjut, pihak IBDE memilih Arberry kerana beliau merupakan penterjemah sastera Arab dan Parsi yang terkenal. Beliau pernah menterjemah al-Quran ke dalam bahasa Inggeris dengan judul The Koran Interpreted (1955), naskhah terjemahannya itu merupakan terjemahan yang terkenal dan kerap menjadi rujukan.

Arberry (1905–1969) berjasa dalam memperkenalkan karya-karya besar sastera Parsi kepada pembaca bahasa Inggeris. Walaupun beliau telah meninggal dunia, tetapi warisan karyanya masih terus dibaca dan menjadi sumbangan besar dalam memahami dan menghormati budaya dan ilmu pengetahuan Islam.

IBDE sedaya upaya cuba mengangkat nama ini untuk diperkenalkan dalam industri buku dan terjemahan tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.