27 November 2023, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Naim Al-Kalantani berkongsi pengalamannya terjumpa bahan seni dan budaya yang berharga di celahan rak buku ASWARA – yang entah orang tahu atau tidak kewujudannya.

Pak Nasir, saya nak tahu pasal buku ini. Pak tahu tak?

***

Awal-awal pertama Bota Dati Kuaca keluar di atas balai memanggil sekalian penjawat penjawatan, pegawa menteri, “Macam mana kita di dalam negeri dengan sebab negeri Berma ini, suka kita peluk ambil perentahan Berma?” Jawab menteri, “Harap ke ampun, mana perentah patik sagung titah bagaimana ke bawah duli tuanku.” “Baik kita merentah negeri Berma. Kalau dia benar, selamat panjang ber-ubung Berma dengan Kuaca. Kalau dia tidak benar, kita langgar, kita perang, kita sabil, kita peluk ambil negeri Berma.” “

(Hikayat Seri Rama Versi Wayang Kulit Kelantan, hlm. 1)

S aya percaya masih ada di antara buku dan kertas kerja Amin Sweeney masih tidak didedahkan dengan cara yang sepatutnya. Melalui pemerhatian peribadi saya, Dr. Patrick Louis Sweeney (1938–2010) ini “hobinya” memang ke arah budaya lisan. Lihat sahajalah tesis kedoktorannya, beliau bergulat dengan budaya lisan Melayu—wayang kulit—untuk dijadikan bahan kajian.

Minatnya terhadap wayang kulit Kelantan memungkinkan penerbitan tesisnya dengan tajuk The Ramayana and the Malay Shadow-Play yang siap dipertahankan sewaktu viva voce pada 1970 di School of Oriental and African Studies (SOAS), London.

Mungkin (diulangi, mungkin) akibat daripada “hobinya” mengenai wayang kulit yang merupakan budaya lisan itu, ada beberapa tabiatnya suka mengumpulkan bahan yang menggunakan kaedah lisan sebagai simpanan.

Beberapa hari lalu, saya ke perpustakaan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Memang kebiasaannya masuk ke sana untuk meminjam buku atau membuat kerja. Tetapi kali ini, saya masuk bersama seorang teman dari luar untuk memperkenalkan kepadanya apakah yang ada di dalam perpustakaan ini.

Rupanya ada satu bahan yang sangat berharga milik Amin Sweeney terselit di rak buku ini. Sebelum ini, saya tidak perasan buku ini wujud. Buku bertajuk Hikayat Seri Rama Versi Wayang Kulit Kelantan yang saya jumpa ini, bukanlah naskhah asli, tetapi merupakan bahan fotokopi. Tulisan di dalamnya menggunakan mesin taip.

Dilihat pada perolehan, bahan ini diperoleh pada Jun 1994 dan dalam buku ini, bertanda cop milik Akademi Seni Budaya.

Hikayat Seri Rama Versi Wayang Kulit Kelantan. Penceritaan oleh Awang Lah (Guru Kepada Hamzah Awang Amat). Ditulis oleh Dr. Amin Sweeny.

Disebabkan buku ini difotokopi, maka halaman depan dibuat baru menggunakan kulit keras dan bertulisan Hikayat Seri Rama Versi Wayang Kulit Kelantan oleh Dr. Amin Sweeny. Ya, ejaannya memang “Sweeny”.

Lebih mengejutkan apabila membelek kandungan, pada halaman pertama, buku ini menulis “Hikayat Seri Rama Versi Wayang Kulit Kelantan. Penceritaan oleh Awang Lah (Guru Kepada Hamzah Awang Amat). Ditulis oleh Dr. Amin Sweeny”.

Sebenarnya ia bukan sebuah “buku”, tetapi lebih layak digelar sebagai sebuah manuskrip. Buku ini masih tidak “siap” untuk diterbitkan!

B ahan sebegini merupakan khazanah berharga yang ASWARA miliki. (Tetapi saya tak pasti sama ada ia dihargai atau tidak). Saya mencari tajuk yang sama di depositori Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), tetapi tajuk yang sama tiada di sana.

Buku ini seluruhnya memang bertaip menggunakan mesin taip sebanyak 220 halaman. Tanpa ada prakata, halaman isi kandungan, halaman hak cipta, bibliografi atau apa-apa sahaja selain teks cerita mengenai Hikayat Seri Rama.

“Berkat” belajar di akademi seni, di sini hampir tersedia semua benda berkenaan seni moden dan tradisional. Saya meminjam buku ini dan berjumpa adiguru organologi, Nik Mustapha Nik Mohd. Salleh. Beliau salah seorang yang sempat belajar dengan Sweeney ketika bersekolah di Kelantan. Katanya,

“Saya sempat belajar dengan Prof. Amin Sweeney. Dia mengajar saya kesusasteraan Inggeris ketika itu. Sempatlah belajar Marco Polo masa itu dengan dia.”

Pak Nik tidak tahu sangat berkenaan buku ini. Tetapi menurutnya, Sweeney memang terkenal dengan kebolehannya dalam wayang kulit Kelantan walaupun dia mat saleh.

Sekali lagi, “berkat” belajar di akademi seni, saya pergi berjumpa dengan adiguru wayang kulit, Che Mohd Nasir Yusof. Saya hulurkan buku ini kepadanya sambil berkata,

“Pak Nasir, saya nak tahu pasal buku ini. Pak tahu tak?”

“Oh! Buku ini yang fotokopi ni, yang original ada dalam bilik saya.”

Mahraja Wana diatas balai persiban agung, duduk melengung. Sekali penjawat2an nak berchekap sepatah tak berani. Bengkengnya Mahraja Wana bukan se-barang2 lagi. Mata kerling kerlat. Ta’ada ubah rimau mengerangkan bangkai, merah mata seperti burung chapuling jantan, dengan kerananya ingat keuntung nak ambil Siti Dewi ‘ni; adik ipar pun mati, adik sendiri pun punah, tak boleh jadi seperti orang ‘pas kebila masa dah.

(Contoh ayat yang digunakan pada halaman 69, Hikayat Seri Rama Versi Wayang Kulit Kelantan)

Mendengar sahaja kenyataan itu, maksudnya saya berjumpa dengan orang yang tepat. Ada satu hal sahaja yang saya nak tahu pasal buku ini; bagaimanakah Amin Sweeney menulis buku ini? Pak Nasir faham keterujaan saya lalu menjawab,

“Dia (Sweeney) tulis buku ini bukan dia tulis macam buku biasa, tapi macam bercakap. Awang Lah bercakap dan Amin Sweeney taip balik. Sebab itu ada sesetengah tempat, di sesetengah muka surat, orang susah faham.”

Menurut cerita Pak Nasir, dalam buku ini, Amin Sweeney sangat setia dengan apa-apa perkataan yang keluar daripada mulut Awang Lah. Walaupun ia “tersilap” perkataan, tetap ditulisnya dalam manuskrip ini.

“Buku ini memang milik Amin Sweeney, hanya ceritanya sahaja yang memang dari Awang Lah. Cerita di dalam ini, kalau awak baca tapi tak perbetulkan balik dengan orang yang tahu, awak boleh ‘sesat’.” Pak Nasir menjelaskan.

Pak Nasir menjelaskan “kesesatan” itu mungkin berlaku disebabkan apabila seseorang tok dalang wayang kulit menceritakan hikayat, kemungkinan untuk berbelit-belit adalah tinggi. Ia disebabkan seseorang dalang hanya mengingati cerita yang berada di dalam kepalanya sahaja.

“Sebab itulah apabila dalam perdalangan, akan ada orang (tok dalang muda) di tepinya untuk menolong tok dalang kembali ke “tempat asal” supaya cerita itu tidak ke lain,” jelas Pak Nasir.

Pak Nasir turut menceritakan bahawa sekitar umurnya 10 atau 11 tahun, dia pernah berjumpa dengan Awang Lah. Kemudian, dia mengambil “sembah guru” dengan Hamzah Awang Amat. Kini Pak Nasir bergelar adiguru wayang kulit yang berkhidmat di ASWARA.

M embaca sepintas lalu buku ini memang boleh rasa ia ditulis semasa Awang Lah bercerita gaya tok dalang. Menurut Pak Nasir, memang menjadi kebiasaan tok datang—lagi-lagi yang tua—tidak berkeupayaan untuk memberi cerita ringkas dan dalam gaya bersahaja. Kebanyakan mereka yang veteran ini menceritakannya dengan gaya bermain wayang kulit—tetapi patung wayang kulit tak ada di hadapan mereka.

Disebabkan itulah buku hasil transkrip Amin Sweeney ini “berterabur”. Ada penggunaan dialek Kelantan dan bahasa Melayu yang ketara. Dan ada juga perkataan yang saya tidak fahami. Mungkin ia adalah ucatan (ucap tetap) dalam wayang kulit yang ketika itu Awang Lah secara sedar atau tidak melafazkannya.

Hikayat Seri Rama merupakan repertoir asal dalam wayang kulit. Hikayat ini berasal daripada buku epik Ramayana yang ditulis oleh Valmiki dalam bahasa Sanskrit sekitar abad kelima hingga abad kedua sebelum Masihi. Menurut Fara Dayana Mohd Jufry, Mohd Kipli Abdul Rahman dan Nor Shuradi Nor Hashim (2020) dalam kajian mereka mengenai watak feminin dalam Wayang Kulit Kelantan, apabila epik ini diaplikasikan dalam wayang kulit Kelantan di Malaysia, berlaku asimilasi antara versi asal dengan campuran unsur budaya masyarakat tempatan. Contohnya di Kelantan, tatasusila dan tingkah laku seharian bercampur dengan epik Ramayana dari India dan diterapkan dalam persembahan Wayang Kulit Kelantan. Oleh itu, repertoir tersebut diterjemahkan daripada epik Ramayana dan Hikayat Seri Rama yang masih mengisahkan tentang Seri Rama.

Dalam penyelidikan Fara Dayana dan rakan-rakan itu, ada memetik buku Amin Sweeney yang ini. Setakat carian saya, tidak ada kertas kerja yang lain yang memetik buku ini sebagai bahan rujukan atau kajian.

Buku ini penting disebabkan beberapa hal. Pertama, hasil Amin Sweeney perlu diketengahkan. Apabila saya melihat buku ini, saya terfikir tidak mustahil ada beberapa lagi tulisan atau bahan daripada Sweeney yang tidak dijumpai, disimpan atau tidak disebarkan kepada umum. Kajian-kajiannya penting dalam bidang sejarah dan budaya lisan Melayu.

Kedua, buku ini sendiri boleh dikatakan cerita yang sah daripada Awang Lah bin Pandak. Awang Lah merupakan tok dalang wayang kulit termasyhur yang pernah kita miliki. Anak muridnya yang menjadi dalang muda ketika itu ialah Seniman Negara Hamzah Awang Amat yang mula berguru secara rasmi dengan Awang Lah pada 1962.

Balu Amin Sweeney masih ada. Apa-apa hak cipta berkenaan Amin Sweeney, beliau yang pegang. Saya harap ada agensi, badan atau orang persendirian yang dapat menerbitkan kembali buku ini. Mungkin dalam dua versi; satu versi asal yang mengenalkan verbal dari Awang Lah; atau kedua, versi pemurnian yang telah menjadi sebuah cerita lengkap dan tersusun.

Sagariwa kembali balik negeri Pakian; Anila Anggada kembali balik merentah dalam negeri Tanjung Aruda. Saburanung, Tilam Tila Pujangga naik Bukit Gunung Lega Pisang merentah di situ. Lalu bersoraklah negeri dalam negeri Sertapura, sudah, sudah ditaklukkan Seri Rama dua buah negeri perentahan Mahraja Wana. Maka hilang royatlah cerita Seri Rama di situ, pemansuh cerita Mahraja Wana membasuh arang yang cemar, selut yang kotor. Seri Ramalah yang membasuh benda yang kotor-kotor di dalam dunia ini.

(Ayat terakhir salinan Amin Sweeney dalam buku tersebut, halaman 220.)

______________________

Naim Al-Kalantani merupakan graduan ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini dia menyambung pengajian di peringkat sarjana seni kreatif di universiti yang sama.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.