13 Mac 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cahaya Jais memberikan sepatah dua komentar dalam melihat bagaimana ilmu, amanah dan kebijaksanaan melingkari persoalan berkenaan kebebasan bersuara.

Bersuara dengan ketiadaan ilmu menimbulkan persoalan asas: Mengapa memberi keistimewaan bersuara kepada mereka yang tidak mempunyai pemahaman yang diperlukan?

Saya pernah bersarapan sambil ditemani Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas (dalam kaca televisyen) yang sedang mengupas tentang kepentingan ilmu dalam banyak aspek, terutamanya dalam hubungan antara ilmuwan Islam dengan sistem monarki dan Institusi Diraja. Sebuah temu bual yang menarik, tetapi saya sedikit ralat kerana durasi kurang lebih 30 minit terlalu pendek untuk menggali buah fikir pemikir Islam itu.

Menuju pertengahan soal jawab, beliau menangkap perhatian saya apabila secara tidak langsung menyebut tentang hak kebebasan bersuara. Hak kebebasan bersuara merupakan isu yang menurut saya boleh mendatangkan ketegangan jika disalahertikan. Isu ini dari dahulu sudah menempel agak lama di kepala saya.

Saya pernah beberapa kali berada di dalam situasi formal mahupun ketika sedang bersantai minum teh tarik dengan rakan-rakan apabila setiap kali isu atau topik tentang ini muncul, ia akan meluru ke arah pergolakan emosi dan pendapat yang akhirnya cuma dinoktahkan dengan diam yang lama.

Kadang-kadang, teh tarik masih lagi berasap tetapi sudah ada yang angkat kaki. Situasi begini tanpa sedar telah membuatkan saya lebih memilih untuk diam dari bersuara, tidak kisahlah apa perihalnya, mungkin kerana saya tidak selesa berada di tengah-tengah ketegangan.

Pemerhatian yang saya dapat daripada situasi-situasi tersebut (sebagai seorang yang tidak arif dalam bidang undang-undang dan hanya faham melalui bacaan secara umum), saya kira hak kebebasan bersuara selalu disalahertikan sebagai: sesiapa saja berhak bersuara tentang apa sahaja walaupun ia di luar orbit pengetahuan mereka.

Benar, kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya, adakah hak kebebasan bersuara ini jatuh pada setiap orang? Jika ya, berdasarkan apa? Atau adakah ianya lebih baik jika kita namakan sebagai hak bercakap sebab semua orang ada mulut? Perkara ini lama saya tinggalkan kerana saya belum jumpa penerangan yang boleh saya hadam dan faham.

Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas menyebut, mereka yang benar-benar tahu dan ada ilmu, merekalah yang berhak untuk bersuara. Bagaimana hak bersuara boleh diberikan kepada seseorang yang tiada ilmu tentang apa yang disuarakannya? Saya percaya setiap suara perlu dinilai dan dipertimbangkan, maka nilai suaranya haruslah berat disandarkan kepada fakta dan data yang baik.

Dalam masyarakat yang mementingkan kebijaksanaan, suara yang benar-benar penting adalah suara individu yang memiliki pengetahuan dan kepakaran tulen. Pemberian hak untuk bersuara kepada mereka yang mahir dalam sesuatu subjek akan memastikan pertukaran idea yang adil dan bermaklumat.

Bersuara dengan ketiadaan ilmu menimbulkan persoalan asas: Mengapa memberi keistimewaan bersuara kepada mereka yang tidak mempunyai pemahaman yang diperlukan?

Ketidakseimbangan sedemikian bukan sahaja merugikan mereka yang tidak berpengetahuan tetapi juga tidak adil bagi ilmu itu sendiri. Prinsip ini menggariskan kepentingan mewujudkan kepercayaan terhadap kepakaran individu sebelum memberikan tanggungjawab membentuk perbualan dan keputusan. Bak kata Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas dalam temu bualnya;

Mesti ada amanah, baru datang hak.

Hak kebebasan bersuara (atau apa-apa hak lain) terwujud ke atas seseorang  jika seseorang itu memegang amanahnya. Ayat ini kedengaran bersahaja tetapi berat jika kita cuba memaknainya.

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan hak sebagai benar, kuasa atas sesuatu atau untuk membuat sesuatu, dan milik, manakala amanah didefinisikan sebagai amanat sesuatu yg dipercayakan kepada orang, diserahkan untuk disimpan, kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang.

Contoh mudah yang beliau berikan ialah bahawa jika seseorang ingin memandu kereta, dia perlu mempunyai lesen memandu. Untuk seseorang mendapatkan lesen memandu, dia perlu menghadiri kelas memandu, belajar cara memandu dengan betul dan berhemah, belajar undang-undang jalan raya (apa yang betul dan apa yang salah ketika memandu).

Dia akan memperoleh lesen memandu jika dia lulus ujian memandu. Di sini, lesen memandu itu adalah amanah. Amanah untuk memandu kereta dengan betul dan tidak melanggar undang-undang jalan raya. Di situlah wujudnya hak. Haknya sebagai pengguna jalan raya. Seseorang perlu ada ilmu memandu dan ilmu jalan raya untuk mengetahui apakah hak mereka sebagai pengguna jalan raya. Maksudnya, seseorang mesti memikul amanah itu dahulu, baharu boleh memiliki hak memandu kereta di jalan raya.

Sebenarnya, perkara yang saya tulis ini bukanlah untuk merujuk kepada isu-isu besar pun. Tulisan ini hanya selayang buah fikir yang berpucuk dari sekecil-kecil pertanyaan yang sering saya terima, iaitu “nak makan mana?”.

Saya tidak pernah ada jawapan kepada soalan itu, jadi saya tiada hak untuk menentukan tempat makan atau hak untuk membantah, melainkan ada cadangan lain yang boleh saya sumbangkan. Maka, saya berbesar hati untuk berikan hak itu kepada orang lain untuk tentukan di mana dan apa kami akan makan.

Tetapi, jika ada dua orang yang tentukan tempat makan di mana seorang berasal dari tempat itu, dan seorang lagi baharu sahaja tinggal di situ, mestilah saya akan ikut cadangan yang pertama. Kerana apa? Kerana dia sudah menetap lama di situ dan saya yakin dia mempunyai ilmu tempat makan lebih luas daripada yang kedua (perenggan ini sekadar alasan saya untuk tidak mahu memegang amanah memberi kata putus mahu makan di mana).

Berbalik kepada hak kebebasan bersuara, seseorang mestilah ada amanah (mencari ilmu, sumber atau sandaran yang baik) untuk bersuara agar tidak tergolong dalam orang-orang yang beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh“. Dan untuk memikul amanah juga perlu ada ilmu. Oh ya, selain itu juga, kebebasan bersuara harus datang serentak dengan sifat “ambil pati, buangkan ampas” supaya tidak ada sesiapa yang mengangkat kaki sebelum teh tarik habis.

______________________________________

Cahaya Jais pernah menulis sebuah buku kumpulan puisi bertajuk, Tubuh Yang Tak Ingin Lagi Bersamaku terbitan Obscura.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.