29 Februari 2024, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas solat Jumaat, Naim duduk melayan imbauan kenangan Sinaganaga dan menerusi catatannya ini, berharap agar momen-momen sejarah KLAB berpuput lembut.

Masa 2007, kami berniaga atas lantai. Bila dapat duit sikit, kami turun, beli styrofoam, buat lapik.

Apabila menyebut tentang “sejarah”, ada banyak cara untuk mengingatinya. Satu daripadanya adalah dengan cara membaca kembali catatan-catatan yang pernah ditulis berkenaan sejarah tersebut. Tetapi lazimnya, catatan sejarah hanya ada apabila sejarah itu dianggap penting atau besar.

Dalam industri buku negara, ada beberapa pesta buku yang dominan dan ditunggu-tunggu oleh pembaca dan penerbit. Satu daripadanya, saluran “rasmi” yang kita kenal sebagai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang saban tahun berlangsung selalunya di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Satu lagi ialah Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Alternative Bookfest, KLAB).

Tahun ini, KLAB berlangsung pada 22 hingga 25 Februari 2024 di tempat “asalnya”, iaitu di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Setiap tahun juga, saya mendengar desas-desus, “inilah tempat asal KLAB.” Dan tahun ini, saya sempat mengorek sejarah KLAB dari mula ia dianjurkan sehinggalah perubahan-perubahan yang ada sekarang.

Selepas solat Jumaat 23 Februari, saya sempat merakam sejarah lisan berkenaan KLAB daripada Azalan Hussein atau nama sedapnya, Sinaganaga. Beliau merupakan antara individu yang paling tepat untuk bercakap mengenai sejarah KLAB.

Sinaganaga mengimbau kembali masa silamnya bersama-sama dengan penerbitan Sindeket Sol-Jah yang ditubuhkan pada tahun 2005 dan dua tahun kemudian, barulah ada KLAB. Menurutnya, KLAB ketika itu tidak dinamakan sebagai “KLAB” lagi, tetapi Arts For Grab.

Di Arts For Grab asalnya menjual kraf seperti sabun buatan sendiri, lukisan, jem buku nota dan lain-lain. Pada tahun 2007 itulah Sindiket Sol-Jah menyertai Art For Grab dan menjual buku yang baru diterbitkan—seingat Sinaganaga, dua buah buku ketika itu. Pada tahun 2008 barulah namanya ditukarkan kepada “Kuala Lumpur Alternative Bookfest Arts For Grab”. Pada tahun itulah dipecahkan KLAB menjual buku dan Arts For Grab menjual barang-barang kraf.

Amir Muhammad merupakan tekong KLAB sejak tahun 2008. Beliau ketika itu dengan penerbitannya Matahari yang kini masih bertahan dengan menerbitkan buku-buku bukan fiksyen. Rupanya saya—selaku orang muda—tersilap, KLAB asalnya bukan berlangsung di dalam bangunan Pasar Seni, tetapi di dalam Central Market Annexe, bangunan belakang Pasar Seni.

Di dalam itu rupanya ada satu ruang untuk dibuat acara. Pada 2007, penganjur Arts For Grab tidak menyediakan meja. Peserta yang datang hanya membawa buku dan berniaga “ikut suka”. Cara mereka pilih tempat dengan cara siapa cepat, dia dapat. Tidak ada undi, tidak ada mesyuarat dan tidak ada apa-apa isu protes dan boikot berlaku berkenaan petak reruai. Mereka hanya datang dan cop tempat dengan cara meletakkan buku mereka di tempat yang mereka suka.

Sinaganaga berkata, “Masa 2007, kami berniaga atas lantai. Bila dapat duit sikit, kami turun, beli styrofoam, buat lapik. Malu masa tu tak ada lapik buku, kami pakai styrofoam saja.” Pada tahun 2008, barulah Amir Muhammad menyediakan meja buat para peniaga dan tahun 2009 barulah penganjur menyediakan meja dan alasnya.

Zaman itu, KLAB hanya berlangsung selama dua hari, Sabtu dan Ahad, Yuran penyertaan ketika itu hanyalah RM200 untuk dua hari. Saya pun kurang pasti bilakah KLAB bertukar kepada tiga hari—Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan menjengah tahun 2024 ini, KLAB berlangsung selama empat hari—Khamis hingga Ahad—dengan kadar yuran lebih, iaitu RM600.

Ketika berbual dengan Sinaganaga, masih terpahat dalam ingatannya grafik bagaimana reka bentuk KLAB ketika itu dan beliau menyebut nama-nama pemain industri yang pernah berniaga di sana pada tahun 2007 dan 2008.

“Kalau kita naik atas ini (Annex), masuk saja dewan tu, sebelah kanan ada tangga naik ke atas. Pergi belakang tangga tu, akan ada tangga yang curam untuk turun. Dan ada satu dinding belakang yang ada cermin dan sofa untuk berehat. Yang selalu duduk di bawah tangga selalunya Gerak Budaya, Pak Chong. Zaman kami berniaga di KLAB, Pak Chong dah tua! Bayangkan, dulu saya muda, sekarang dah tua, kan? Bayangkan Pak Chong sekarang macam mana! Amat tua!”

Bersebelahan Gerak Budaya, ada Sang Freud Press (SFP) yang dibawa oleh Sufian Abas (kini aktif dengan penerbitan Laras 99). Di sekitar situ juga ada penerbitan yang dibawa oleh arwah Amri Rohayat, Neo Hikayat, Sindiket Sol-Jah, Lejen Press, dan Hafiz Zainuddin (penerbit Jargon). Banyak lagi penerbit lain yang menyertai KLAB ketika itu dan sehingga kini masih hidup—dan ada yang bertukar nama penerbit.

Ketika itu pun sudah ada acara di KLAB. Amir Muhammad akan menjadi penyelaras kepada reruai. Untuk acara forum atau diskusi, akan ada seorang individu, Pang Khee Teik, yang berjalan ke setiap reruai dan melaung berkenaan acara apa yang akan berlangsung selepas ini.

Di situ juga ada seorang pengawas, namanya Goh Lee Kwang. Sinaganaga bercerita momen tersebut, “Indie masa tu jahanam. Acara habis pukul 8 malam, pukul 4.30 Sufian Abas dah berlagak dah, “Buku aku dah habis!’ Tapi tak boleh balik.” Waktu tu habis pukul 8, memang balik pukul 8, sebab Lee Kwang jaga. Pernah Sindiket Sol-Jah, kemas buku pukul 6 lebih sebab malas berniaga. Lee Kwang lalu dan pandang macam tu sahaja. Kita buka balik kotak dan letak buku atas meja balik, berniaga. Kita takut dengan Lee Kwang. Amir kita boleh kawtim. Pang biasa kita kawtim. Tapi Lee Kwang kita tak berani!

Menurut Sinaganaga, ada tiga nama besar yang mencorakkan KLAB hari ini, iaitu Amir Muhammad, Pang Khee Teik dan Goh Lee Kwang.

Acara tahunan itu juga pernah dianjurkan selain di Pasar Seni, iaitu di Publika dan Sunway Putra Mall. Dan akhirnya KLAB tetapi kembali ke tempat asalnya di Pasar Seni.

KLAB menjadi tempat berkumpul bagi peminat-peminat buku sama ada pembaca dan penulis. Rasanya saya sendiri pun merasai aura tersebut sehingga kini. Ada yang datang bukan untuk membeli buku pun, tetapi datang untuk berjumpa rakan-rakan sahaja.

Sinaganaga yang memiliki Sindiket Sol-Jah mempunyai memori sentimental dengan KLAB. Katanya, mereka tidak pernah terlepas peluang menyertai KLAB (kecuali 2023 tidak menyertai KLAB atas faktor kesihatan, tetapi sokong secara dalam talian.)

“Bukan sebab ini adalah satu-satunya platform untuk menjual buku. Tak! Tapi ini sebab sikap setia kawan!”

KLAB yang dikatakan “indie” tersebut pernah dihadiri oleh individu ternama. Daripada Prof. Dr. A. Farish Noor sehinggalah Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram. Kelibat individu ternama dan prominent ini sebenarnya bukan menjadi satu yang aneh untuk menyekat mereka hadir ke tempat yang disifatkan “bukan arus perdana” seperti KLAB ini. Malah, PBAKL tahun ini juga saya juga terserempak dan bertegur sapa dengan Sasterawan Negara Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan Prof. Dr. Jailani Abu Hassan.

Sejarah-sejarah sebegini memang ada dalam ingatan individu seperti Sinaganaga. Tetapi memori itu, jika tidak direkodkan di mana-mana, mungkin akan hilang. Jadi, dengan adanya rekod ini, atau rekod yang berpencar di mana-mana tempat, ia akan menjadi bahan sejarah yang penting sebagai dokumentasi perjalanan industri buku negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.