Oleh Putraery Ussin
20 November 2023, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling – Program Dialog Puncak Karyawan ASASI kembali diadakan dengan menampilkan tema buku kanak-kanak buat pertama kalinya bertempat di Baling, Kedah pada 18 November lepas.

Inisiatif Dialog Puncak pada kali ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan barisan penulis ASASI yang aktif menulis buku kanak-kanak tempatan kepada masyarakat umum, terutamanya golongan remaja dan dewasa.

Melalui Dialog Puncak 2023 ini, beberapa buku dari penulis yang tidak asing dalam dunia penulisan kanak-kanak ini termasuklah Shamimi Subri, Putraery Ussin, Wadiassofi Jaafar, Nur Rosmah Wahab dan Wildan Haya turut dilancarkan.

Buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Bunyi Tabung karya Wildan Haya menjadi soroton dalam Dialog Puncak Karyawan ASASI.

Buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Bunyi Tabung karya Wildan Haya menjadi sorotan utama dalam program ini apabila beliau membincangkan berkenaan dengan proses kreatif yang diharunginya sepanjang penghasilan buku ini. Wildan Haya juga mengatakan bahawa penulisan buku ini terhasil daripada pergaulan dan juga ketika proses pembelajaran dan pengajaran bersama murid.

Buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Bunyi Tabung ini juga turut menampilkan lakaran atau lukisan yang berkaitan dengan setiap puisi yang ditulis untuk dijadikan aktiviti mewarna oleh pembaca. Salah satu puisi yang terdapat dalam buku ini, iaitu puisi yang berjudul “Adik Mahu” merupakan puisi yang diambil hasil daripada pengalaman ketika melihat pelajarnya sedang melukis di dalam kelas.

Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang turut hadir dalam Program Dialog Puncak Karyawan ASASI ini amat mengagumi kreativiti Wildan Haya dalam menghasilkan buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Bunyi Tabung yang indah dan istimewa ini.

Gimik pelancaran buku kanak-kanak dan remaja karya penulis ASASI.

ASASI turut melancarkan beberapa buah buku kanak-kanak dan remaja karya penulis ASASI lain, iaitu buku Impian Dari Lembah Harapan (Zulkefle Dollah), Awan Berombak (Putraery Ussin), Siapa yang Tercicir (Wiladan Haya), Kumpulan Puisi Bunyi Tabung (Wildan Haya) dan Suria Ariesya (Shamimi Subri).

Pelancaran karya-karya tersebut telah disempurnakan oleh Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan bersama-sama Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Encik Mohd Azam Johari dan Ketua 1 ASASI, Tuan Haji Abu Hassan Morad.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.