6 November 2023, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Naim Al-Kalantani melihat ada kelompongan dalam Teater Balada Si Angsa Hitam yang dilihat sedikit merugikan pementasan.

dan… membosankan.

Adaptasi bukanlah satu hal yang baharu dalam dunia kesusasteraan. Teknik adaptasi boleh melibatkan apa-apa medium asal kepada apa-apa medium yang lain. Apabila seseorang membuat adaptasi, hal yang paling kanan untuk difikirkan ialah adakah nuansa sesebuah idea dalam karya asal dapat diolah kepada medium sasaran?

Pada 1 hingga 4 November 2023 lalu, teater Balada Si Angsa Hitam telah dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Satu hal yang paling menjadikan saya teruja untuk menonton teater ini adalah – bahan asalnya merupakan satu-satunya cerpen hasil tulisan Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan.

Cerpen yang pernah disiarkan dalam Dewan Sastera Mei 2003 itu mengisahkan pergelutan seorang wanita, iaitu Suhaila yang jalur keturunannya daripada Arab dan Yahudi.

Cerpen itu cukup sifatnya sebagai sebuah cerpen yang bergenre melankolik tragedi. Cara penceritaan Noordin Hassan sangat menarik sehinggalah penceritaan ini menemui penamatnya. Usai membaca cerpen, lagilah hati ini membuak-buak ingin menonton teater tersebut kerana hanya satu persoalan yang bermain dalam minda, “Macam mana Wahab nak adaptasi cerpen ini menjadi sebuah teater?”

Malam itu, saya hadir ke Balai Budaya. Hanya 15 minit pertama pementasan sahaja, saya sudah tidak senang duduk. Ada hal yang tidak kena dengan teater ini. Memang dalam teater, “dialog” merupakan hal yang paling kanan. Tetapi dialog ini perlulah berfungsi sebagai dialog, bukannya khutbah. Pentas dibuka dengan khutbah menjadikan saya sedikit terganggu. Khutbahnya pula panjang mengakibatkan penonton boleh terleka dengan hal yang lain dan tidak fokus kepada pengisian dialog tersebut.

Masalah timbul apabila teater ini terlalu meleret. Bukan sedikit anak, tetapi memang terlalu meleret. Dalam cerpennya, Noordin menulis dengan kemas, dan sebagai satu-satunya Sasterawan Negara yang mendapat Anugerah Sastera Negara dari bidang teater, memang pembaca dapat mengambarkan bagaimana visual cerpen tersebut.

Saya faham, apabila berubah medium, pastinya naskhah ini akan menjadi satu cerita baharu. Itulah juga yang pernah dikatakan oleh A. Wahab Hamzah selaku pengarah teater ini dalam satu sidang media Balada Si Angsa Hitam.

Beberapa adegan wajar diberi perhatian untuk dipotong. Watak Suhaila yang bermain selo sangat menurunkan adrenalina saya. Babak itu bukan roller-coaster yang berada di bawah (sebelum babak Nazi mungkin boleh dikatakan adrenalina penonton akan memuncak).

Perbualan berkenaan selo menjadi meleret. Perbualan itu sepatutnya boleh dipotong dan adegan bermain selo itu juga boleh dipertimbangkan untuk dipendekkan. Sedang bermain selo dan berbual dengan rakannya, Nana, sambil bercerita tentang kisah selo tersebut, pentas bertukar menjadi kisah imbas kembali iaitu babak di zaman Nazi. Rupanya babak Nazi itu ada satu lagi adegan bermain selo.

Dalam adegan ini, saya sedikit teruja apabila pelakon berdialog menggunakan bahasa Jerman. Dalam cerpen Noordin, memang hanya bahasa Melayu sahaja digunakan. Tetapi apabila alih wahana ini dilakukan, A. Wahab Hamzah (atau penulis skrip) menggunakan empat bahasa berbeza dalam pementasan ini iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Jerman, Arab dan Hebrew – keterujaan itu sedikit ada.

Tetapi, penggunaan bahasa yang pelbagai tidak menjadikan saya betul-betul teruja. Kerana  ketika adegan imbas kembali nenek Suhaila yang diarahkan untuk bermain selo oleh tentera Nazi, ia sangat membosankan.

Barang diingatkan bahawa pementasan sesebuah teater yang ideal (di zaman moden) ini hanya sekitar 1 jam 40 minit sehingga maksimum dua jam sahaja. Lebih dari itu, harus difikirkan semula untuk dipentaskan. Apabila menulis sesebuah skrip lakon pentas (termasuk lakon layar), hal yang paling utama ialah “masa”. Balada Si Angsa Hitam takkan mencecah pementasan sekitar 1 jam 30 minit apabila adegan bermain selo itu dipendekkan.

“Setiap adegan dikira.” Pesanan inilah yang membawa saya kepada kritikan kecil ini. Selo sebagai prop memang sangat penting. Kerana alat muzik itu “dekat” dengan wanita dan angsa; dan yang kedua ialah alat muzik itu ditekankan oleh Noordin dalam cerpennya untuk mengaitkan kisah sebenar Anita Lasker-Wallfisch yang terselamat daripada Holocaust kerana pandai bermain selo.

Pegawai Nazi menarik si nenek ke tengah pentas. Disuruhnya bermain selo. Ada satu lagu yang diminta oleh pegawai Nazi itu. Watak itu pun bermain dan… membosankan.

Lagu itu bagi saya tiada kena mengena dengan jalan cerita. Sepatutnya pengarah perlu memotong babak lagu yang meleret-leret itu. Saya tidak menganggapnya sebagai satu babak untuk penonton mengasihani watak yang dijajah Nazi, tetapi satu pembaziran adegan. Apabila satu-satu adegan tiada kaitan dengan jalan cerita, sepatutnya adegan itu perlu dibuang.

Penggunaan empat bahasa di atas pentas dan juga kemunculan istimewa maestro dramatis tanah air, Zakaria Ariffin tidak semestinya menjadikan pementasan ini terlepas daripada kritikan. Zakaria masuk ke pentas sebagai cameo seorang pengarah teater, itu sudah menjadikan saya teruja. Tetapi bukan keterujaan kepada adegan tersebut. Adegan tersebut terlalu panjang. Adegan “teater dalam teater” ini hanya ingin menunjukkan watak Antigone dan Nana sebagai pejuang wanita. Dan saya rasa tidak perlu ditonjolkan dengan panjang lebar.

Mendekati pengakhiran, saya rasa pengarah terlepas satu peluang emas apabila watak Orang Tua muncul kembali untuk berkhutbah. Adegan klimaks sudah cukup baik untuk ditamatkan sebagai peleraian. Adegan pengeboman masyarakat Islam di sepadan Lubnan itu sudah cukup rempah untuk teater itu tamat di situ. (Atau mungkin saya sahaja yang mahu melihat satu-satu penamat teater tidak diakhiri dengan tepukan gemuruh para penonton?)

Saya juga sedia maklum, A. Wahab Hamzah yang juga merupakan pensyarah saya, seringkali membuat “kerja gila”. Pementasan ini juga saya anggap “kerja gila” kerana cerpen Noordin sendiri sedikit sukar. Banyak sahaja hal yang saya suka dalam teater ini, lebih-lebih lagi sinografi, tetapi saya perlu jujur dengan pendapat saya apabila menonton teater ini.

______________________

Naim Al-Kalantani merupakan graduan ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini dia menyambung pengajian di peringkat sarjana seni kreatif di universiti yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.