Oleh Haniff Yusoff
31 Oktober 2023, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (RENTAS) 2023 telah berlangsung pada 24 dan 25 Oktober lepas di Hotel EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM). Penganjuran RENTAS 2023 merupakan persidangan dwitahunan kelolaan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM melibatkan perbincangan berkaitan bahasa, sastera dan budaya. Penganjuran ini juga hasil daripada rangkaian kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Universitas Andalas dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar.

Selain mempertemukan para pemakalah, pentas RENTAS 2023 turut mengetengah bakat-bakat baharu dalam dunia pengkaryaan. Majlis perasmian persidangan telah diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Nurafrina Abd. Aziz menerusi puisinya yang berjudul “Firdausi Anak Maghribi”. Sebelumnya, puisi ini juga telah melayakkan Nurafrina Abd. Aziz menerima Anugerah Sastera Pulau Pinang bagi kategori B (Puisi Eceran).

Majlis perasmian RENTAS 2023 juga dimeriahkan dengan persembahan bacaan “Syair Berbuat Jasa” irama Tok Kenali oleh Mohamad Aiman Haikal Rosli dan Muhammad Lutfi Husaini Hassan. Kedua-duanya merupakan mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif. Mohamad Aiman Haikal pernah menulis puisi berjudul “Hijrah” yang diterbitkan dalam ruangan Aksara Puisi menerusi laman Jendela Tunas Cipta.

RENTAS 2023 turut dihadiri beberapa pengkarya muda UUM yang lain seperti Wan Amirah Iylia Wan Zoolamali (puisi “Berkecai” dalam Tunas Cipta Bil. 06/2023), Nur Farha Nisa Zamsuri (puisi “Ratapan Sukma” dalam Tunas Cipta Bil. 06/2023), Manisya Azlin Ishak (puisi “Soal Pada Jiwa” dalam Jendela Tunas Cipta), Kun Jia Jie (cerpen “Kah Wai Si Introvert” dalam Dewan Pelajar Bil. 04/2023), Amiratul Hasanah Abdul Sani (puisi “Di Balik Tirai Hujan” dalam Tunas Cipta Bil. 03/2023) Khairunnisa Khairil Anwar (Cerpen “Sempadan” dalam Tunas Cipta Bil. 6/2022), Maryam Mazlan (syair “Pesan Merdeka” dalam Dewan Budaya Bil. 08/2023), Nurhaiza Rizul Azlee (cerpen “Berkat” dalam Dewan Siswa Bil. 11/2023) dan Wan Nur Anis Nadhiah Wan Ab Wahab (puisi “Dua Sifar Satu Lapan” dalam laman WadahDBP).

Pengkarya muda ini menjadikan penghasilan karya kreatif sebagai suatu kecenderungan dalam memerihalkan permasalahan kemanusiaan sejagat serta manifestasi dalam meraikan pandangan masing-masing. Keterlibatan dalam penghasilan karya kreatif juga merupakan apresiasi terhadap pembelajaran dalam bilik kuliah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.