Oleh Nubailah Nasri
24 Oktober 2023, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Program Pertandingan Pengisahan Negeri Perlis telah berlangsung di Perpustakaan Negeri Perlis pada 21 Oktober lepas. Program ini dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Perpustakaan negeri Perlis bersempena Dekad Membaca Kebangsaan dan Dekad Bahasa Kebangsaan.

Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Kanak-kanak. Pengkisahan ini bertemakan bidang kesenian, sejarah, bahasa, dan tempat menarik di negeri Perlis.

Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda selain memupuk rasa cinta terhadap negeri sendiri. Melalui pertandingan ini juga, peserta dapat mengetahui tentang sejarah negeri Perlis serta keindahan dan kesenian yang terdapat di negeri tersebut.

Adik Nurfarafisha telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pengisahan ini. Beliau membuat persembahan dengan menceritakan sejarah negeri Perlis. Persembahannya yang meyakinkan telah menyebabkan juri memilihnya sebagai pemenang pertandingan tersebut. Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM300.00.

Tempat kedua disandang oleh adik Nur Farah Athirah dan membawa pulang wang tunai bernilai RM250.00. Seterusnya, tempat ketiga disandang oleh adik Muhammad Faiz yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM 200.00. Ketiga-tiga pemenang ini merupakan pelajar dari SMK Syed Alwi, Perlis.

Guru pembimbing mereka, iaitu Puan Aidawati menyatakan kekagumannya terhadap  komitmen para pelajarnya. Menurutnya, mereka sanggup ‘berkampung’ di perpustakaan untuk mencari info yang berkaitan dengan sejarah negeri Perlis selepas selesai sesi persekolahan selain berlatih setiap hari untuk memberikan persembahan yang terbaik.

Hadiah kepada para pemenang pertandingan ini telah disampaikan oleh Encik Armin Azhari Saleh selaku Pengarah DBPWU dan Dr Norshah Aizat Shuaib, Ketua 1 AKSARA.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.