Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Sharifah Zubaidah Wan Abu Bakar, atau nama penanya Intan Zubaidah, sekali lagi tersenarai sebagai penerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak (HSTS) dalam Majlis Anugerah Tinta Kenyalang (MATK) yang berlangsung di DBP Cawangan Sarawak pada 20 Oktober lepas.

Penulis muda Persatuan Bagi Orang Buta Cawangan Sarawak muncul sebagai penerima melalui puisinya yang berjudul “Harapan Buat Betanak” dan membawa pulang wang tunai bernilai RM300 ringgit, sijil pengiktirafan dan buku terbitan DBP.
Ditanya tentang reaksinya apabila dimaklumkan tentang pengiktirafan tersebut, Intan mengakui bahawa beliau sama sekali tidak menyangka akan menerima hadiah tersebut,
Saya mengisi borang pencalonan karya HSTS tanpa meletakkan sebarang harapan kerana tahun lepas karya saya tidak banyak, bahkan yang ada itu pun saya selalu rasa kualitinya tidak baik. Alhamdulillah, hadiah ini menghilangkan sedikit rasa tak percaya diri saya.
Puisi yang diilhamkan semasa berada di Kampung Betanak, Pulau Bruit, Daro itu menurutnya, merakamkan kesedihannya terhadap golongan tunanetra di sana.
Golongan OKU penglihatan di Betanak kebanyakannya tidak ke sekolah, bahkan ada yang tidak pernah sekali pun keluar dari rumah. Yang paling mengesankan adalah apabila saya beri demonstrasi cara guna telefon dan laptop, dan saya minta mereka cuba sendiri. Mereka kata inilah kali pertama mereka pegang ‘benda ini’. Kasihan.

Pada tahun 2021 dan 2022, Intan Zubaidah telah menerima anugerah yang sama untuk kategori cerpen dan puisi melalui karya cerpen “Buku Cerita Fieya” (2021), cerpen “Jalan Rezeki” (2022) dan puisi “Petani Tua” (2022). Berdasarkan kualiti karyanya, sejak tahun 2023, karya-karyanya telah disiarkan dalam ruangan penulis mapan negeri Sarawak, “Yang Indah Itu Bahasa.”
Penulis yang berusia 29 tahun itu aktif menulis dalam genre cerpen dan puisi serta karya-karyanya tersiar dalam akhbar Utusan Borneo, Utusan Sarawak dan Tunas Cipta. Selain itu, beliau turut menjadi pengajar tulisan Braille dan mengakui sedang memulakan langkah menceburi penulisan skrip, lirik lagu dan komposer lagu. Lagu Naskhah Kiriman Rindu dan Sujudlah yang termuat dalam album ‘extended play’ Di Daerah Ini persatuan tersebut merupakan antara lagu gubahannya sendiri.
Persatuan Bagi Orang Buta Cawangan Sarawak yang kini diterajui oleh Dato’ Dr. Hsiung Kwo Yeun aktif dalam mencungkil bakat penulisan kreatif dalam kalangan ahli persatuan tersebut. Pelbagai bengkel dan latihan seperti penulisan, pengacaraan, bimbingan pembacaan tulisan Braille dan sebagainya giat diadakan dari masa ke masa bagi memastikan golongan tersebut tidak tersisih daripada kegiatan eksplorasi bakat dan potensi yang bermanfaat.
Hasilnya, persatuan tersebut bukan sahaja berjaya mencungkil bakat ahli, bahkan telah berupaya memberi nilai tambah baharu dan membina imej positif yang besar kepada golongan orang kurang upaya penglihatan, khususnya dalam bidang penulisan kreatif. Selain Intan Zubaidah, antara penulis tunanetra persatuan tersebut yang turut menonjol ialah Adzohari Jamil, Dayangku Aisah Awg Taha, Azreen Azirah, Nur Alina Semulih dan Nurnadira Rubiana Bunsu.