Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Setiap pendeklamasi perlu mengenal pasti potensi diri masing-masing,” ujar Encik Rusdi Awang, mantan Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah dalam Bengkel Bimbingan Pendeklamasi Hebat bersempena dengan Karnival Semarak Bahasa 2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Kelab Pemuisi D’Bayu telah diadakan di Bilik Seminar, DBP Cawangan Sabah.
Beliau juga menyatakan bahawa setiap individu mempunyai potensi tersendiri dan berbeza dari segi suara, gaya dan teknik dalam mendeklamasikan sesebuah puisi.
Bengkel yang bertujuan untuk memberikan bimbingan dalam melahirkan pendeklamasi berketerampilan dan versatil telah disertai oleh hampir 60 orang peserta dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau dan Gaya, serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu.

Dalam sesi kedua, Encik Ardiansyah Wayang telah mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk “Wujud yang Menipis” sebagai contoh kepada para peserta. Beliau menyatakan peri pentingnya pendeklamasi memilih satu atau dua perkataan dalam baris untuk diberikan penekanan dengan ekspresi yang sesuai. Pendeklamasi juga perlu menentukan karakter dalam membaca puisi bagi menimbulkan penghayatan dan menarik tumpuan para pendengar.

Sesi ketiga yang dibimbing oleh Puan Dayangku Afizah yang turut menghuraikan aspek utama untuk menjadi pendeklamasi hebat yang tidak hanya tertumpu pada aspek luaran semata-mata, tetapi mengambil kira aspek dalaman.
Baginya pendeklamasi harus memahami dan menghayati sesebuah puisi terlebih dahulu supaya suara dan vokal dapat dilontarkan dengan tepat dan sampai kepada pendengar.

Selain itu, dalam bengkel ini juga diadakan latihan amali kepada para peserta untuk mempraktikkan teknik mendeklamasikan puisi dengan betul. Latihan amali ini di bawah bimbingan fasilitator daripada ahli Kelab Pemuisi D’Bayu, iaitu Puan Dayana Chacho, Encik Hilmi Ismail, Puan Nurirfiney E Hairoland Fredo, Encik Mohd Sharif Taip dan Encik Ahmad Afif Hakimi.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah berharap agar melalui bengkel ini akan lahir pendeklamasi muda mewakili negeri Sabah untuk sebarang sayembara atau pertandingan peringkat negeri atau kebangsaan.