19 Oktober 2023, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah menganjurkan Pertandingan Berceritalah Adikku bersempena dengan Karnival Semarak Bahasa 2023 pada 18 Oktober di Dewan Amil Jaya, DBPCS.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Tadika dan Kategori Sekolah Rendah Tahap Dua. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan murid membaca dan menghayati karya-karya kreatif penulis tempatan.

Adik Ainul Mardhiyah Kadri Yansah, Johan Kategori Tadika bersama-sama dengan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar (kiri).

Selain itu, pertandingan ini juga membolehkan bakat dan kreativiti murid bercerita secara bersahaja dan meyakinkan dicungkil selain dapat membudayakan bahasa dan sastera dalam kalangan murid sekolah rendah. Penggunaan buku terbitan DBP merupakan syarat utama dalam pertandingan tersebut.

Seramai enam orang peserta Kategori Tadika dan 15 orang peserta Kategori Sekolah Rendah Tahap Dua telah menyertai pertandingan ini. Para peserta terdiri daripada murid tadika, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama bantuan kerajaan di sekitar Kota Kinabalu.

Adik Ainul Mardhiyah Kadri Yansah menjadi Johan Kategori Tadika dengan ceritanya 1, 2, 3 Hembus, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM400 ringgit. Manakala tempat kedua dimenangi oleh adik Sumayyah Mohd Faisalruddin dengan cerita Mengapakah Gajah Bermata Kecil, dan tempat ketiga dimenangi oleh adik Callysta Sem dengan ceritanya Bagai Anjing dengan Bayang-bayang. Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa hadiah wang tunai berjumlah RM250 ringgit dan RM150 ringgit.

Adik Awang Ku Qayyeem Hayl sedang menyampaikan cerita Si Tenggang.

Bagi Kategori Sekolah Rendah Tahap Dua pula menyaksikan adik Awang Ku Qayyeem Hayl Awang Ku Mohd. Khairy dari SRK St. Agnes Kota Kinabalu menjadi Johan. Menyampaikan cerita Si Tenggang, adik Awang Ku Qayyeem Hayl membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM1000 ringgit. Kisah Puteri Gunung Ledang yang diceritakan oleh adik Diane Syazlyqa Zulkifli Yui Abdullah memenangi tempat kedua manakala adik Putri Khaierunniesha Qieshariena Kamaruddin mendapat tempat ketiga dengan cerita Batu Belah.

Para peserta yang menyertai Pertandingan Berceritalah Adikku masing-masingnya membawa identiti yang tersendiri dengan memakai pakaian yang cantik, segak dan unik bagi menyampaikan cerita mereka dengan lebih berkesan. Malah, para peserta juga turut dibantu dengan paparan slaid atau video serta alatan (props) yang bersesuaian dengan jalan cerita yang disampaikan.

Dengan adanya pertandingan ini, maka tabiat gemar membaca dalam kalangan murid dapat ditanam selain dapat mencungkil potensi mereka dalam pengucapan awam serta mengetengahkan bahan bacaan DBP.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.