10 Oktober 2023, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Siapa sahaja yang tidak mengenali Salleh Ben Joned? Beliau antara penyair yang “digeruni” kerana keceloparannya. Bukan sekadar bahasa yang celopar, vulgar atau kesat yang pernah diketengahkannya dalam sajaknya, bahkan Salleh terkenal dengan perlakuan paling transendental yang pernah berlaku dalam sejarah peradaban seni dan sastera tanah air.

Walaupun Salleh terkenal dengan sajak atau puisinya, tetapi ada yang tidak perasan bahawa Salleh juga menulis satu-satunya skrip drama pentas, iaitu The Amok of Mat Solo.

The Amok of Mat Solo merupakan drama gelap mengenai seorang ahli akademik Melayu yang terpinggir dan semakin terasing daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan komunitinya.

Drama ini dicipta semula daripada puisi “The Ballad of Mat Solo” yang mana Salleh menggambarkan tragedi Mat Solo, seorang lelaki Melayu yang didorong kepada kematiannya kerana tekanan mental.

Walaupun drama ini sudah melepasi satu dekad, tetapi masih tidak ada yang “sanggup” mementaskannya. Namun demikian, tahun 2023 menjadi tahun yang bersejarah apabila Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengambil keputusan untuk mementaskannya.

Penulis sempat menemu bual penerbit teater The Amok of Mat Solo, Fasyali Fadzli Saipul Bahri berkenaan dengan pementasan teater absurd ini. Kongsinya,

Setahu saya, memang teater ini tidak pernah dipentaskan. Namun demikian, ada satu bacaan naskhah. Jadi, boleh dikatakan teater ini dipentaskan buat kali pertama di sini.

Dalam pada itu, Fasyali yang juga dekan Fakulti Teater ASWARA mengatakan bahawa pementasan ini bukan untuk mengajak orang “menjadi” seperti Mat Solo, tetapi untuk memberitahu akan kewujudan naskhah ini wujud dan perlu dihidangkan kepada masyarakat supaya mereka tahu.

Ujarnya lagi,

Kita tidak semestinya bersetuju dengan dia (Salleh). Namun demikian, kita boleh menganggapnya sebagai ‘pilihan lain’ yang kita ada untuk memahami dan menanggapi identiti bangsa Melayu. Dalam Mat Solo, persoalan utama ialah bagaimanakah bangsa ini mahu kembali pada akar atau pangkal budaya?

Fasyali Fadzli Saipul Bahri, penerbit teater The Amok of Mat Solo berkongsi pandangan dan pendapat beliau berkenaan dengan pementasan yang bakal berlangsung pada 19 Oktober 2023.

Mat Solo (lakonan Muhammad Ibrahim Khairulsani) ingin mencari identiti Melayu sebelum kedatangan Islam. Fasyali turut memberikan komentar berkenaan naskhah dengan menyatakan identiti yang ingin digali oleh Salleh bukan identiti Melayu Islam yang ideal seperti zaman kegemilangan Melayu Melaka, tetapi sebelum itu lagi.

Muhammad Ibrahim Khairulsani sebagai teraju utama dalam The Amok of Mat Solo.

Mat Solo ni sebenarnya seorang profesor di sebuah universiti. Dia mengajukan persoalan identiti bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, tidak semua bersetuju dengannya. Walaupun begitu, saya serahkan semua itu kepada penonton untuk membuat keputusan masing-masing.

Bercakap mengenai kerisauan pementasan ini kerana melibatkan bangsa, Fasyali menanggapinya dengan positif. Baginya, pementasan teater ini hanya untuk memberikan percikan idea kepada penonton. Jelasnya,

Isunya bukan takut dihentam, tetapi kita nak bentangkan dari sudut pandang pengkarya lain. Kita mahu beritahu kepada umum bahawa Salleh mempunyai pandangannya tentang Melayu, dan ya, memang banyak orang yang tak setuju, tetapi yang penting kita bentangkan dulu di pentas teater. Kita tak semestinya bersetuju dengan penulis dan kita nak bentangkan sahaja dan keputusannya bergantung kepada penonton sebab kita nak raikan semangat itu.

Fasyali yang sedang mengikuti pengajian ijazah kedoktorannya di Universiti Malaya itu juga berkata, pementasan ini penting kerana pada era naskhah The Amok of Mat Solo itu ditulis oleh Salleh, persoalan identiti bangsa itu merupakan milik semua dan bukan milik satu orang sahaja.

Pementasan teater itu pada era ini menjadi penting kerana ingin mengetahui pandangan awam terhadap persoalan identiti pada masa ini. Ulasnya,

Kita ada Usman Awang, Nam Ron atau Jit Murad, tetapi persoalannya identiti Melayu yang ideal bagi mereka itu masih dalam jalur Dasar Kebudayaan Kebangsaan, walaupun agak berlainan. Salleh ini lain terus!

Menurut Fasyali, pementasan ini akan menggunakan bahasa Inggeris, iaitu bahasa yang ditulis oleh Salleh dalam skrip tersebut tetapi pihak produksi menyediakan sari kata dalam bahasa Melayu untuk memberikan pengalaman yang berbeza kepada penonton.

Barisan pelakon yang bakal menemui penonton dalam The Amok of Mat Solo.

The Amok of Mat Solo akan menemui penonton di Panggung Eksperimen, ASWARA pada 19 hingga 21 Oktober 2023. Harga tiket bermula daripada RM20 hingga RM60 dan boleh ditempah melalui pay.aswara.edu.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.