30 Ogos 2023, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penganjuran acara ini sudah berlangsung dua hingga tiga tahun ke belakang, seperti sebuah acara tahunan, apabila menjelang Hari Kebangsaan, di kota raya Kuala Lumpur, akan berlangsungnya Pesta Buku Merdeka.

Tahun ini tidak kurangnya juga. Jika tahun lepas Pesta Buku Merdeka dikelola oleh Biblio Press, namun pada tahun ini pula akan diuruskan oleh Jejak Tarbiah dengan penjenamaan semula sebagai Festival Buku Merdeka 2023.

Acara yang bakal berlangsung selama empat hari ini akan bermula pada 31 Ogos hingga 1 September 2023. Tempatnya di Aras 4, Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur dan bakal dihadiri oleh 30 orang pempamer yang bertujuan untuk mengetengahkan buku yang luas cakupan genrenya.

Penulis sempat bertanya dengan Pengarah Festival Buku Merdeka 2023, iaitu Saadiah Ali. Beliau menerangkan bahawa pertukaran tempat, iaitu di Sungei Wang Plaza seperti tahun sebelum ini tidak diteruskan lagi pada tahun ini.

Jejak Tarbiah selaku penganjur utama juga berpengalaman dalam gerak kerja penganjuran Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) di Pasar Seni yang telah berjaya menarik hampir 50 ribu pengunjung pada bulan Februari 2023 yang lalu.

Di samping itu, beliau turut berkongsi berkenaan lokasi kali ini yang dianggap strategik. Lokasi yang dipilih dilihat sangat dekat di hati pembaca dan pemain industri buku.

Kami memikirkan kemudahan dari segi pengangkutan awam. Di sini ada capaian LRT dan KTM. Akses pengangkutan awam di lokasi acara juga adalah penting untuk membawa lebih banyak pengunjung. Selain itu, kami juga telah menilai dan menyemak data jumlah pengunjung oleh pengurusan pusat membeli-belah ini. Setiap kali menjelang cuti umum 31 Ogos dan hujung minggu selepasnya, jumlah pengunjung begitu ramai pada setiap tahun. Faktor ini yang menjadi formula penting bagi membolehkan penganjur menyasarkan kehadiran lebih ramai pengunjung ke Festival Buku Merdeka.

Menarik di Festival Buku Merdeka kali ini, pelibatan daripada penerbit popular seperti pempengaruh terkenal di laman TikTok dan Instagram.

Saadiah berkata, nama-nama besar seperti Iddin Ramli daripada Naseehat; Mustaqim Jiwa daripada Nukilan Biruni; dan Aisyah Hijanah daripada Versa secara tidak langsung membawa limpahan pengunjung ke festival buku ini dengan kehadiran mereka.

Tentu ada signifikan untuk mengadakan jualan buku ketika Hari Kebangsaan.

Menurut Saadiah lagi, membaca adalah satu daripada usaha untuk membebaskan pemikiran daripada belenggu kebodohan. Maka itu, mengambil semangat kemerdekaan dalam konteks industri buku, penganjuran Festival Buku Merdeka 2023 ini adalah cara bagaimana kita merayakan Hari Kebangsaan dengan lebih bermakna.

Saadiah Ali tidak sabar menyambut kehadiran pembaca dari seluruh negara ke Festival Buku Merdeka 2023, di Sunway Putra Mall pada 31 Ogos hingga 3 September 2023.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa usaha membawa dan memperkenalkan buku kepada masyarakat serta kempen membaca adalah agenda penting oleh penerbit dan penjual buku untuk memastikan buku terus hidup dan dekat dengan pembaca.

Dalam pada itu, Saadiah meletakkan festival tahun ini bakal membawa kelainan dengan menampilkan persembahan Syair Perahu sempena kemerdekaan; pertandingan mewarna; persembahan kemerdekaan oleh kanak-kanak serta acara pentas seperti program bicara buku dan pelancaran buku terbaharu.

Rumah penerbitan Fixi turut menghadirkan penulis terkenal mereka, antaranya termasuklah Nadia Khan dan Syafiq Aizat. Jejak Tarbiah pula akan menampilkan Ustaz Pahrol Mohd Juoi; Patriots dengan Helmy Effendy dan bual bicara buku terbaharu mereka, Manusia Sebelum Adam.

Wakil pegawai daripada Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), iaitu Hakim Hood pula menerangkan bahawa bermula tahun lepas lagi beliau sudah bersedia untuk bekerja lebih masa padawaktu cuti umum Hari Kebangsaan untuk sama-sama menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Tahun ini, IBDE akan mengetengahkan buku yang menjadikan pembaca lebih patriotik, cinta akan tokoh pejuang tanah air dan cinta akan sejarah. Jelasnya,

Pembaca boleh menelusuri kehidupan orang Melayu abad ke-18. Ada kisah tentang wanita Melayu yang bijak, cerita amuk, hilai langsuir, cerita naik gajah dan sebagainya melalui kaca mata kolonial dalam Gelagat dan Ragam Orang Melayu. Buku ini mendapat sambutan yang paling hangat ketika PBAKL2022 dengan jualan lebih kurang 700 buah dalam masa tujuh hari.

Hakim turut mengatakan bahawa buku Sejarah Selangor: 1766-1939 oleh J. M. Gullick juga merupakan buku penting dalam memahami pembentukan Selangor dan Kuala Lumpur. Tambahnya lagi, satu buku baru lagi yang diperkenalkan ialah Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya oleh Frederick Spencer Chapman.

Buku ini merupakan sebuah catatan yang menakjubkan — bagaimana seorang askar British yang begitu asing daripada cara bertempur dalam hutan Malaya menimbulkan strategi gerila dalam menghadapi Jepun.

Kami juga membawa buku-buku tokoh kemerdekaan. Contohnya buku Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar. Buku ini sudah agak lama, tetapi yang kali ini merupakan cetakan baru.

Hakim tidak melepaskan peluang ini untuk mempromosikan buku penting mereka apabila berkata mengenai kemerdekaan. Beliau dengan terujanya ingin buku Tunku: Kelana Penuh Cinta dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.

Melalui pembacaan buku ini, pembaca akan lebih menghormati dan menghargai Tunku yang bukan sahaja sebagai pemimpin, tetapi juga sebagai seorang manusia. Sifatnya yang bersahaja, kelakar dan mesra mengulit kesungguhan beliau.

Pengarah Festival Buku Merdeka 2023 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Saadiah Ali berkata fokus untuk festival kali ini untuk meraikan pencinta buku yang setia mengikuti penerbit yang digemari.

Setiap penerbit masing-masing mempunyai kekuatan pemasaran yang akan membawa pembaca masing-masing turut serta dalam Festival Buku Merdeka ini. Selain itu, beliau menggalakkan kehadiran orang awam kerana penganjuran di pusat membeli-belah ini memudahkan capaian buku kepada orang awam untuk hadir bersama dengan keluarga atau rakan-rakan bagi meluangkan masa di pameran buku.

Tidak ketinggalan juga, Saadiah turut berpesan kepada pembaca di luar sana  untuk menggunakan tanda pagar #FBM2023 apabila memuat naik sebarang kandungan kreatif dalam media sosial sebagai tanda sokongan mereka terhadap penganjuran Festival Buku Merdeka 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.