Oleh Adilah Zulkiffli
22 Ogos 2023, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Memetik kata-kata Siti Jasmina, iaitu seorang penulis skrip layar, penggiat teater dan penulis skrip drama radio yang mengatakan bahawa “Radio ialah teater minda”.  Hal ini membuktikan bahawa radio sebagai satu daripada wadah hiburan menarik yang menggunakan deria pendengaran.

Kata-kata tersebut dikongsi oleh beliau dalam Kursus Skrip Drama Radio anjuran Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diadakan bertempat di Bilik Latihan 6 dan 7, Wisma DBP baru-baru ini.

Siti Jasmina berpendapat, drama radio tidak memerlukan pelakonnya untuk menghafal skrip tetapi intonasi suara memainkan peranan penting agar pendengar dapat membayangkan dan merasai emosi lakonan hanya melalui deria pendengaran.

Antara aktiviti berkumpulan yang dilakukan untuk mengasah kreativiti peserta dalam mencipta idea skrip drama radio

Melalui kursus ini juga, peserta turut diberi pendedahan tentang teknik menulis skrip drama radio yang baik serta mengasah bakat menulis yang sudah sedia ada mahupun baharu untuk digilap.

Selain itu, setiap sesi yang disampaikan oleh Siti Jasmina akan diadakan latihan secara individu dan berkumpulan pada akhir sesi untuk melatih peserta bagi memahami teknik menulis skrip drama radio dengan betul menerusi penggunaan ayat atau gambar yang diberikan kepada peserta.

Kursus Skrip Drama Radio yang berlangsung pada 16-17 Ogos 2023, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kursus ini diteruskan lagi dengan mendengar contoh skrip drama radio yang telah tersiar menerusi Radio Klasik.FM bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini yang bertajuk Jalan yang Lagi Satu, lakonan Vanidah Imran, Sobri Anuar, Hairi Safwan, Zarynn Min dan Naque Ariffin.

Bengkel yang diadakan selama dua hari ini diakhiri dengan majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada peserta serta acara bergambar sebagai kenangan bersama dengan penceramah.

Pihak penganjur berharap agar kursus ini dapat memberikan kemahiran kepada peserta, khususnya karyawan DBP untuk menghasilkan skrip drama radio yang baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.