18 Ogos 2023, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarawak – Memetik kata-kata Zaen Kasturi, beliau mengatakan, “Jangan takut menulis puisi dengan hal-hal yang kecil, kerana sifat puisi ialah membesarkan hal-hal kecil.”

Kata-kata ini dikongsi oleh beliau dalam Bengkel Terampil Wadah Bahasa dan Sastera 2023 anjuran Unit Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak yang berlangsung dengan jayanya baru-baru ini, bertempat di Bilik Wacana, DBP Cawangan Sarawak.

Gambar kenang-kenangan peserta bersama-sama pembimbing Zaen Kasturi, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Haji Abang Julai dan urus setia bengkel.
Jurufoto: Norfazrie Isquandy Norul

Sebanyak 20 orang peserta yang terdiri daripada penulis pemula yang aktif menulis dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera, telah dijemput secara rasmi untuk menyertai bengkel ini.

Bengkel Terampil Wadah Bahasa dan Sastera 2023 ini merupakan anjuran kali ketiga DBP Cawangan Sarawak bagi membimbing penulis pemula yang berpotensi untuk lebih terampil dalam pengkaryaan.

Bengkel yang mengambil kira prestasi penulis melalui petunjuk dan ulasan pembimbing tetap ruangan Wadah Bahasa dan Sastera.

Zaen Kasturi (kanan) menerima cenderamata daripada Pengarah DBP Cawangan Sarawak.

Penganjuran bengkel tahunan ini antara yang ditunggu-tunggu oleh penulis pemula, selain bengkel lain seperti Minggu Karyawan Muda, yang juga kelolaan DBP Cawangan Sarawak.

Bengkel ini dimulakan dengan sesi bimbingan penulisan puisi. Zaen Kasturi memulakan bengkel dengan memberikan sebuah gambaran bahawa menulis puisi diumpamakan seperti memasak, bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam periuk mestilah dengan kuantiti yang tepat, kualiti yang terbaik serta adunan rasa yang betul dan sebati. Jika terdapat kekurangan dalam rencah masakan, maka akan kurang enaklah masakan tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa sebagai seorang penulis karya kreatif, sama ada cerpen atau puisi, penulis harus menghormati pembaca dengan menghasilkan karya yang memperkaya pengalaman dan menajamkan pemikiran pembaca, bukannya merendah-rendahkan pembaca.

Sebahagian daripada penulis pemula yang hadir dalam bengkel tersebut.

Pembaca berhak dihidangkan dengan karya yang hidup dan membijaksanakan pembaca, sesuai dengan sifat puisi sebagai sebuah alat yang “membunuh” satu persepsi dan menumbuhkan satu persepi yang baharu.

Sesi sebelah petang pada hari pertama bengkel pula merupakan sesi bedah karya puisi. Banyak input yang telah diberikan oleh Zaen Kasturi pada sesi tersebut, termasuklah kaedah pemilihan gaya bahasa yang tepat dalam puisi.

Kongsi beliau,

Puisi adalah segala-galanya tentang kata-kata. Oleh itu, puisi yang baik akan memberikan makna yang pelbagai.

Walaupun tafsiran dan kefahaman terhadap sesebuah puisi dipengaruhi oleh pengalaman pembaca, namun beliau menegaskan agar penulis pemula mengelak daripada menghasilkan sajak yang pesimis, sebuah yang penuh ketidakyakinan dari segi pemilihan kata mahupun falsafah yang dibawa.

Sesi bimbingan penulisan cerpen pada hari kedua dimulakan dengan petikan sebuah dialog daripada filem Finding Forrester, “Tulislah draf pertama dengan menggunakan hati, kemudian tulislah semula menggunakan akal.”

Zaen Kasturi memberikan naratif kepada penulis untuk menulis perkara yang mudah dan mengikut kata hati, kemudian barulah diolah semula berdasarkan ilmu dan kreativiti yang ada di minda.

Ujar beliau lagi, idea, selain minat, ialah perkara yang sangat penting untuk menghasilkan sebuah karya sama ada cerpen mahupun puisi.

Selain itu peserta disarankan agar menghasilkan kerangka cerpen agar karya yang ditukangi mempunyai jalan cerita yang lengkap dan padat. Beliau turut menekankan kepentingan plot, sudut pandang, latar, pembinaan watak serta dialog dalam penghasilan sesebuah cerpen yang baik mutunya.

Penulis pemula dinasihati untuk mengelak menulis dialog yang tidak penting, iaitu yang tidak menggerakkan plot cerpen kerana fungsi dialog tidak boleh digunakan sekadar memanjangkan jumlah patah perkataan, sebaliknya dialog mestilah mampu menerangkan kelakuan watak selain mewujudkan latar serta suasana dalam cerpen.

Bengkel selama dua hari ini diakhiri dengan majlis penutupan yang dihadiri oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai. Dalam ucapan penutupnya, Abang Haliman menyuarakan harapannya agar bengkel ini dapat terus dilaksanakan pada waktu mendatang demi menggilap bakat dan keterampilan penulis pemula pada tahap yang lebih baik, lantas melahirkan penulis dari negeri Sarawak yang mapan dan berkualiti dalam bidang bahasa dan sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.