Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBengkel Sekali-Sekala (Siri 8) yang diadakan di kediaman penyair Zuharman Mohamad Nor, sekali lagi menampilkan penerima anugerah SEA Write 2021, iaitu Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari sebagai pembicara sekali gus pembimbing dalam acara sastera yang berlangsung lebih satu jam itu.
Pada asalnya, bengkel ini diadakan secara santai sahaja dalam kalangan rakan-rakan terdekat Rosli, anak murid dan kawan-kawan sastera di sekitar Kota Bharu; namun kali ini promosinya diperluaskan kepada umum melalui edaran poster rekaan Pengerusi Liga Penulis Kelantan, Mohd Dahri Zakaria di media sosial termasuklah Facebook dan kumpulan aplikasi WhatsApp.
Tumpuan Rosli kali ini membicarakan perihal “Bagaimana Kaedah Memperkemas Kraf Puisi – Draf Akhir?” Walaupun bengkel dimulakan agak lewat disebabkan beberapa orang peserta yang tersekat di jalan raya seperti dimaklumi sejak sekian lama di Kelantan bahawa hari raya ketiga setiap tahun sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, bandar dan pekan di seluruh negeri akan sesak dengan ribuan kenderaan. Tambahan pula, kedudukan rumah penyair Zuharman betul-betul berada tidak jauh dari simpang empat lampu isyarat utama bandar Kubang Kerian.
Namun demikian, bengkel tetap dilangsungkan juga seperti kata Nik Hafiz, yang tersangkak jenuh dan jauh di Rantau Panjang ketika bengkel berlangsung dalam perjalanan balik ke Kota Bharu dari Grik, Perak – pulang berhari raya ke rumah mentuanya di sana; bahawa Rosli akan tetap mengajar, iaitu berbengkel puisi juga walaupun peserta hanya seorang. Itu merupakan luahan pengalamannya sendiri yang sudah sekitar dua tahun menjadi anak didik Rosli dalam dunia kepengarangan, terutama perihal penciptaan puisi. Nik Hafiz selalu mendapat tunjuk ajar Rosli di beberapa buah kedai kopi sekitar Kubang Kerian yang menjadi tempat pertemuan malam kami selama ini.
“Dalam kraf penciptaan puisi perlu ada ketekunan. Jika tidak mahu menjadi tekun jangan jadi penyair,” dengan tegas Rosli meletakkan syarat awal untuk menjadi penyair kepada peserta bengkel petang itu. Tidak cukup dengan hanya satu hari draf dan jangan cepat terpesona dengan diri sendiri.
Sebelum itu, Rosli telah memberikan perumpamaan menarik perihal ketekunan dalam pengkaryaan, iaitu perlu tekun dan jangan mudah putus asa seperti halnya pengail yang perlu beralih ke tempat yang berbeza apabila umpan tidak mengena setelah sekian lama di tempat memancing yang sama.
Percubaan melontar umpan di tempat baru adalah bertujuan untuk menghilangkan kekecewaan di tempat lama itulah dikatakan sebagai ketekunan dan sikap tidak mudah berputus asa. Siapa tahu di tempat baru itu umpan akan mengena dengan hasil tangkapan yang lebih berbaloi dan lumayan.
Begitulah juga halnya dengan proses penciptaan puisi, percubaan demi percubaan mesti dilakukan dari hari demi hari. Jangan sekadar cukup mendraf puisi dalam masa satu hari sahaja, itu tidak memadai. Puisi yang didraf pada hari pertama itu perlu disimpan terlebih dahulu dan didraf lagi keesokannya.
Kemudian, selepas selesai mendraf esoknya perlu disimpan lagi dan didraf kembali pada hari yang berikutnya, lusa. Begitulah seterusnya sehingga puisi tersebut betul-betul “masak” dan “ranum”. Itulah syarat utama penciptaan puisi yang sungguh-sungguh ditegaskan Rosli, iaitu “jangan menulis puisi hanya dalam masa sehari” dan terus dihantar kepada media penerbitan.
Draf yang boleh dipakai biasanya tiga kali, iaitu yang dilakukan di tiga hari yang berlainan. Walaupun 33 kali didraf tetapi jika dilakukan pada hari yang sama dengan puisi itu dicipta, maka puisi itu masih tetap dicatat sebagai draf pertama, iaitu sekali draf atau disebut juga sebagai “mendraf”. Draf yang berikutnya pada hari yang lain barulah dicatat sebagai draf kedua atau dipanggil “membaiki draf”.
Begitulah betapa terperinci dan halusnya cara dan kaedah penciptaan puisi oleh Rosli K. Matari. Sebab itulah kita mendapati bahawa namanya tersenarai sebagai satu daripada penyair penting Malaysia dan Kelantan khususnya. Beliau begitu teliti terhadap karya beliau yang telah diterbitkan sebelum ini antaranya yang terbaharu seperti dimuatkan dalam buku Mengingat Matahari membuktikan bahawa ketekunan dan ketelitiannya dalam proses penciptaan puisi kerana buku tersebut dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Utama Hadiah Puisi T. Alias Taib (2023).
Sesiapa sahaja boleh menulis puisi sebenarnya. Cuma bezanya puisi itu bermutu atau tidak sahaja. Hal ini disebabkan oleh semua orang pernah menduduki bangku sekolah. Jadi, tentu sahaja dia pernah bertemu dan mengenali puisi. Apabila seseorang meluahkan perasaannya dalam satu tulisan berangkap, itulah puisi.
Menghasilkan puisi; yang baik, yang bermutu dan yang bernilai tinggi. Inilah empat tahap penghasilan puisi menurut Rosli. Paling tidak, seorang penyair perlu cuba dan berusaha supaya mencapai tahap ketiga, iaitu menghasilkan “puisi yang bermutu”. Tidak cukup sekadar menghasilkan “puisi yang baik” sahaja. Sebaliknya, pada tahap keempat, iaitu “puisi yang bernilai tinggi” hanya dimiliki oleh jarang-jarang orang sahaja. Jika mereka berjaya sampai pada tahap “puisi yang bermutu” pun sudah cukup dan memadai.
Takrif draf terakhir ialah draf yang sudah selesai dibaiki, draf yang kita anggap telah sempurna dan muktamad, iaitu tidak ingin ditokok tambah lagi. Hakikat draf terakhir ialah tiga kali. Namun tetap berganjak, iaitu masih boleh berubah jika penyair itu terus membaiki dan membaiki, lagi dan lagi. Cara dan kaedah yang diberitahu oleh Rosli ini sangat halus dan begitu mendalam, memperlihatkan cara kerjanya yang sangat tekun serta teliti mencipta puisi.
Setiap puisi yang ditulis perlu mempunyai aras komunikatif agar hala tuju pembaca dapat ditentukan kerana puisi tersebut perlu dibaca, dinikmati dan dihayati. Apabila sesebuah puisi ditulis dengan bahasa yang polos tentu sahaja akan kurang mutunya, akan hilang keindahan bahasa, lebih-lebih lagi keindahan makna.
Rosli meletakkan satu hukum atau kaedah yang diguna pakainya sendiri dalam penulisan sajak, yang juga boleh dicontohi oleh penyair lain jika berasa sesuai, antaranya seperti beliau mengelak atau langsung tidak menggunakan tiga perkataan ini dalam sajak-sajaknya, iaitu adalah, lalu dan tiba-tiba.
Rosli mengkategorikan penyair kita terbahagi kepada tiga kelompok iaitu penyair kabur, penyair sukar dan penyair handal. Memang penulisan puisi adalah bebas tapi perlu berstruktur, iaitu merujuk pembinaan rangkap, baris dan rima. Rosli menggunakan kaedah “puisi harus mudah difahami tetapi indah” namun sesebuah puisi tetap harus sempurna kerana kesempurnaanlah yang akan melahirkan keindahan.
Sebaliknya, bahasa basi yang klise perlu dielakkan, juga pengulangan diksi yang sama mesti dihindarkan kerana puisi yang baik tiada pengulangan kata. Pemilihan diksi pula mesti dijaga agar sejajar. Sesebuah puisi harus memiliki “titik getar”, iaitu satu bahagian atau baris yang menyentuh hati pembaca. Demikian beberapa untaian kata penting dan hikmah kebijaksanaan bermakna yang dapat diperoleh daripada bengkel sepetang bersama “Profesor Puisi” Kelantan itu.
Bengkel tersebut diakhiri dengan peserta menjamu selera dengan gulai daging dimakan bersama dengan roti jala yang disediakan oleh tuan rumah penyair Zuharman Mohamad Nor. Makanan yang dimasak oleh isteri beliau itu nampaknya begitu digemari oleh kebanyakan peserta. Kuih raya di dalam balang langsung tidak diusik.
Seperti puisi, gulai yang dimakan bersama dengan roti jala yang jarang-jarang muncul umpama karya yang segar dan bertenaga, tentu sahaja akan lebih digemari. Kuih raya semacam puisi yang agak stereotaip kerana makanan yang selalu muncul, ada di rumah sesiapa sahaja pada musim perayaan sebegitu. Jadi makanan tersebut dengan sendirinya klise dan akan kurang digemari akibat terlalu banyak serta mudah pula ditemukan.