15 Ogos 2023, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Apakah perkaitan antara sajak dengan pakaian terpakai (bundle)? Bagaimanakah seorang editor dan juga seorang pemenang hadiah sastera ingin mengaitkan dua hal yang sepertinya tidak sekufu ini?

Baru-baru ini telah diadakan perbincangan bertajuk “Sajak dan Bundle” yang diadakan di kedai buku Rencana, Bandar Sri Damansara.

Penolong Editor Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Karim Mohd cuba mengaitkan antara dua medium yang berbeza ini.

Beliau yang pernah memenangi Hadiah Sastera Selangor 2021 (Kategori Sajak) itu membuka perbincangan dengan menerangkan kebangkitan bundle yang berlaku pada tahun 2010 hingga 2020. Kongsinya,

Dalam satu bundle pakaian terpakai itu, apabila mahu dijual, pakaian tersebut dinamakan sebagai ‘pecah guni’. Ibaratnya seperti peraih menunggu nelayan di jeti atau pesisir pantai. Ketika itu, barulah ‘nelayan’ akan mengisih yang mana pakaian terbaik atau sebaliknya.

Dalam pada itu, perkataan “kenal bare” juga diambil daripada budaya barangan terpakai. Semasa pengisihan dilakukan, hanya peniaga “kenal bare” sahaja yang tahu bagaimana kualiti barang jualannya dan harga yang dijual akan ditetapkan mengikut kualiti dan kenadiran pakaian tersebut. Tambahnya lagi,

 ‘Kenal bare’ ini berasal daripada bundle. Kebudayaan barangan terpakai ini sudah sampai pada tahap yang halus walaupun budaya itu sudah mencapai tahap kebudayaan popular. Kita perlu ingat bahawa asal usul pakaian terpakai ini bermula era 70-an yang mana ketika itu wujud gerakan bumi hijau yang membawa agenda reuse, reduce and recycle.

Karim Mohd yang juga pemenang Hadiah Utama Sayembara Puisi Kata-Pilar 2017/18 itu menerangkan dengan sangat halus keterkaitan antara sajak dengan bundle.

Budaya bundle tidak terjadi dalam sajak. Hal ini dikatakan demikian kerana sajak berakar daripada kesenian yang halus atau digelar sastera. Sastera, terutama sajak sangat susah untuk dikomersialkan. Hal ini berpunca daripada sifat sajak yang abstrak dan subjektif sehinggakan pembaca berasa susah untuk bersetuju apabila mahu menyatakan satu-satu sajak itu sama ada baik atau sebaliknya. Kayu ukur ini tidak berlaku dalam budaya bundle kerana bersifat material dan boleh diukur dari sudut kualiti dan kenadiran tadi.

Karim Mohd juga bersetuju walaupun sajak-sajak yang baru keluar sekitar satu dekad ini sebenarnya bukan sajak yang asli. Beliau cukup faham penggunaan “kenal bare” dalam sajak tidak sama dengan “kenal bare” dalam bundle kerana sukar untuk mendidik pembaca.

Saya ambil maklum bahawa dalam tempoh 10 tahun ini juga, ada ‘kepala kain’ yang lahir dalam genre puisi. Contoh ‘kepala kain’ yang kita ada ialah Fahd Razy, Qurratul ‘Ain dan Shaheeda Hamdani.

Perbincangan tersebut akhiri dengan soal jawab bersama-sama peserta. Seorang peserta, Hakim Hood memberikan pendapatnya dalam industri bundle dan sajak ini mempunyai persamaannya, iaitu konsumerisme.

Penolong Editor Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Karim Mohd bercakap tentang perkaitan antara sajak dengan bundle yang berlangsung pada 12 Ogos 2023 lalu di Rencana, Bandar Sri Damansara.

Menurut Hakim, sajak sama seperti bundle. Sebelum ini, bundle dikaitkan dengan 3R (reduce, reuse, recycle). Namun demikian, apabila diuji dengan masa, maka barangan terpakai ini terpalit juga dengan konsumerisme yang mana 3R itu sudah lagi tidak diaplikasikan kerana pakaian terpakai tersebut dijual dengan harga yang sangat tinggi. Jadi, falsafah utama bundle itu tidak tercapai.

Beliau menjelaskan bahawa persamaannya dengan sajak ialah sajak asalnya bukan barang komoditi atau konsumerisme. Walau bagaimanapun, apabila sajak menjadi lambakan di pasaran, pembaca susah untuk mengenal pasti yang mana “kepala kain” atau sebaliknya.

Hakim bersetuju dengan pendapat Karim, iaitu masyarakat perlu ada satu pendedahan asas untuk mengetahui yang mana sajak “kepala kain” dan yang mana tidak agar konsumerisme dan lambakan sajak yang ada di pasaran ini dapat dinilai dengan sewajarnya.

Program bual bicara sekitar satu jam ini turut dihadiri oleh pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), mantan Pengarah Galeri Seni Shah Alam, Dr. Alina Abdullah; penterjemah dan pensyarah, Dr. Khairul Anam Che Mentri serta peminat sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.