26 Julai 2023, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedah – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada menerbitkan dua buah majalah khususnya, bagi penulis muda yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 40 tahun untuk mempamerkan penulisan mereka.

Hal ini dikongsi oleh Cikgu Wildan Haya yang merupakan ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) semasa menyampaikan ceramah beliau dalam program “Memacu Minda Kreatif Murid Melalui Penulisan Peringkat Daerah Kota Setar” yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2 pada 25 Julai 2023.

Sebanyak 100 orang peserta yang terlibat dalam program “Memacu Minda Kreatif Murid Melalui Penulisan Peringkat Daerah Kota Setar”.

Menurut beliau lagi,

Banyak dalam kalangan penulis muda yang menghantar cerpen untuk disiarkan dalam akhbar atau majalah. Untuk pelajar sekolah menengah, DBP telah menerbitkan majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa. Maka itu, pelajar boleh mendapatkan majalah ini untuk tujuan penghantaran karya berupa cerpen dan puisi. Yang penting, setiap karya yang tersiar akan diberikan honorarium daripada pihak DBP.

Program ini melibatkan 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga, empat, lima dan enam dari lima buah sekolah menengah di daerah Pokok Sena.

Selain Cikgu Wildan Haya, Ketua Dua ASASI, iaitu Putraery Ussin dan ahli ASASI, iaitu Sanusi Din atau dikenali sebagai Ibnu Din Assingkiri turut menerima undangan untuk menyampaikan ceramah.

Putraery Ussin yang telah menerbitkan buku sebanyak 32 buah ini menasihati peserta agar memahami tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam setiap karya yang ditulis oleh peserta, dan seboleh-bolehnya setiap penulis juga perlu bijak dalam menyampaikan isi dan jalan cerita yang ingin diketengahkan dalam karya mereka.

Bagi  Sanusi Din pula, menulis puisi atau sajak ataupun membacanya, karya tersebut mestilah bermatlamatkan nasihat dan kebaikan. Jangan angan-angan semata-mata kerana akan memberikan kesan yang tidak baik kepada pembaca.

Tambahnya lagi,

Puisi bermaksud bahasa yang puitis dan indah. Untuk menulis puisi, kita perlu tahu gaya bahasa yang ingin disampaikan dalam sesebuah puisi. Selain itu, mengarang atau menulis puisi perlu ada teknik tertentu. Di samping itu, kita juga perlu banyak membaca puisi yang ditulis oleh penyair yang sudah lama berkecimpung dalam dunia sastera.

Program ini merupakan anjuran Unit Kokurikulum, Pusat Sumber Sekolah dan Bidang Bahasa Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2 dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar, DBP Wilayah Utara dan ASASI.

Bengkel yang diadakan ini diharap akan menjadi landasan yang terbaik dalam melahirkan lebih banyak penulis muda yang betul-betul mahu mendalami ilmu sastera sebelum mereka cuba menghasilkan karya yang baik dan sempurna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.