13 Julai 2023, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – BACA PeTA Penulisan Kreatif 2023 merupakan program yang meraikan dan memberikan apresiasi terhadap karya penilaian tahun akhir pelajar Diploma Penulisan Kreatif ASWARA yang terdiri daripada Penilaian Tahun Akhir, Bacaan Fragmen Naskhah PeTA dan Majlis Pelancaran Dua Kumpulan Cerpen.

Pada 12 hingga 13 Julai yang lalu, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah membawakan program BACA PeTA Penulisan Kreatif yang bertempat di Pusat Penyiaran ASWARA.

Sebanyak 10 orang pelajar yang dinilai terdiri daripada beberapa jenis karya kreatif seperti novel, drama pentas, drama bersiri dan penulisan lakon layar.

Antara karya kreatif yang dinilai termasuklah novel Larut di Metaverse karya Fatin Elysha, drama pentas Gerak Merrah karya Hafizzah Zulkefly, drama bersiri televisyen Album karya Shasha Nurliyana, serta lakon layar cereka televisyen Kolar Putih (Aqmir Alhamdi), Penghujung Kasih (Farah Zulaikha), Delusi (Puteri Aliah), Cahaya Utopia (Marina Kadir), Merantau (Muhyiddin Shaiful Bahari), #Klik_ (Azmeer Syahiran) dan Derita dalam Diam (Hafiz Hisham).

Sebanyak 10 pelajar Fakulti Penulisan Kreatif yang melalui proses Penilaian Tahun Akhir PeTA 2023.

Dalam sesi pembentangan ini,  sebanyak 10 orang pelajar telah membentangkan idea yang lari daripada kebiasaan dan menyelitkan unsur yang menarik dan unik untuk dinilai oleh penilai dalaman, iaitu pensyarah dari Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut melancarkan dua buah karya baharu pelajar Penulisan Kreatif, iaitu kumpulan cerpen Cantara Berkunang-kunang oleh Nurin Amani dan kumpulan cerpen Monotaip karya Balqis Bakri yang  diterbitkan oleh Nusa Centre.

Karya pelajar tahun akhir PeTA yang merangkumi pelbagai genre penulisan kreatif.

Cantara Berkunang-kunang merupakan himpunan kisah tentang isu gender dan konflik wanita yang mendepani kehidupan di bawah lingkungan langit demi mencari dan menemukan jalan pulang kembali, manakala Monotaip pula mengumpul kisah berdasarkan persoalan yang tercetus dan paparan slice of life dunia hari ini. Jika masa kini boleh diputar ke belakang, apakah yang ingin kita lakukan?

Kedua-dua karya ini merupakan manuskrip Penilaian Tahun Akhir PeTA Ijazah Sarjana Muda yang berjaya menarik perhatian penerbit dan disifatkan berpotensi untuk diterbitkan.

Majlis ini turut diwarnakan dengan sesi perkongsian oleh penulis. Semoga kejayaan ini bakal menjadi inspirasi kepada kita untuk terus menghasilkan karya yang bermutu tinggi pada masa hadapan!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.