26 Jun 2023, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Drama bangsawan masih mendapat tempat dalam dunia penyiaran drama terutama di radio Malaysia, Singapura dan Indonesia walaupun masyarakat diterjah dengan kemodenan setelah melalui zaman milenium. Drama bangsawan masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Perkataan “bangsawan” merupakan pecahan dua perkataan dalam bahasa Melayu, iaitu “bangsa” dan “wan”. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “bangsa” bermaksud jenis manusia daripada satu asal keturunan atau segolongan manusia yang bersatu sebagai kumpulan tertentu, manakala perkataan “wan” ialah gelaran untuk orang daripada keturunan raja.

Maka itu, pembentukan istilah “bangsawan” lebih tepat dikatakan sebagai orang berbangsa dan orang berketurunan mulia. Selain dikaitkan dengan golongan istana dan raja, bangsawan juga berkait rapat dengan golongan atasan dan pembesar istana.

Perkembangan Drama Bangsawan

Dalam buku Perkembangan Drama Bangsawan, Rahmah Bujang menyatakan bahawa sejarah drama bangsawan bermula dengan mutu bentuk keseniannya sebagai sebuah drama tradisi orang Melayu yang telah mengisi suatu rentetan masa kegiatan yang sekian lama bermula dari zaman pemerintahan British di Malaya lagi.

Di Singapura, drama bangsawan masih bernafas di pentas tertutup yang dikendalikan oleh Perkumpulan Seni Singapura. Bangsawan dipercayai dibawa masuk ke Singapura sekitar tahun 1880-an bersama-sama seri panggungnya dari Pulau Pinang oleh kumpulan Wayang Mama Pushi.

Namun selepas perang dunia kedua, seni pementasan bangsawan mula merudum sebelum hilang pada tahun 1960-an tetapi terdapat usaha untuk meneruskan seni lakon ini melalui wadah lain. Umpamanya pada tahun 1954, bangsawan mula ke udara melalui rancangan mingguan di Radio Malaya yang berpangkalan di Singapura (Nabila Rauda, 2019).

Rentetan daripada sambutan menggalakkan daripada khalayak drama bangsawan di Singapura, Radio Televisyen Singapura (RTS) telah menerbitkannya di kaca televisyen. Mutakhir ini Singapura menganjurkan Festival Bangsawan Singapura pada tahun 2022.

Di Indonesia terutama di daerah Riau, drama bangsawan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat sehingga dipentaskan di ceruk-ceruk kampung dan hingga kini masih menjadi hiburan terulung apatah lagi kedudukannya diangkat sama seperti pementasan teater – dikenali sebagai teater bangsawan. Selain di kepulauan Riau, teater bangsawan juga terkenal di Pekan Baru, Siak dan Indragiri.

Perkumpulan teater bangsawan masih aktif mengadakan persembahan mengikut penggiliran kumpulan masing-masing. Pemerintah Provinsi Riau misalnya pernah menaja Festival Teater Bangsawan melalui Dinas Kebudayaan sebagai galakan mengadakan pementasan teater bangsawan.

Di Malaysia, drama bangsawan mula muncul sebagai “wayang” yang dikenali sebagai Wayang Parsi di Tanah Melayu, lalu diangkat menjadi pentas bangsawan kerana kisah-kisah aristokrat yang sangat popular dalam kalangan masyarakat berketurunan mamak di Pulau Pinang.

Drama bangsawan dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh pendatang dari India ke Pulau Pinang. Seni drama bangsawan ini juga dikenali sebagai opera semasa zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dengan kemasukan pengaruh seni lakon drama Barat terutamanya dalam karya Shakespeare.

Perubahan zaman dengan sistem langit terbuka telah memungkinkan drama bangsawan semakin dilupakan apatah lagi dengan adanya media sosial yang pelbagai.

Drama bangsawan masih disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia.

Dalam konteks pada hari ini, di Malaysia drama bangsawan masih bertahan walaupun tidak meluas, tidak tular, tidak heboh namun tidak juga malap. Jabatan Penyiaran Malaysia melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih memberikan ruang untuk menyiarkan drama bangsawan di corong radio dan televisyen kendalian RTM pada hari-hari tertentu seperti di radio Klasik, JohorFM dan TV6.

Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pula hingga kini masih aktif melaksanakan pementasan drama bangsawan walaupun dalam skala kecil. Hal ini bukan sahaja memberikan peluang kepada penulis skrip drama bangsawan untuk menzahirkan skrip drama bangsawan yang baik, malahan dapat mengimarahkan budaya santun berbahasa dalam mengekalkan warisan bangsa.

Elemen Drama Bangsawan

Drama bangsawan bukan seperti drama moden yang menggunakan bahasa basahan, percakapan dan pertuturan harian. Bahasa dalam drama bangsawan menjadi elemen terpenting untuk menentukan ciri-ciri drama bangsawan tersebut. Penggunaan bahasa istana – bahasa halus sangat dititikberatkan dalam olahan skrip drama bangsawan kerana dimainkan oleh watak golongan istana selain golongan rakyat jelata sebagai watak sampingan dan tambahan.

Penggunaan bahasa istana atau bahasa halus ini melambangkan ketinggian budi dan ketajaman pemikiran bangsa Melayu, terutama merujuk kepada golongan aristokrat, iaitu raja sebagai lambang kedaulatan dan ketuanan Melayu. Beberapa istilah sastera klasik juga sering diguna pakai dalam dialog sebagai pembuktian pengayaan kosa kata bahasa Melayu lama.

Golongan bawahan seperti golongan rakyat jelata pula bukanlah kelompok yang ditindas tetapi wajar diberikan perhatian. Selain penggunaan bahasa yang santun, pencerapan elemen puisi tradisional juga penting dalam drama bangsawan sama ada yang dipentaskan secara fizikal mahupun yang disiarkan di radio.

Puisi tradisional yang paling popular dalam drama bangsawan ialah syair, pantun, gurindam, seloka dan nazam. Keutamaan pemilihan puisi ini bergantung pada plot dan perkembangan cerita tersebut selain sebagai hiasan dan hiburan. Namun begitu, kewujudannya haruslah membantu jalinan dan kesinambungan plot cerita untuk babak-babak seterusnya.

Penggayaan seni lakon dalam drama bangsawan tidak kurang pentingnya kerana elemen ini berbeza daripada gaya lakonan persembahan drama atau teater moden terutama drama aliran realisme. Gaya lakonan sama ada lakon badan mahupun lakon suara dalam drama bangsawan perlu diperbesar-besarkan. Gesture atau gerak isyarat tangan, badan, mimik muka dan pengucapan dialog perlu diperbesar-besarkan.

Hal ini bertujuan untuk menarik perhatian audiens terhadap bahasa tubuh mereka supaya khalayak penonton atau pendengar memberikan perhatian dalam apa-apa jua gerak-geri lakonan atau lontaran suara sehingga mesej yang hendak disampaikan itu jelas dan difahami. Gesture ini berkait rapat dengan kemahiran persembahan pelakon yang mahu meninggalkan sesuatu yang bakal diingati dan dikenang-kenang oleh khalayak.

Elemen muzik dalam drama bangsawan tidak diadun sembarangan kerana muzik dalam drama bangsawan dipengaruhi oleh irama tradisional dengan alat muzik seperti seruling, harmonium dan gendang.

Pada zaman kemasyhuran drama bangsawan, iaitu sekitar tahun 1920-an dan 30-an suntikan elemen muzik dimainkan dengan biola, tabla, simbal dan trompet. Selain muzik, tarian tradisional juga menjadi gandingan dalam alunan muzik, terutama untuk babak yang melibatkan majlis pertabalan, keramaian istana, percintaan di alam kayangan dan sebagainya. Muzik juga dijadikan sebagai gram yang digunakan dalam persembahan drama bangsawan di radio bagi menandakan pemisah babak dengan babak yang lain.

Dalam setiap drama perlu ada elemen spektakular dan drama bangsawan juga tidak terkecuali daripada unsur ini. Spektakular ialah unsur kekaguman yang diselitkan dalam setiap persembahan drama bangsawan. Tujuannya adalah untuk memberikan keterujaan kepada khalayak bagi mempercayai aksi yang dipersembahkan misalnya adegan magis, pergelutan, mimpi dan sebagainya.

Hal ini juga dijadikan sebagai kesan bunyi atau “tipu helah” untuk mewujudkan elemen kekaguman tersebut. Tanpa spektakular drama bangsawan menjadi hambar dan tidak menonjolkan keterujaan khalayak untuk menanti babak-babak seterusnya.

Penyumbang utama kepada populariti bangsawan ialah selingan (extra turn). Terdapat terma-terma lain bagi selingan yang dikenali sebagai variety entertainments, persembahan (vaudeville), burlesque dan interlude yang terdapat di dada akhbar tempatan sebagai mempromosikan bangsawan pada era itu.

Selingan merupakan slot antara babak-babak cerita dalam bangsawan. Selain itu, selingan dilihat untuk mencerminkan identiti teater bangsawan bagi membezakan teater ini dengan mana-mana teater tradisional atau moden di Semenanjung Tanah Melayu, kini Malaysia.

Inilah keistimewaan drama bangsawan yang tidak ada pada drama-drama lain. Selingan ini merujuk pada persembahan atau hiburan yang dipersembahkan semasa pertukaran babak. Hal ini tidak ketara dalam drama bangsawan di radio. Persembahan selingan ini boleh berkaitan dengan jalan cerita bangsawan tersebut atau yang tiada kaitan dengan pengisahannya.

Tujuannya adalah untuk memudahkan pertukaran alatan pentas mengikut latar babak tertentu selain menghindarkan kebosanan khalayak. Persembahan selingan ini boleh diselitkan dengan nyanyian, persembahan silap mata, tarian, jenaka dan lain-lain.

Seni drama bangsawan bukan persembahan yang biasa-biasa apatah lagi melibatkan watak dan perwatakan golongan istana dan raja yang harus dihormati dan disanjung oleh masyarakat.

Suatu ketika dahulu drama bangsawan menjadi hiburan paling utama bagi golongan feudal sebelum dipanggungkan dan dipertontonkan kepada golongan rakyat biasa. Di mana-mana pun drama bangsawan dipentaskan atau di udarakan, drama bangsawan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit kerana kos alatan, latar pentas, kostum dan hal-hal teknikal lain memerlukan belanja yang besar.

Sama juga halnya semasa pelibatan awal pentas bangsawan di Pulau Pinang yang dibiayai dan ditaja oleh golongan hartawan. Pelibatan badan korporat, pihak kerajaan dan yayasan tertentu sangat membantu dalam merealisasikan kewujudan drama bangsawan secara berterusan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.