Oleh Roslan Jomel
2 Jun 2023, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petang Sabtu, 13 Mei 2023, Restoran Kayu Nasi Kandar, Nu Sentral, Kuala Lumpur. Saya dan Abizai sedang menunggu kedatangan S.M. Zakir. Selain pengarang, S.M. Zakir merupakan pemilik rumah penerbitan Nusa Centre.

Pujangga Kontemporari, buku sulung kumpulan cerpen saya di bawah penerbitan milik beliau. Sebahagian besarnya pernah diterbitkan dalam pelbagai media massa. Yang saya maklum, beliau (secara gerila) bakal menerbitkan 20 buah naskhah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Berhadapan dengan kipas angin di dalam pejabatnya di Bangi, S.M. Zakir bekerja sepantas dan sesempurna yang termampu tanpa diperlahankan oleh kerenah birokrasi. Akan muncul buku terbaharu dari tangan pengarang muda dan itu pasti memeriahkan lagi trafik kesusasteraan kebangsaan.

Melalui aplikasi  WhatsApp, beliau memberitahu bahawa beliau terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Abizai tidak meminum kopi. Namun saya peminat kopi dan teh sekali gus.

Kopi yang pekat dan keras rasanya, menyegarkan hari pagi. Teh tarik yang layak dikatakan sedap dan asli, semakin sukar mengecapnya. Kadang-kadang rasanya pahit, terlalu manis dan sepertinya menggunakan teh uncang. Anak muda sekarang mengatakan, komplot.

Demikianlah sebahagian daripada lingkaran kehidupan yang berlalu di hadapan kita. Apakah yang benar dan batil terikat bersama-sama. Para pengarang yang jeli, akan meneutralkannya melalui karya.

15 Mei 2023, saya memulakan draf penulisan untuk esei ini. Sebuah buku tebal yang bersusun di atas rak, Sejarah Kesusasteraan Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, memancing perhatian saya.

Buku tersebut disusun secara kronologi dengan setiap bab menitikberatkan senario persuratan Melayu, bermula dengan latar belakang kesusasteraan baharu, puisi, cerpen, novel dan seterusnya drama. Tiada yang lama, tiada yang baharu. Kata penghantarnya ditulis oleh Sasterawan Negara ke-10, iaitu Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Kumpulan Sajak Empigit.

Sebagaimana nasibnya dengan buku-buku sejarah/ilmiah yang lain, tulisan yang padat dengan analisis, fakta, dokumentasi dan maklumat penting yang berkaitan dengan skop perbincangan, kurang memesrai dan menyebabkan sebahagian besar pembaca berasa mudah mengantuk.

Oleh sebab saya memulakan dunia penulisan dalam genre sajak, maka saya membaca sejarah perkembangan genre sajak kebangsaan hingga era modennya. Bagaimana proses sajak kontemporari terbina daripada pantun dan syair misalnya, yang kemudian dirubah secara teknikal dan drastik pula.

Penentangan gaya tradisi oleh sebahagian besar penyajak era moden yang menginginkan pengucapan mereka seiring atau relevan dengan fenomena semasa dalam kalangan masyarakat. Tiada lagi bahasa yang sengaja bersifat puisi tetapi dilafazkan dengan tegas, keras dan lebih mengutamakan idea, wacana dan pandangan peribadi secara khusus. Pengarang sekarang hanya melanjutkan apa-apa yang sudah sempurna dahulu.

Daripada gaya Harun Aminurrashid sehingga T. Alias Taib dan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh yang meruncingkan pemikiran dengan isu serius kontemporari dengan pengucapan khususnya. Tema yang dibincangkan semakin meluas dan kompleks. Yang berkumandang dalam karya genre sajak masih kekal merujuk tentang kegelisahan masyarakat dan manusia persendirian.

Penyajak masih sahaja menulis tentang kecurian buah cempedak di belakang rumah, penghulu yang menerima rasuah daripada pemaju, kekasih yang belah-bahagi dengan pilihannya, rasa berdosa kerana telah jauh melencong daripada syariat agama dan impak negatif yang dibawa oleh pihak kolonisasi terhadap warga tempatan hingga kini.

Kemudian baharulah genre cerpen yang telah memberikan kesempatan untuk saya menghasilkan tujuh buah buku kumpulan cerpen setakat ini. Bermula dengan Namaku Epal Kuning, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Introspeksi: Ketara kelemahannya dalam buku itu, dan hingga kini masih banyak yang perlu dipelajari dalam genre cerpen.

Sedangkan saya baharu berjaya menghasilkan sebuah kumpulan sajak setelah menceburi genre itu pada usia belasan tahun. Takut dan segan kerana sajak masih dilihat mentah dan belum kukuh. Sajak tulisan Rahimidin Zahari, ternyata lebih jernih dan meresap dalam sanubari pembaca dengan penyampaian yang sederhana dan tidak berlebih-lebihan. Sementara sajak awal saya, masih kabur, di awang-awangan dan kelihatan terlalu mencuba-cuba.

Hidup pada era Google, Kinokuniya dan Shopee, memudahkan sesiapa sahaja untuk menjangkau buku-buku hebat yang diterbitkan di luar negara. Umum mengetahui, bangsa Melayu merupakan bangsa yang mahir dalam pelayaran dan telah merantau jauh. Globalisasi dan kosmopolitan, bukan hal baharu dalam karakter bangsa Melayu.

Kononnya pertukangan naratif yang dikerjakan oleh Budi Darma, Albert Camus, Gabriel Garcia Marquez, Paul Auster, Haruki Murakami, Orhan Pamuk, Roberto Bolano dan Etgar Keret serta Alenjandro Zambra begitu lebih meyakinkan tentang situasi dalaman yang ditanggung oleh manusia. Hujung mata pena saya berputar-putar ke arah teknik penulisan mereka dalam usaha merakam kehidupan protagonis.

Sedangkan sastera kita sejak dahulu sentiasa inovatif. Bukanlah kolot seperti yang dijangka. Melalui buku Sejarah Kesusasteraan Melayu, baharulah saya disedarkan bahawa cerpen “Pencuri Bedebah”, karangan Abdul Kadir Syeikh dikatakan telah mencipta penceritaan yang agak baharu pada ketika itu.

Kaedah baharu yang bagaimana? Cerpen itu meletakkan bahagian tengah pada babak pembukaan, kemudian cerita ditenun dari awal hingga akhir secara imbasan kembali. Cerpen tersebut dikatakan satu daripada contoh permulaan cerpen yang menarik, dan sukar ditemukan, tidak sebagaimana kelaziman penulisan arus utama yang mengemukakan suatu persoalan pada peringkat awal dan kejadian yang berakibat daripada persoalan itu, disusun secara kronologi waktu.

Dikatakan bahawa pengkaedahan sedemikian menjadikan sesebuah cerpen mudah diikuti, komunikatif dan mudah pula disisipkan dengan unsur pengajaran/mesej.

S.M. Zakir muncul di balik dinding kaca The Coffee Bean & Tea Leaf. Pelayan singgah ke meja kami. Saya memesan segelas lagi teh tarik. S.M. Zakir ke kaunter untuk membayar minuman dan nasi kandarnya. Nasi kandar pilihan saya di kawasan Kuala Lumpur, sudah tentu Ibramsha dan Kudu bin Abdul.

Setelah menyerahkan 15 buah naskhah buku Kumpulan cerpen Pujangga Kontemporari, kompas perbualan menjurus pada ekosistem kepengarangan dan pemasaran buku dalam negara. Berdasarkan pengalamannya, S.M. Zakir mengatakan, tidak semua penulis berkemahiran dalam urusan penjualan buku.

Itu aspek perniagaan yang memerlukan kecerdikan istimewa, namun malangnya, jarang-jarang dikuasai oleh sebahagian pengarang. Kelazimannya, insan seni bergelar pengarang, cenderung untuk memerap di dalam bilik – mengerjakan naskhahnya. Sememangnya itulah dunia yang diingini oleh mereka.

Apabila golongan pengarang bersemuka, yang ditanya adalah, sudahkah membaca buku/karyanya? Andai seseorang pengarang itu baharu sahaja menghasilkan buku terbaharu, sama ada diberikan percuma kepada rakan pengarang, atau disimpan sahaja di dalam kotak di bilik.

Sungguh bernasib baik, kalau naskhah itu diulas dan dikritik oleh rakan pengarang. Bukan perkara yang pelik, minat untuk membeli buku, kadang-kadang lebih untuk memenuhi koleksi di rak. Perkara tersebut sejenis kehalobaan yang sukar difahami oleh mereka yang tidak meminati dunia perbukuan.

Demikian pengarang itu sendiri, pantang menemui buku-buku baharu di dalam kedai. Terus dibeli dan nantinya (akan/mungkin) mengkhatamkannya. Aspek menjual dan memasarkan buku sememangnya berada di luar pengetahuan mereka. Bukan terdidik ke arah perniagaan. Berhubung perkara itu, S.M. Zakir memutuskan/bertindak untuk mengkomersialkan nama pengarang tertentu yang diyakini olehnya memiliki banyak pengikut.

Sebagai orang yang terlibat dalam ranah penulisan kreatif, tentu sahaja timbul sangkaan dan perasaan seram tentang karya sesudah diterbitkan. Buku Kumpulan Sajak Empigit dan kumpulan cerpen Pujangga Kontemporari dihasilkan hampir pada tahun yang serentak.

Empigit wujud daripada pengalaman peribadi dan inspirasi daripada pembacaan buku pelbagai jurusan. Memori zaman kanak-kanak, remaja dan melepasi fasa umur memberontak, terangkum membentuk sekumpulan sajak yang digores sambil duduk bersila di dalam bilik di tengah Kuala Lumpur.

Sebaliknya, kumpulan cerpen Pujangga Kontemporari kononnya sebagai cerminan mikro untuk menyelongkar realiti di balik pekerjaan sebagai pengarang pada masa ini. Pengucapannya menyindir dan ditujukan lebih kepada pengarang itu sendiri.

Tinggalkan dahulu soal kualiti, artistik dan lenggok pengucapan. Apakah karya yang dinukilkan itu menarik perhatian pembaca dan dikehendaki oleh cita rasa generasi pada masa ini? Adakah buku itu mampu menduduki carta laris di pasaran, sebagaimana yang dihajati oleh penerbit?

S.M. Zakir yang telah bergelumang dalam dunia penerbitan, menyedari bahawa, karya berat/serius memang sukar untuk mendapat modal kembali. Tiada siapa yang berminat untuk membaca esei, sama ada sastera atau kajian sosial/falsafah. Memang ada pembaca tegar yang menggemari isu serius tentang ruang lingkup kehidupan dan kosmologi serta teologi.

Namun demikian jumlahnya terbatas. Mahu tidak mahu, aliran penulisan harus mengikuti arus popular yang barangkali bakal menguntungkan syarikat. Kos penerbitan buku tidak murah, apatah lagi jika mengupah beberapa orang pakar untuk kerja tertentu sebelum naskhah itu dicetak.

Nama-nama besar, menurut S.M. Zakir, yang pernah memenangi hadiah sastera kebangsaan, belum menjamin bahawa karya-karyanya diburu oleh pembaca.

Satu langkah yang efektif untuk memasarkan buku sastera serius adalah berdagang di Shopee. Mudah. Tidak memerlukan kedai fizikal. Pengarang memang keberatan untuk memasarkan buku mereka sendiri. Tidak seperti Zainal Rashid Ahmad yang memiliki kebolehan dalam urusan sedemikian. Beliau meniaga buku dan mempromosikan pengarangnya sekali gus.

Sebelum kami beredar pada petang itu, S.M. Zakir menggalakkan saya untuk berusaha mengarang naskhah novel. Jumlah halamannya tidak perlu tebal seperti yang ditulis oleh Wan Nor Azriq. Nipis seperti novela yang dikarang oleh Peter Handke, pun memadai. Pelayan datang mengutip gelas minuman dan pinggan di atas meja. Gelap sudah Kuala Lumpur ketika saya dan Abizai menyusur keluar dari Nu Sentral. Apakah yang saya hendak tulis untuk novela?

Bulan Mei tahun depan, saya berharap, S.M. Zakir datang dengan menyerahkan naskhah novela pertama saya di bawah rumah penerbitannya. Walaupun masih dalam bentuk ilusi, imej itu seperti nampak berlaku, biarpun masih samar-samar di balik langit.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.