Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRuangan “Seri Pusaka”, eTunas Cipta telah menerbitkan artikel pertama berkenaan rejang yang berjudul “Rejang: Misteri di Sebalik Puisi Tradisional dan Sistem Kalendar Masyarakat Melayu”. Dalam artikel berkenaan, penulis telah berkongsi perihal fungsi asal puisi tradisi ini, iaitu sebagai sistem tarikh atau perkiraan hari pada setiap bulan. Pada setiap tarikh itu pula terdapat tilikan atau azimat orang Melayu yang berkait rapat dengan astronomi.
Kemudian, menerusi ruangan yang sama telah diterbitkan artikel seterusnya berjudul “Rejang: Antara Puisi Tradisi dengan Kebudayaan Serumpun”. Artikel tersebut menyentuh perkaitan antara rejang dengan kebudayaan serumpun; muasal sistem tulisan Melayu yang namanya juga rejang (dari Bengkulu), tradisi berpantun rejang (turut disebut sebagai rejung) dalam temasya di Indonesia, perkaitan dengan seni tari rejang dalam suku kaum Bidayuh, juga rejang peranakan atau rejang Baba Nyonya di Melaka.
Persoalan timbul tentang perkaitan rejang di Malaysia dan Indonesia. Rejang menghilang di Malaysia sehinggakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengisytiharkan rejang sebagai seni warisan yang hilang.
Sebaliknya di Indonesia, rejang masih diamalkan dalam pelbagai temasya supaya tidak pupus dan terus diketahui oleh generasi madani. Sungguhpun begitu, meneladani persoalan ini, meskipun kebudayaan yang mirip ditemukan di Indonesia (telah dikongsi teks rejang/rejung dalam artikel kedua), rejang di Tanah Melayu (kini Malaysia) dilihat lebih berstruktur dan terjaga dari aspek teksnya, iaitu kejituan susunan rima, hubung kait antara perenggan serta kejituan mesej atau maksud keseluruhan teks (telah dikongsikan teks rejang dari Malaysia dalam artikel pertama).
Struktur penulisan rejang atau teks asal rejang di Malaysia tidak pernah diubah sebagaimana Indonesia telah mengubah teksnya untuk menepati tema temasya. Walau bagaimanapun, penggubahan teks tersebut dilakukan untuk menurut kehendak temasya, tetapi tidak pula menurut struktur rejang yang sepatutnya penuh pedoman.
Di Indonesia, bukan sahaja rejang, bahkan dapat dilihat pelbagai kebudayaan lain meski diwarisi secara turun-temurun penyampaiannya kepada masyarakat, tetapi mereka gemar mengubahnya menjadi unsur jenaka.
Perbezaan yang berlaku di Malaysia pula, bukan sahaja rejang, tetapi akibat banyak lagi warisan kesusasteraan tradisional jarang-jarang disentuh dan dibudayakan masyarakat, maka akhirnya khazanah ini tergolong dalam label khazanah yang semakin hilang atau pupus.
Satu persoalan yang perlu difikirkan oleh pendidik khususnya dalam bidang sastera, kepelbagaian sastera tradisional jarang-jarang dikupas, diajar malah jauh sekali dipraktikkan di dalam kelas. Banyak pendidik sekadar menyebut sepintas tentang ciri-ciri atau penggolongan sastera tradisional tanpa memberikan contoh dan memperkenalkan teks atau kaedah penyampaiannya.
Kesannya, tradisi yang harus diwarisi oleh pelajar dalam bidang ini tidak sampai dan tidak dilestarikan. Hal ini dapat dilihat apabila konflik dalam isu membudayakan khazanah bangsa ini, iaitu berlaku pencairan mesej di Indonesia kerana penggubahan teks, dan di Malaysia pula kebudayaan ini hilang kerana tidak diimplementasikan, tetapi tidak pernah mengubah teks asli.
Maka tepuk dada, untuk menjulang budaya bangsa yang hebat, tindakan mana yang lebih baik?
JKKN Malaysia, khususnya JKKN Negeri Melaka telah berusaha menjejaki semula pengamal rejang di Melaka, untuk memahamkan semula teks rejang, juga melestarikan dendangannya. Tokoh seperti Abdul Rani Embi dan Norliza Yamin turut mempergiat kesenian ini di sekolah khususnya, untuk memastikan generasi masa hadapan dapat mempertahankan khazanah bangsa yang agung.
Dalam konteks teks rejang yang sampai di Tanah Melayu dan menjadi khazanah yang diamalkan sebilangan masyarakat negeri Melaka, rejang merupakan kalendar yang menggunakan jenis haiwan berbeza pada setiap hari bulan. Teks tersebut telah diperturunkan oleh beberapa keluarga yang mengamalkan tradisi rejang di Melaka.
Sungguhpun demikian, Farouk Yahya dalam Magic and Divination in Malay Illustrated Manuscripts (2015) telah menemukan teks asal rejang yang berilustrasi. Teks tersebut ditulis dengan struktur pantun rejang disusuli lukisan haiwan bagi setiap hari bulan rejang. Haiwan yang dipadankan dengan hari bulan membawa petanda sama ada hari tersebut baik atau tidak.
Dalam era moden, dikatakan sebagai suatu sistem zodiak ataupun sebuah kitab astrologi. Demikianlah, masyarakat Melayu zaman dahulu telah pun menjadi canggih mendahului zaman. Berikut merupakan gambar kalendar rejang yang ditemukan Farouk Yahya.
Masyarakat Melayu sebelum kukuhnya agama Islam, berpegang pada kepercayaan animisme. Farouk Yahya dalam kajiannya mengklasifikasikan rejang sebagai satu daripada kepercayaan magis masyarakat Melayu Islam, sedangkan sebelum kewujudan rejang, terdapat satu lagi tradisi magis Melayu, iaitu mantera.
Mantera wujud sejak zaman animisme dan tetap hadir ketika Islam sudah berkembang. Bezanya, mantera lebih pada jampi serapah, manakala rejang memberikan fokus pada tilikan alam semesta berdasarkan zodiak atau haiwan.
Kalendar haiwan inilah yang menentukan sama ada padi elok dituai atau tidak, sementelahan mantera tidak menilik tetapi memuja semangat, misalnya memuja roh penunggu untuk menjaga sawah padi. Perbezaan ini sangat nyata, meskipun kedua-duanya dianggap teks magis masyarakat Melayu.
Berdasarkan kajiannya, Farouk Yahya menyebut berkenaan teks rejang dapat dikelompokkan sebagai suatu kesenian Islam, yang menghubung jalinkan teks dan imej haiwan, berserta kepentingan memahami simbolik magis atau falsafahnya.
Pada masa yang sama, masyarakat Melayu Islam yang mengamalkan rejang ini cuba mengasimilasikan kepercayaan mereka dengan pegangan Islam.
Perkara ini dilihat sebagai suatu rentas budaya antara pegangan, kepercayaan, falsafah dan amalan, juga cerminan tentang imej haiwan serta sifat atau gaya hidup masyarakat pada zaman tersebut. Selain itu, Farouk Yahya turut menyebut tentang hubungan etnik Melayu yang didasari kebersamaan linguistik serta asimilasi budaya melalui perdagangan atau maritim.
Menurutnya, hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dengan Sumatera didasari hubungan linguistik yang sama. Disebabkan itulah kebudayaan juga teks serumpun ditemukan dan dikenal pasti mirip.
Farouk Yahya menyatakan bahawa rejang merupakan teks atau manuskrip yang mempunyai kandungan agama dengan percampuran magis, kerana demikianlah kepercayaan masyarakat pada sekitar awal abad ke-16 dan abad ke-17.