Oleh Suria Janib
19 Mei 2023, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Road To PBAKL: Resensi Buku Surat di Poket Jas, menampilkan S.Shoffi yang berkongsi pahit manis beliau sebagai seorang penulis.

Kuala Lumpur – Buku kumpulan puisi: Surat di Poket Jas merupakan percubaan berani dan penampilan pertama penyair muda berbakat besar, S. Shoffi dalam dunia sastera kreatif.

Terinspirasi menulis sajak sejak di bangku sekolah lagi. Pemuda pemalu, tidak pandai menulis dan tidak mempunyai bakat dalam penulisan puisi, akhirnya, berjaya mencungkil bakatnya dalam liga sastera tempatan dan dalam tempoh 10 tahun, beliau masih giat berlatih menulis sehingga terlahirlah buku kumpulan puisi: Surat di Poket Jas ini.

Beliau yang ditemu bual oleh Nadhirah Ghani yang juga merupakan editor buku ini, menganggap kemunculan beliau tidak terlambat untuk menyerlahkan kilauan mutiara yang terpendam. Katanya,

Saya gemar membaca buku falsafah dan buku berkaitan dengan salasilah secara berulang-ulang baca untuk mencerap idea. Contohnya, jika kita melihat pokok, kita akan cuba menulis untuk berkarya dan sentiasa membuat latihan menulis.

Beliau turut mengakui, sesetengah penulis puisi gemar termenung untuk mencari ilham menulis. Tambahnya,

Ada kalanya, idea menulis cerpen tercetus ketika penulis itu memandu kereta. Saya juga terinspirasi menghasilkan karya selepas menonton filem Indonesia.

Menurut S. Shoffi, sajak beliau berjudul, “Ibu Tak Akan Mati” amat memberikan kesan padanya. Ibunya merupakan sumber inspirasinya untuk terus menulis demi menghidupkan impian ibunya yang terhenti selepas ibunya berkahwin.

Akuinya, puisi beliau banyak terpengaruh dengan bahasa Indonesia kerana penerokaan karya sastera di negara tersebut lebih awal berbanding dengan negara ini. Oleh itu, beliau banyak membaca dan merujuk puisi dari negara jiran.

Katanya, beliau berasa bertuah kerana diberikan peluang untuk menghasilkan dan menerbitkan sebuah buku sebelum umurnya menginjak 30 tahun.

Kepada penulis muda, beliau memberikan saranan supaya meluaskan bahan bacaan mereka seperti karya Barat untuk mendapatkan ilham. Kongsinya,

Untuk menghasilkan karya puisi hebat bacalah genre karya Barat, sebaliknya untuk menghasilkan karya sastera klasik Melayu seperti pantun dan teromba, perlulah dikarang dalam bahasa Melayu kerana sastera ini milik Melayu. Agak canggung jika kita membaca pantun dalam bahasa Inggeris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.