6 April 2023, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sulalatus Salatin dan Sejarah Melayu merupakan nama bagi sebuah karya agung Melayu. Penetapannya sebagai karya agung Melayu kerana kandungannya yang cukup tuntas tentang kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, malah turut mengabadikan salasilah raja di kepulauan Melayu. Sulalatus Salatin juga sering dijadikan rujukan sejarah untuk mengkaji peradaban tamadun Islam dalam sistem pemerintahan beraja.

Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek penceritaan menjadikannya sebagai sumber rujukan utama tentang adat dan istiadat raja dan istana, kekuasaan raja, kepimpinan pemerintah, kebudayaan Melayu dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.

Tun Seri Lanang mula mengarang Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Selain memegang jawatan sebagai Bendahara Kerajaan Johor, Tun Seri Lanang memang terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek kepengarangan, berkemahiran dalam penggunaan gaya bahasa, serta menguasai peraturan dan adat istiadat istana Melayu.

Memang tidak dinafikan Sulalatus Salatin dianggap sebagai karya yang begitu indah dan menarik dari segi gaya bahasa dan persuratannya. Kandungannya bukan sahaja meliputi unsur kelucuan, kebijaksanaan, kepimpinan, nasihat dan sindiran, malah banyak diselitkan dengan perlambangan, peribahasa, bidalan, pantun, seloka dan gurindam yang dikarang dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab dan Jawa.

Seni kepengarangan Tun Seri Lanang memang jelas terpancar dalam Sulalatus Salatin apabila beliau berjaya menyampaikan mesej dan pengajaran melalui kata-kata, frasa dan ayat yang tersusun indah. Begitu juga dengan imaginasi lakaran peristiwa yang membolehkan pembaca membayangkan setiap peristiwa yang diceritakan dalam Sulalatus Salatin. Seni kepengarangan tersebut telah menonjolkan Sulalatus Salatin sebagai karya agung Melayu.

Seni Kepengarangan

Teks Sulalatus Salatin sememangnya sebuah karya yang besar. Usia penulisannya menjangkau beratus tahun, namun masih gah dan mampu memberikan ketakjuban kepada khalayak pengkaji atau pembaca. Sememangnya, proses kreatif yang dipamerkan oleh Tun Seri Lanang dalam teks Sulalatus Salatin harus dipuji sebagai penulis yang genius. Juga, proses kreatif yang dipamerkan oleh Tun Seri Lanang sukar untuk ditandingi, malahan beliau dapat mengolah sumber yang rencam dan menstrukturkannya menjadi sebuah karya yang unik, indah dan berfaedah.

Meneliti kandungan teks Sulalatus Salatin memperlihatkan Tun Seri Lanang sebagai seorang intelek Melayu, yang terlihat melalui daya cipta pengarang serta kebebasan seninya yang tidak terikat. Misalnya, dalam menceritakan perihal raja-raja Melayu, Tun Seri Lanang tidak hanya menulis tentang kehebatan dan kebaikan raja semata-mata, malah beliau tetap mengkritik serta menulis cerita tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh raja-raja Melayu pada zaman itu. Hasilnya, pembaca dapat menghayati nukilan pengarang yang menyampaikan “kisah yang sebenar”.

Maka disuruh baginda bunuh; Tuan Jana Khatib pun dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang membuat bikang; di sanalah ia ditikam orang. Maka titik darahnya setitik, badannya pun ghaiblah. Orang yang membunuh itu pun kembalilah, dipersembahkannya kepada raja. Maka oleh perempuan yang membuat bikang itu, darah Tuan Jana Khatib yang titik itu ditutupnya dengan tudung bikangnya.

(Sulalatus Salatin, 2010:67)

Petikan tersebut menunjukkan Tun Seri Lanang dengan bijak menyindir cara pemerintahan yang tidak adil dan zalim. Akibat rasa cemburu dan marah Paduka Seri Maharaja apabila melihat kehebatan Tuan Jana Khatib yang menilik pohon pinang sehingga terbelah dua, namun akhirnya dia dibunuh.

Sebagai balasan terhadap tindakan pemerintah yang kejam, maka Tun Seri Lanang memaparkan peristiwa bagaimana Singapura dilanggar todak. Baginda raja berasa sangat pelik dengan kehadiran begitu banyak todak di pantai sehingga mengarahkan rakyatnya berkubukan betis mereka. Akibatnya, banyaklah rakyat Singapura yang terkorban.

Setelah datang ke pantai, maka baginda pun hairanlah melihat perihal todak itu, barang yang kena dilompatinya sama sekali matilah. Maka terlalulah banyak orang yang mati ditikam todak itu. Maka baginda pun menitahkan orang berkotakan betis, maka dilompati oleh todak itu, terus berkancing ke sebelah. Adapun todak itu seperti hujan, usahkan kurang, makin banyak orang mati.

(Sulalatus Salatin, 2010:68)

Petikan tersebut menunjukkan pengarang cuba memberitahu khalayak pembaca akan tidak bijaksananya pemerintah dalam menangani masalah atau bencana yang melanda negerinya. Tanpa menggunakan akal yang bijak, atau mendapatkan pandangan daripada golongan bijak pandai, pemerintah hanya tahu menggunakan kuasa yang dimilikinya dengan mengarahkan rakyat mengorbankan nyawa mereka semata-mata untuk menyelamatkan negerinya.

Selain itu juga, dalam peristiwa Singapura dilanggar todak, Tun Seri Lanang menaratifkan seorang pemerintah yang tidak mengambil iktibar atas pemerintahannya yang zalim dan kejam.

Tuanku akan budak itu terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia lagi budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah kita bunuh, tuanku. Maka titah raja, ‘Benarlah bagai kata tuan hamba sekalian itu, bunuhlah ia!’

(Sulalatus Salatin, 2010:69)

Kebijaksanaan seorang budak yang telah menyelamatkan Singapura daripada terus dilanggar todak telah dicemburui oleh golongan pembesar istana. Baginda raja pula bersetuju dengan pendapat para pembesar istana bahawasanya akal bijak yang dimiliki oleh budak itu akan mendatangkan masalah kepada pemerintahannya kelak. Akibat desakan para pembesar maka budak yang tidak bersalah itu pun dibunuh.

Kisah seterusnya ialah tentang gundik Raja Iskandar Syah, iaitu anak Sang Rajuna Tapa yang dimalukan kerana fitnah gundik-gundik lain yang cemburukannya. Akibat perbuatan Raja Iskandar Syah itu, maka Sang Rajuna Tapa telah berkirim surat ke Majapahit supaya menyerang Singapura. Akhirnya selepas berperang, Singapura jatuh ke tangan Majapahit.

Rentetan peristiwa yang digarap oleh Tun Seri Lanang sebenarnya secara tersirat mengkritik golongan pemerintah yang zalim sehingga membunuh rakyat yang tidak bersalah. Sindiran yang disampaikan oleh Tun Seri Lanang dilihat sangat halus dan berhemah sehingga tidak dinyatakan secara terang-terangan akan kezaliman pemerintah. Akibat daripada pemerintah yang zalim, maka akhirnya Singapura tidak menjadi sebuah negeri yang masyhur dan dikagumi. Malah kerajaan Singapura menjadi lumpuh kerana ditawan oleh Majapahit.

Hatta, maka Sang Rajuna Tapa pun berkirim surat ke Majapahit, demikian bunyinya, ‘Sang Rajuna Tapa. Bendahari Raja Singapura empunya sembah kepada Betara Majapahit, jikalau Betara hendak mengalahkan Singapura, segeralah datang: hamba ada belot dalam negeri.’

(Sulalatus Salatin, 2010:69)

Tun Seri Lanang juga dilihat sebagai pengarang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Seri Lanang menggarap unsur-unsur sastera Hindu dalam teks Sulalatus Salatin. Buktinya, Tun Seri Lanang memasukkan watak lembu putih yang menjadi lambang binatang suci dalam masyarakat Hindu.

Maka oleh Raja Aktabu’l-Ard diberinya seekor lembu yang amat putih, seperti perak yang terumpam warnanya; maka ketiga anak raja itu pun naiklah ke atas lembu itu lalu berjalanlah keluar.

(Sulalatus Salatin, 2010:20)

 

Dalam menghasilkan sebuah karya yang hebat, kreativiti pengarang dalam melukiskan keindahan karya dari segi persembahannya dilihat sebagai aspek penting dalam melahirkan kekaguman pembaca terhadap seni kepengarangan seseorang pengarang. Misalnya, persembahan dari segi suasana pada setiap peristiwa yang digarap, sama ada cemas, sedih, gelap, ketakutan, lucu, meriah, gembira dan sebagainya.

Namun begitu, setelah diteliti maka jelas bahawa kebanyakan peristiwa yang terdapat dalam Sulalatus Salatin diolah dengan baik oleh pengarang dari segi persembahannya sehingga menimbulkan gambaran peristiwa yang benar-benar berlaku. Hal ini dikesan sewaktu peristiwa Singapura ditawan Majapahit, Tun Seri Lanang berjaya melukiskan suasana peperangan yang ngeri dan ganas.

Maka dikeluari oleh orang Singapura terlalu sabur berperang; tetak-menetak, parang-memarang, tikam-menikam serta tempik soraknya, gegak-gempita, tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di tengah peperangan itu seperti air sebak, merah rupanya pasir itu, datang sekarang ada lagi. Maka masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup, dan dilawan berperang dari dalam kota kira-kira sebulan lamanya.

(Sulalatus Salatin, 2010:70)

Kendatipun terdapat watak yang bukan terdiri daripada watak sejarah, tetapi pemerian watak yang dibuat oleh Tun Seri Lanang adalah berkesan sehingga berjaya menjelmakan watak tersebut sebagai manusia yang sebenar dan diberikan sifat kekuatan dan kelemahan. Kebanyakan aksi watak adalah relevan dengan keadaan sosial dan politik serta dilihat wajar berdasarkan pengalaman dunia nyata.

Adapun akan Bendahara Seri Maharaja banyak anaknya; yang tua sekali lelaki, Tun Hassan namanya; terlalu baik rupanya, dan perdana lakunya; ialah menjadi Temenggung akan ganti ayahnya; akan istiadat Temenggung, mengatur orang makan di balairung. Adapun akan Tun Hassan Temenggung, apabila akan mengatur orang makan, maka ia memakai seberhana pakaian; berkain memancung, bersebai, berdestar berhalaman, bertajuk dan berkancing; maka ia berjalan di naga-naga mengatur orang makan itu, menunjuk-nunjuk dengan kipas, lakunya seperti pendekar yang tahu menari. Dan Tun Hassan Temenggung yang pertama melabuhkan baju Melayu, dan membesarkan pangkal tangan baju, dan memanjangkan tangan baju; akan dahulu baju Melayu kecil juga.

(Sulalatus Salatin, 2010:207)

Seni kepengarangan Tun Seri Lanang dalam teks Sulalatus Salatin yang menggunakan proses tulisan memungkinkan lahirnya kesegaran gaya dalam penggambaran dan perincian alam, objek dan aksi naratif. Kedekatan dengan objek penceritaannya, ditambah dengan pengetahuan yang dimiliki membolehkan Tun Seri Lanang berperanan memunculkan pemerian yang bersifat realistik.

Hal ini jauh berbeza daripada penutur lisan yang tidak mempunyai cara untuk merakamkan segala kisah yang ada dalam ingatannya, dan kemudiannya mahu menceritakan kembali kisah tersebut dengan lebih terperinci.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.