Oleh Salman Sulaiman
3 April 2023, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menulis sajak merupakan kerja pertukangan yang bukan mudah, tetapi tidak juga susah. Meskipun begitu, sajak ialah sebuah karya sastera yang indah, iaitu bukan sekadar permainan kata-kata dan hanya luahan perasaan semata-mata. Banyak orang tidak dapat membezakan antara luahan perasaan dengan sajak, catatan kata-kata dengan sajak dan surat cinta dengan sajak.

Sajak memiliki ciri-cirinya yang tersendiri, iaitu bebas dan langsung tidak terikat dari segi bentuknya tetapi penyampaiannya haruslah menggunakan bahasa yang baik, atau bahasa yang indah dan juga mestilah mempunyai nilai pemikiran; bukan sekadar kata-kata kosong sahaja.

Banyak juga sajak yang ditemukan sekadar bermain dengan kata-kata sahaja, tetapi pemikirannya kosong. Itu bukanlah sajak yang sebenar.

Sajak memerlukan kesepaduan antara “pemikiran” dengan “kekuatan bahasa”. kesepaduan antara dua elemen ini sangat mustahak untuk menguatkan sajak.

Hal ini telah ditegaskan sejak hampir 60 tahun lalu oleh pakar bahasa Melayu yang ulung dan juga pujangga terbilang tanah air, iaitu Pendeta Za‘ba. Dalam karya agungnya yang bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (2002), Za’ba menyatakan bahawa karangan yang baik perlu mempunyai isi kandungan yang bernas dan juga bahasa yang baik.

Hasil karya sastera seperti sajak mengambil latar masyarakat semasa termasuklah mengkritik realiti semasa. Ini satu daripada ciri sajak yang membezakannya daripada puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam dan lain-lain.

Sajak menceritakan perihal semasa, iaitu pada masa ini. Oleh sebab itu, sajak dipanggil puisi moden. Walau macam mana bebas sekalipun sajak itu, pengarang tetap perlu mempunyai batas dalam mengkritik dan menegur. Sebagai insan, lebih-lebih lagi yang beragama Islam – macam mana marah dan geram sekalipun, setiap teguran mestilah mempunyai etika dan perlulah beradab.

Sebuah karya terakhir daripada Almarhum Profesor Dr. Kuntowijoyo yang bertajuk Maklumat Sastra Profetik (2006), beliau menjelaskan,

Sastra Profetik adalah juga sastra dialektik, artinya sastra yang berhadap-hadapan dengan realitas, melakukan penilaian dan kritik sosial-budaya secara beradab. Oleh karena itu, Sastra Profetik adalah sastra yang terlibat dalam sejarah kemanusiaan. Ia tidak mungkin menjadi sastra yang terpencil dari realitas.

Maka itu, bertepatanlah dengan kehendak Islam sendiri yang mengajarkan umatnya agar melakukan kritikan dengan cara yang beradab. Ini termasuklah penulis yang mengkritik apa-apa sahaja kekurangan atau kelemahan orang lain atau pemerintah dalam penulisan sajak.

Meneliti buku Petunjuk Juru Da‘wah (1982), Maulana Maududi menggariskan adab dan cara-cara yang betul untuk mengkritik mengikut Islam. Antaranya ialah dengan menggunakan bahasa yang sopan untuk mempamerkan bahawa dia memang ingin memperbaiki dan bukan kerana ingin mencari nama, iaitu ingin mendapat pujian atau ada tujuan lain.

Kata Maulana Maududi lagi,

Orang yang mengemukakan kritik harus lebih dahulu menahan emosi sebelum mengeluarkan lidahnya dengan demikian baru dapat ia mengemukakan fikiran dengan tenang dan objektif, karena kritik yang dikemukakan tanpa difikirkan lebih dahulu akan mendatangkan dosa yang mungkin terjadi.

Seorang pengarang; tidak kiralah sama ada dia mencipta sajak, menulis cerpen atau mengarang novel – perlu terlebih dahulu menjadi insan berilmu. Ilmu bukan hanya maklumat. Sekadar bermaklumat sahaja tidak mencukupi.

Hal ini dikatakan demikian kerana bermaklumat belum tentu berilmu. Berkenaan dengan ilmu yang sebenar ini telah dihuraikan secara mendalam dan teliti oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya beliau. Dalam tulisan bertajuk Risalah untuk Kaum Muslimin (2001), Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas menukilkan,

Ilmu itu tibanya ma‘na sesuatu pada diri, dan berhasilnya diri menyerapinya.

Huraian tentang ilmu ini diteruskan lagi dengan lebih terperinci oleh anak murid kanan beliau, iaitu Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya yang berjudul Budaya Ilmu: Konsep, Prasyarat dan Pelaksanaannya di Malaysia. Menurut beliau,

Ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang.

Orang yang hanya mempunyai maklumat tetapi tidak berilmu boleh diibaratkan seperti keldai yang membawa kitab sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran. Allah berfirman dalam Surah al-Jumu‘ah, ayat 5 yang bermaksud:

Perumpamaan orang yang diberi tugas membawa Taurat, kemudian mereka tidak membawanya (tidak mengamalkannya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Sangat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Asasnya, bagaimana kita ingin menulis karangan untuk dibaca oleh orang lain jika kita sendiri tidak berilmu?

Apabila telah menggali ilmu, maka tulislah sajak. Masukkanlah ilmu yang diperolehi itu dalam sajak. Binalah sajak itu dengan bahasa yang baik lagi beradab. Bukan sumpah seranah atau maki hamun, bukan kejian atau ejekan, bukan penghinaan atau mempersendakan. Tulislah sajak sambil memegang erat nasihat Maulana Maududi tadi.

Hayati bagaimana Sasterawan Negara Dato’ Seri A. Samad Said mengungkapkan sajaknya, yang merupakan sajak terakhir dalam buku Rindu Ibu (2012).

Merindu Buku

Inilah denai jejak seni ke hati,

puncak fikir yang indah sekali.

Tanpa himpunan ilmu di kalbu buku

kita tak sempat sampai ke mercu itu.

 

Di sini diri sentiasa di taman

menikmati unggas dan puspa menawan;

di sinilah vista buku saraf seni,

meranum akal mematang peribadi.

 

Kita wajar berpesta di kalbu buku

menghayati nikmatnya seindah syahdu;

dalam tenang waktu khusyuk di pustaka

lebih cepat kita terasuh dewasa.

 

Buku adalah denyut nadi utama

penting bagi minda waras manusia;

dan buku juga gema fikir yang sakti

nyaman dan manisnya sebuah simfoni.

 

Kita memupuk insan yang kaya budi

melalui tapisan hikmah berseni;

dan buku memang tasik aneka ilmu

yang perlu diselami sejujur kalbu.

 

Buku mengasuh diri sasa bersuara;

membaca menjadi jambatan bertuah.

Kita merindu buku dan ghairah membaca

agar sentiasa canggih dan berhemah.

Proses pencarian ilmu seorang pengarang itu tidak akan pernah selesai sehinggalah dia meninggal dunia. Selagi masih bernyawa, selagi itu dia akan terus menggali khazanah ilmu pengetahuan. Imam Abu Hanifah yang telah terkenal dan mempunyai pengikut yang ramai masih lagi belajar dengan Imam Malik bin Anas yang 13 tahun lebih muda daripadanya.

Selain itu, Charles Pellat mencatatkan dalam The Life and Works of Jahiz bahawa Al-Jahiz yang lumpuh tubuh badannya mati tertindih oleh buku-buku yang selalu tersimpan di sekelilingnya.

Imam Abul Hasan at-Tamimi seorang ulama yang buta belajar dengan pendengarannya sahaja sehingga menjadi ulama fiqh mazhab Syafi’i yang terkenal.

Ibn Haitham dilaporkan menyara hidup dengan menyalin buku-buku dan menjualnya ketika membuat kajian dan penulisan tentang geometri dan optik semasa di Al-Azhar.

Sebaliknya, Ibn Rushd hanya bercuti selama dua hari sepanjang hidupnya kerana bekerja mengajar, menulis dan memberikan fatwa, iaitu pada hari kematian bapanya dan hari perkahwinannya.

Maka benarlah kata Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh,

Tiada istirahat untuk seorang pengarang!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.