Oleh Nurull Ain’am
23 Mac 2023, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam artikel berjudul “From Text To Animation: Adaptation Of Bawang Putih Bawang Merah”, Kate Atkinson mendefinisikan adaptasi ialah proses transformasi daripada satu medium kepada media lain. Artikel ini akan melihat elemen audio visual yang berjaya menghidupkan unsur sastera yang terkandung dalam teks Bawang Putih Bawang Merah selepas mengalami proses adaptasi dalam bentuk filem animasi, iaitu Putih.

Adaptasi filem animasi Putih daripada teks Bawang Putih Bawang Merah dalam bentuk multimedia telah mengalami beberapa perubahan, antaranya termasuklah naratif, verbal kepada visual serta ucapan dan komprehensif. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa aspek tertentu yang masih dikekalkan, ditambah dan dikurangkan untuk menyesuaikan jalan cerita tersebut.

Tujuannya adalah untuk memberikan kesan terhadap jalan cerita supaya masyarakat lebih tertarik untuk menonton dan menghayati cerita tersebut. Filem animasi Putih (2001) ini telah diarahkan oleh pengarah tersohor, iaitu Rashid Sibir.

Secara keseluruhan, filem animasi Putih mengisahkan Bawang Putih yang memiliki perwatakan yang baik. Walau bagaimanapun, dia sering dibuli dan dimarahi oleh ibu tirinya, Kundur serta adik tirinya, Bawang Merah. Berbeza daripada teks Bawang Putih Bawang Merah.

Dalam teks tersebut, Bawang Merah ialah watak protagonis, manakala Bawang Putih ialah watak antagonis. Proses pertukaran watak ini dilakukan agar dapat menampilkan kelainan dalam filem animasi ini memandangkan tajuknya juga ialah Putih. Walau bagaimanapun, plot dan jalan penceritaannya masih sama.

Proses penyesuaian teks Bawang Putih Bawang Merah dalam bentuk multimedia didapati masih mengekalkan unsur sastera dalam filem. Walaupun teks Bawang Putih Bawang Merah mengisahkan tradisional Melayu, namun teks tersebut disesuaikan dengan pelbagai elemen menarik yang sesuai dengan keperluan masyarakat pada masa ini.

Kekuatan teks Bawang Putih Bawang Merah terletak pada gaya bahasa dan plot yang penuh dengan konflik. Kisah ini menjadi lebih menarik apabila beradaptasi dalam bentuk animasi kerana mengandungi penambahan yang dapat menarik perhatian masyarakat kini.

Penggunaan elemen multimedia audio visual dapat memberikan pemahaman kepada penonton. Hal ini dikatakan demikian kerana elemen audio visual sebagai pemangkin seri dalam persembahan multimedia. Sekiranya paparan hanya memuatkan grafik dan teks, pastinya karya tersebut tidak dapat menarik minat seseorang. Audio visual dapat ditambahkan dalam produk multimedia melalui suara, muzik dan kesan suara.

Misalnya, dalam filem animasi Putih, suara watak yang berdialog dimasukkan dalam persembahan multimedia. Jika hendak dibandingkan dengan Bawang Putih Bawang Merah, pembaca hanya sekadar membaca teks sahaja tetapi tidak dapat mendengar suara orang berdialog. Hal ini menyumbang pada kurangnya penghayatan kepada khalayak.

Oleh itu, pentingnya penerapan elemen audio visual untuk menghidupkan jalan cerita, sekali gus memberikan kesan penghayatan kepada khalayak. Selain itu, dalam filem animasi Putih juga, adegan watak Putih menangis kerana pemergian ibunya dapat dilihat apabila dia bersedih, sekali gus dapat menghidupkan suasana atau gambaran tersebut kepada penonton.

Suara pelakon terkenal Malaysia, iaitu Erra Fazira yang melakonkan watak Putih dilihat berjaya menghidupkan unsur sastera dalam filem animasi Putih kerana memberikan gambaran dan menyerlahkan perwatakan Putih dengan begitu hebat.

Nada lemah lembut, apresiasi perasaan sedih, sayu dan duka berjaya dibawa oleh pelakon ini melalui suaranya sebagai kesan audio visual dalam perfileman animasi ini. Maka itu, elemen audio visual ini penting untuk dimasukkan dalam persembahan multimedia kerana berfungsi untuk meneguhkan mesej, menentukan keadaan pemikiran dan perasaan seseorang.

Penggunaan audio visual seperti memasukkan unsur muzik dalam video persembahan multimedia juga dapat menghidupkan suasana cerita. Perkara ini dapat dilihat apabila lagu Dikir Puteri nyanyian Noraniza Idris dimasukkan pada permulaan cerita. Penggunaan lagu Dikir Puteri ini dapat memberikan kesan dalam multimedia interaktif, dengan membantu proses penyampaian persembahan agar lebih mantap dan berkesan.

Sekiranya pada permulaan cerita dapat menangkap perhatian dan minat penonton, maka akan membantu penonton untuk menikmati cerita tersebut dari mula hingga akhir cerita. Ini bermaksud, “pukulan” awal pada teknik penceritaan sangatlah penting untuk memenangi hati penonton.

Penggunaan lagu Dikir Puteri nyanyian Noraniza Idris ini dapat memberikan gambaran bahawa keseluruhan cerita animasi Putih ini berkonsepkan zaman dahulu dengan adanya kerabat diraja. Maka itu, secara tidak langsung unsur sastera dapat diwujudkan kerana menggambarkan latar dan suasana dalam cerita tersebut.

Adaptasi sesebuah karya dalam bentuk persembahan multimedia dapat menjelaskan konsep yang abstrak. Misalnya, jika kita ingin menjelaskan gaya bahasa tertentu, penggunaan elemen multimedia membantu secara grafik, animasi, audio visual, video dan teks. Penggunaan elemen ini mampu menjelaskan perkara yang nyata dan bersifat abstrak.

Pengadaptasian ini juga membolehkan penggunaan pelbagai indera untuk memahami tentang sesuatu perkara. Oleh itu, multimedia mampu menarik perhatian pancaindera penonton sama ada melalui pandangan mata, pendengaran dan perasaan.

Maka itu, multimedia mampu memberikan kesan apresiasi yang tinggi jika bahan sastera itu dipamerkan secara video, dilukis dan menganimasikan seperti filem animasi Putih yang telah diadaptasi daripada teks Bawang Putih Bawang Merah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.